Pada 8 Oktober 2022, Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2022 [Akta 839] telah mendapat Perkenan Diraja dan seterusnya diwartakan pada 18 Oktober 2022 sebelum dikuatkuasakan pada 1 Julai 2023.
IPCC merupakan sebuah badan bebas yang perlu mengemukakan dan membentangkan laporan tahunan mengenai semua aktivitinya kepada Parlimen seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta 839.
Seksyen 37 Akta 839 pula menghendaki Kerajaan untuk membuat peruntukan wang yang mencukupi bagi membolehkan IPCC menunaikan fungsi dan menjalankan kuasanya secara berkesan sepertimana yang dihasratkan dalam Akta 839.
IPCC telah mula beroperasi pada 1 November 2023 dengan dibantu oleh pegawai dan kakitangan lantikan IPCC pada 30 Oktober 2023 serta beberapa orang pegawai kanan yang dipinjamkan daripada Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Terdapat 31 perjawatan yang telah diisi sepenuhnya bagi menganggotai empat (4) Bahagian yang terdapat di IPCC.
Pada 15 Januari 2024, seramai lima (5) Anggota Suruhanjaya telah dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong bagi tempoh lantikan selama 3 tahun untuk melaksanakan fungsi dan peranan IPCC. Keanggotaan Suruhanjaya terdiri daripada YBhg. Datuk Zolkopli bin Dahalan sebagai Pengerusi IPCC, YBhg. Dato' Mohamad Jazamuddin bin Hj Ahmad Nawawi sebagai Timbalan Pengerusi IPCC, YBrs. Puan Martina@Kartina binti Zamhari, YBhg. Dato' Shukri bin Abdullah dan YBhg. Dato' Tan Kang Sai.