Perkhidmatan Bahagian
i. Rayuan Permohonan Permit Masuk
Permit Masuk merupakan suatu permit yang membenarkan warga asing untuk masuk dan berada di Malaysia melepasi tempoh sah laku pas sedia ada. Permit Masuk dikeluarkan berdasarkan kepada Seksyen 10, Akta Imigresen 1959/63. Kelulusan Permit Masuk ini melayakkan pemegangnya untuk memohon taraf Pemastautin Tetap (MyPR) di Malaysia.
Semua permohonan Permit Masuk hendaklah dikemukakan di Jabatan Imigresen Malaysia. Sekiranya pemohon tidak berpuas hati dengan keputusan permohonan, petisyen rayuan daripada penama sendiri hendaklah dibuat kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari daripada tarikh surat penolakan.
Rayuan Permit Masuk hendaklah dibuat dengan mengemukakan dokumen-dokumen berikut:
• Surat Rayuan yang disediakan oleh penama sendiri
• Surat penolakan daripada Jabatan Imigresen Malaysia
• Sijil nikah (bagi yang beragama Islam)
• Sijil perkahwinan (bagi yang bukan beragama Islam)
• Salinan pasport pemohon (sejak masuk ke Malaysia)
• Salinan kad pengenalan , sijil warganegara, sijil kelahiran bagi penaja, pemohon (jika ada) dan anak-anak
• Salinan sijil perceraian dan salinan sijil kematian (jika berkaitan)
• Salinan sijil tauliah dan surat sokongan majikan (jika ada)
• Surat Perakuan Kepakaran daripada agensi berkaitan (jika ada)
• Penyata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) (jika ada)
• Akuan pelepashakkan warganegara (jika telah melepaskan taraf kewarganegaraan) (jika berkaitan)
• Salinan sijil akademik (jika ada)
• Resume/ Curiculum vitae (jika ada)
• Salinan surat lantikan kerja (jika ada)
• Salinan dokumen pemilikan hartanah (jika ada)
• Salinan rekod Fixed Deposit (jika ada)
• Salinan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) syarikat (jika ada)
ii. Rayuan Pembatalan Permit Masuk
Menurut Seksyen 14(5) Akta Imigresen 1959/63, rayuan terhadap pembatalan Permit Masuk boleh dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh yang ditetapkan selepas notis pembatalan dikeluarkan.
Bagi tujuan rayuan, pemohon dikehendaki mengemukakan dokumen-dokumen berikut:
1. Surat rayuan rasmi berkenaan pembatalan Permit Masuk, lengkap dengan justifikasi dan alasan kukuh mengapa permit tersebut perlu dikekalkan atau dipulihkan;
2. Salinan notis pembatalan Permit Masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia;
3. Dokumen sokongan tambahan, jika berkaitan, seperti:
o Salinan Sijil Nikah/Perkahwinan;
o Salinan Sijil Kelahiran (contohnya, untuk membuktikan hubungan kekeluargaan);
o Sebarang dokumen lain yang relevan dan boleh menyokong rayuan anda.
Nota: Pastikan semua dokumen yang dikemukakan adalah jelas, lengkap, dan disahkan (jika perlu). Kegagalan mengemukakan dokumen yang mencukupi boleh menyebabkan kelewatan atau penolakan rayuan.
Penama akan dimaklumkan berhubung keputusan rayuan tersebut melalui surat rasmi apabila semua urusan dan tindakan selesai diambil. Sehubungan itu, penama diingatkan untuk sentiasa memastikan Pas Imigresen sedia ada yang digunakan masih lagi sah dan tidak tamat tempoh. Tuan/Puan juga dinasihatkan untuk sentiasa mengemaskini nombor perhubungan dan alamat sekiranya terdapat perubahan dari semasa ke semasa.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi kami melalui e-mel
1. Permohonan Kelulusan KDN Bagi Pengambilan Pelajar Antarabangsa oleh Institusi Pendidikan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong hasrat dan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan serantau.
Akta dan Peraturan
Berdasarkan Peraturan 13 (5) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 menggariskan bahawa:
a. Sesebuah institusi pendidikan yang ingin mengambil pelajar antarabangsa perlu mendapatkan kelulusan Menteri Dalam Negeri.
b. Manakala bagi institusi pendidikan di Sabah dan Sarawak memerlukan kelulusan daripada Kerajaan Negeri masing-masing.
Semua institusi yang ingin membuat pengambilan pelajar antarabangsa perlu mendapat sokongan daripada agensi kawal selia berkaitan dan kemudiannya mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri seperti Institusi Pendidikan Swasta (IPTS), Politeknik, Pusat Bahasa, Pusat Kemahiran, Pusat Latihan, sekolah antarabangsa dan pusat bertauliah di Malaysia
Sesebuah institusi pendidikan ingin membuat pengambilan pelajar antarabangsa sama ada kali pertama (permohonan baharu) atau lanjutan mestilah mendapatkan perakuan daripada agensi kawal selia sebelum dikemukakan kepada KDN untuk proses pertimbangan.
KDN akan memproses permohonan pengambilan pelajar antarabangsa berdasarkan kriteria berikut:
i. Permohonan yang lengkap dan memenuhi semua kriteria dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri melalui Agensi kawal selia masing-masing.
ii. Permohonan agensi kawal selia yang lengkap perlu mengandungi butiran berikut:
a. Surat sokongan / perakuan daripada agensi kawal selia;
b. Profil Institusi terkini;
c. Salinan Perakuan Pendaftaran Institusi;
d. Laporan Naziran Agensi Kawal Selia;
e. Salinan Surat Kelulusan Kementerian Dalam Negeri terdahulu;
f. Statistik pelajar antarabangsa tamat pengajian tahun sebelum (sekiranya ada);
g. Surat penjelasan rasmi sekiranya tiada pengambilan Pelajar Asing (Tahun Sebelum); dan
h. Lampiran / Dokumen-dokumen institusi yang berkaitan (Cth: Sijil Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Borang 44, 24,9).
iii. Sekiranya permohonan diluluskan, institusi hendaklah mematuhi semua peraturan dan prosedur Imigresen seperti berikut:
a. Memastikan pengurusan rekod pelajar antarabangsa sentiasa dikemaskini. Rekod hendaklah termasuk status keberadaan, tarikh mula dan tamat pengajian;
b. Memastikan semua pelajar antarabangsa mempunyai pas pelajar yang sah dan masih berkuatkuasa;
c. Memohon pemendekan pas pelajar yang telah tamat pengajian dan ingin pulang ke negara asal atau yang melanjutkan pengajian ke institusi lain;
d. Mendapatkan memo periksa keluar bagi pelajar yang ingin pulang ke negara asal;
e. Mengambil tindakan mengikut prosedur bagi kes-kes pelajar hilang / gagal dikesan iaitu;
• Membuat laporan Polis
• Mengemukakan laporan bagi memaklumkan kepada pihak kedutaan berkenaan
• Mengemukakan laporan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan semakan status pergerakan pelajar berkenaan
f. Sekiranya gagal mematuhi syarat-syarat kelulusan pengambilan pelajar antarabangsa seperti di atas, pihak Kementerian Dalam Negeri berhak untuk tidak mempertimbangkan permohonan institusi atau membatalkan kelulusan yang telah diberikan.
Kelulusan bagi pengambilan pelajar antarabangsa oleh Institusi Pendidikan boleh ditarik balik pada bila-bila masa oleh KDN sekiranya Institusi Pendidikan didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63 & Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan lain-lain syarat yang telah ditetapkan. Setelah mendapat kelulusan KDN untuk mengambil pelajar antarabangsa, Institusi Pendidikan boleh membuat permohonan Pas Pelajar di Jabatan Imigresen Malaysia.
2. Permohonan Rayuan Kali Kedua Bagi Jawatan Pegawai Dagang Selepas Ditolak oleh Jabatan Imigresen Malaysia
Majikan atau syarikat di Malaysia dibenarkan untuk menggaji pegawai dagang atau profesional asing untuk mengisi jawatan-jawatan yang bersesuaian yang tidak dapat diisi oleh tenaga kerja tempatan.
Permohonan pegawai yang ditolak oleh Jawatankuasa Ekspatriat diberi pilihan untuk membuat rayuan kepada Ketua Pengarah Imigresen. Walau bagaimanapun, sekiranya permohonan rayuan ini turut ditolak, majikan dibenarkan mengemukakan rayuan kali kedua kepada Kementerian Dalam Negeri.
Bahagian Hal Ehwal Imigresen akan memproses dan mengemukakan keputusan berhubung permohonan rayuan jawatan pegawai dagang dalam tempoh 14 hari bekerja setelah permohonan lengkap diterima.
3. Permohonan Pegawai Kerajaan Bukan Warganegara Melebihi Tempoh 10 Tahun Perkhidmatan
Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia – Kaedah Pelantikan Pegawai dalam Perkhidmatan Awam dan Urusan-Urusan Lain Berkaitan Pelantikan Versi 1.0 (2022) menyatakan bahawa “tempoh keseluruhan pelantikan secara kontrak pegawai bukan warganegara mestilah tidak melebihi 10 tahun termasuk di Pihak Berkuasa Melantik Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang berlainan. Sebarang pelantikan secara kontrak melebihi tempoh tersebut mestilah mendapat kelulusan KDN terlebih dahulu”.
Majikan atau IPTA perlu mengemukakan justifikasi untuk melantik pegawai kontrak bukan warganegara melebihi tempoh 10 tahun dan pelan penggantian yang akan dilaksanakan kepada Bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN.
Bahagian Hal Ehwal Imigresen akan memproses permohonan ini dalam tempoh 14 hari bekerja setelah permohonan lengkap diterima.
4. Permohonan Media Asing
Syarikat media asing yang beroperasi di Malaysia dibenarkan untuk menggaji pegawai dagang untuk mengisi jawatan yang bersesuaian.
Permohonan yang telah mendapat surat sokongan daripada Kementerian Luar Negeri atau Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) perlu dikemukakan kepada Bahagian Hal Ehwal Imigresen untuk kelulusan, sebelum Pas Penggajian dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Bahagian Hal Ehwal Imigresen akan memproses permohonan kelulusan media asing dalam tempoh 14 hari bekerja setelah permohonan lengkap diterima. Keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada pemohon setelah pertimbangan dibuat.
Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (One Stop Centre – OSC KDN)
Pengenalan
Pusat Sehenti (One Stop Centre) Pengurusan Pekerja Asing KDN (OSC KDN) telah ditubuhkan bagi memudahkan urusan penggajian pekerja asing oleh majikan. OSC KDN berfungsi sebagai pusat setempat yang menyelaras semua proses utama berkaitan kuota pengambilan pekerja asing dengan lebih cepat, telus dan berkesan.
Majikan perlu mendapatkan kelulusan awal penggajian pekerja asing daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di bawah Seksyen 60K, Akta Kerja 1955 terpakai untuk pengambilan pekerja asing baharu sebelum layak bagi permohonan kuota penggajian pekerja asing di OSC KDN.
Setelah mendapat kelulusan kuota penggajian pekerja asing, majikan boleh meneruskan urusan permohonan surat kelulusan Visa Dengan Rujukan (VDR) bagi tujuan kemasukan pekerja asing ke dalam negara.
Bermula 1 Oktober 2025, semua permohonan kuota penggajian pekerja asing boleh dibuat melalui laman web Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) di pautan https://fwcms.com.my/ dan memilih modul eQuota.
Kerajaan telah menetapkan untuk pembekuan kelulusan kuota penggajian pekerja asing sejak 18 Mac 2023. Walau bagaimanapun, bagi memenuhi keperluan industri yang mendesak, Kerajaan telah memutuskan untuk memberikan kelulusan secara case by case basis tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia. Sebarang makluman terkini berkenaan pengurusan penggajian pekerja asing boleh dirujuk di bawah seksyen ‘Notis Pemakluman’.
Peranan & Fungsi Utama OSC KDN
OSC KDN menyediakan perkhidmatan berikut kepada majikan:
1. Pemprosesan Permohonan Kelulusan Kuota
- Memproses permohonan kuota penggajian pekerja asing mengikut sektor yang dibenarkan.
- Menjalankan temuduga oleh panel Agensi Kawal Selia (AKS) kepada majikan yang telah melengkapi dokumen permohonan.
- Mengeluarkan surat kelulusan bersyarat atau penolakan bagi permohonan yang dikemukakan.
2. Pemprosesan Permohonan Tukar Majikan
3. Permohonan Tukar Lokasi Sementara bagi Sektor Pembinaan dan Subsektor Pembersihan dan Pencucian
4. Pengurusan Levi
- Memproses tuntutan bayaran balik levi bagi kuota penggajian pekerja asing yang tidak digunakan.
- Inspektorat & Pemantauan
5. Khidmat Nasihat Berkaitan Penggajian Pekerja Asing
Syarat & Kriteria Kelayakan Mengikut Sektor dan Agensi Kawal Selia (AKS)
Penggajian pekerja asing dibenarkan hanya dalam sektor-sektor yang ditetapkan kerajaan seperti berikut:
1. Sektor Perkhidmatan
- Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC)
- Pelancongan
- Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT)
- Gudang Darat & Pengendalian Kargo
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN)
- Restoran
- Borong & Runcit
- Dobi
- Pencucian & Pembersihan
- Perniagaan Gunting Rambut Kaum India
- Perniagaan Tekstil & Perniagaan Emas Kaum India
- Bahagian Keselamatan, Kementerian Dalam Negeri (KDN)
- Perniagaan Barang Lusuh dan Logam
2. Sektor Perkilangan
- Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI)
3. Sektor Perladangan
- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK)
4. Sektor Perlombongan, Pengkuarian & Pemprosesan Mineral
- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)
5. Sektor Pembinaan
- Lembaga Pembanguna Industri Pembinaan (CIDB)
6. Sektor Pertanian
- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)
Hubungi Kami
Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan OSC KDN, majikan boleh menghubungi:
📍 Alamat : Aras 5, Setia Perkasa 9,
Kompleks Setia Perkasa,
Kementerian Dalam Negeri,
62546 Putrajaya, W. P. Putrajaya.
📞 Telefon : 03-8885 2939/2940
📧 E-mel : osc_