Soalan Lazim Urus Setia Lembaga Parol
Berikut adalah soalan-soalan yang sering diajukan oleh pengunjung Portal Kementerian Dalam Negeri. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lain sila hubungi kami di talian 038886 8533 atau e-mel kepada kami di
Pertimbangan Lembaga Parol Bagi Pelepasan Banduan Secara Perintah Parol
1. Apakah yang dimaksudkan dengan parol?
Parol adalah satu pelepasan secara perintah parol di mana penghuni yang mempunyai tarikh bebas dan layak, boleh memohon untuk pelepasan tersebut berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Parol. Penghuni dikehendaki menjalani baki hukumannya di luar penjara di bawah pengawasan pegawai parol, Jabatan Penjara Malaysia. Banduan yang dilepaskan melalui pelepasan secara perintah parol oleh Lembaga Parol dikenali sebagai Orang DiParol (ODP).
2. Siapakah Lembaga Parol?
Seperti termaktub di bawah Seksyen 46B (2) Akta Penjara 1995, Lembaga Parol adalah terdiri daripada 7 orang anggota yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) seperti yang berikut:
- Seorang Pengerusi dari kalangan anggota Perkhidmatan dan Perundangan;
- Seorang pegawai kanan penjara;
- Seorang pegawai kanan polis;
- Seorang pegawai kanan kebajikan; dan
- Tiga orang awam.
3. Apakah kuasa yang diberikan kepada Lembaga Parol?
Selaras dengan Seksyen 46C (1) Akta Penjara 1995, kuasa Lembaga Parol adalah seperti yang berikut:
- Membuat keputusan sama ada untuk melepaskan secara parol seseorang banduan yang memohon parol;
- Menggantung atau membatalkan sesuatu Perintah Parol;
- Menambah apa-apa syarat atau menggubah mana-mana syarat sesuatu Perintah Parol;
- Mengadakan sesuatu siasatan berkenaan dengan apa-apa perkara yang berkaitan parol;
- Memeriksa mana-mana banduan untuk mendapatkan maklumat tambahan berkaitan dengan sesuatu permohonan parol atau bagi apa-apa sebab lain yang difikirkan patut oleh Lembaga Parol; dan
- Menjalankan dan melaksanakan apa-apa fungsi dan tugas lain sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri.
4. Apakah kelayakan untuk banduan memohon pelepasan secara Perintah Parol?
Selaras dengan Seksyen 46E Akta Penjara 1995, kelayakan seseorang banduan untuk memohon pelepasan secara Perintah Parol adalah berdasarkan syarat-syarat berikut:
- Hukuman pemenjaraan adalah 1 tahun dan ke atas;
- Telah menjalani separuh daripada hukuman;
- Telah mengikuti program pemulihan yang diluluskan oleh Komisioner Jeneral Penjara;
- Tidak mempunyai apa-apa kes yang sedang dibicarakan;
- Tidak mempunyai rayuan; dan
- Kesalahan selain dari Jadual Keempat, Akta Penjara 1995.
5. Dimanakah penempatan ODP yang mendapat pelepasan secara Perintah Parol?
ODP akan ditempatkan sama ada penempatan bersama keluarga, penempatan di Rumah Perantaraan di bawah seliaan Jabatan Penjara Malaysia dan penempatan di bawah program Corporate Smart Internship (CSI) bersama majikan tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan dan pertimbangan dari Lembaga Parol berdasarkan maklumat yang dikemukakan dalam dosir banduan.