telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


FAQ Contact Us Complaints and Feedback Site Map

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

Isu 40,000 Jaga Asing Haram

KENYATAAN MEDIA

DATO' SRI ALWI BIN HJ IBRAHIM

KETUA SETIAUSAHA

KEMENTERIAN DALAM NEGERI (KDN)

MENGENAI

ISU 40,000 JAGA ASING HARAM

7 JANUARI 2016

_____________________________________________________________________________________________________________________

1.Merujuk kepada laporan khas dalam akhbar Berita Harian pada 6 Januari 2016 yang bertajuk 40,000 Jaga Asing Haram, Kementerian Dalam Negeri (KDN) ingin membuat kenyataan terhadap laporan tersebut seperti berikut.

2.KDN hanya membenarkan pengawal keselamatan warganegara Nepal untuk bekerja bagi tempoh tiga (3) tahun sahaja dan boleh memohon pelanjutan tempoh bagi tahun keempat dan kelima sekiranya masih mendapat permohonan daripada syarikat kawalan keselamatan tertakluk kepada dasar perkhidmatan pekerja asing di Malaysia.

3.Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa dakwaan atau laporan media massa, cetak dan elektronik mengenai kewujudan warganegara asing selain dari negara sumber (Nepal) yang diupah secara haram oleh syarikat-syarikat kawalan keselamatan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

4.Sebagai makluman, dakwaan atau laporan mengenai kebanjiran pengawal keselamatan warga asing secara haram ini adalah disebabkan kecenderungan syarikat-syarikat kawalan keselamatan itu sendiri untuk menggunakan pengawal-pengawal keselamatan warga asing secara haram kerana ingin mendapatkan keuntungan yang lebih. Dengan cara itu juga mereka tidak perlu membayar Levi, Cukai Perkhidmatan, EPF dan juga tidak perlu menjaga kebajikan pekerja sebagaimana yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Terdapat juga syarikat kawalan keselamatan yang dengan sengaja tidak memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pengawal keselamatan warganegara Nepal yang bekerja dengan mereka.

5. Walaupun KDN tidak mempunyai data terperinci mengenai jumlah warganegara asing haram yang bekerja sebagai pengawal keselamatan secara tidak sah di negara ini. Namun begitu, KDN ingin memohon kepada mana-mana pihak dan orang ramai serta Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) untuk melaporkan terus sebarang kewujudan atau maklumat mengenai pengawal keselamatan warganegara asing haram kepada KDN atau agensi agensi di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

6.KDN memandang serius terhadap dakwaan dan laporan mengenai kebanjiran pengawal keselamatan warga asing haram tersebut dan akan mengambil tindakan tegas secara berterusan bagi mengatasinya mengikut peraturan peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971, Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Pendaftaran Negara 1959.

7.Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan operasi penguatkuasaan bersepadu oleh Kementerian Dalam negeri (KDN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang diselaraskan di bawah sebuah Task Force bermula 1 November 2013 dan berterusan sehingga suatu tempoh masa yang akan ditentukan kelak.

8.Operasi penguatkuasaan secara bersepadu ini telah dilaksanakan setiap minggu ke atas premis-premis seperti sekolah, kawasan taman perumahan, kondominium, premis perniagaan, pusat membeli-belah dan institusi kewangan/bank.

9.Pada tahun 2014 dan 2015 sahaja, KDN telah mengambil tindakan membatalkan lesen 40 buah syarikat kawalan keselamatan dan 49 syarikat dikenakan tindakan amaran terakhir di atas pelbagai kesalahan termasuklah menggunakan pengawal keselamatan warga asing haram. Berdasarkan kepada statistik tangkapan dalam operasi bersepadu di seluruh Negara yang telah dijalankan pada tahun 2014 dan 2015, seramai 1,090 warga asing haram yang bekerja sebagai pengawal keselamatantelah ditangkap. Sebanyak 29 orang majikan yang menggaji pengawal keselamatan asing haram telah dikenakan tindakan kompaun oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

10.Masyarakat terutamanya persatuan penduduk dan badan pengurusan perumahan hendaklah juga memainkan peranan dengan memastikan hanya syarikat kawalan keselamatan yang berlesen sahaja dibenarkan memberikan perkhidmatan kawalan keselamatan dan menggunakan pengawal keselamatan tempatan atau warga Nepal yang dibenarkan dan telah lulus tapisan keselamatan oleh KDN dan PDRM.

11.Bagi tahun 2016, KDN akan terus melipat gandakan operasi penguatkuasaan dan usaha-usaha untuk mengurangkan penggunaan pengawal warga asing haram. Masyarakat adalah digalakkan untuk menyalurkan segala maklumat kepada KDN sekiranya mengetahui atau melihat warga asing haram yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

 

#####

 

 

AGENCIES & EXTERNAL LINKS


AGENCIES & EXTERNAL LINKS


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Copyright Reserved © Ministry of Home Affairs
Best viewed using Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
and Google Chrome with minimum resolution of 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

  • Latest Update : 13 May 2024.
Visitor Count : 1096915

moha qrcode