Kuching, 8 Februari 2015 - Sambutan Hari Ulang Tahun RELA Ke-43 telah diadakan pada 8 Februari 2015 di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang  Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Bin Haji Satem, Ketua Menteri Sarawak.
Program yang berlangsung selama dua hari ini bermula 7 hingga 8 Februari 2015. Antara ucapan Ketua Menteri Sarawak, beliau mahukan RELA dengan keahlian kira-kira 260,000 orang di negeri ini turut menyertai operasi membanteras kegiatan pembalakan haram. "Anda boleh menjadi mata dan telinga kerajaan untuk membantu tindakan Jabatan Perhutanan, Perbadanan Kehutanan Sarawak, Polis, Polis Marin, Lembaga Sungai Sarawak dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak," kata beliau.
Ketua Menteri itu memuji RELA kerana sumbangan besar mereka dalam memelihara keamanan dan keselamatan negara khususnya perkhidmatan mereka pada waktu bencana dan kecemasan. 
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Pengarah RELA Lukeman Saaid, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dan kira-kira 7,000 anggota RELA dari seluruh negara.