telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


FAQ Contact Us Complaints and Feedback Site Map

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

TEKS UCAPAN TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI : MAJLIS SAMBUTAN HARI ULANGTAHUN PERTAHANAN AWAM PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-61

1. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama berhimpun pada hari ini untuk meraikan Majlis Sambutan Hari Ulangtahun Pertahanan Awam Kali ke-61 sebagai simbolik pengiktirafan Jabatan yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan warga JPAM sekalian.

2. Saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk mengucapkan selamat Hari Ulangtahun Pertahanan Awam ke-61 kepada semua warga JPAM sekalian. Di sini juga saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kerajaan di atas segala pengorbanan dan sumbangan besar warga JPAM dalam bersama-sama menjayakan program transformasi kerajaan (GTP) melalui inisiatif pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mahupun dasar-dasar Kementerian Dalam Negeri (KDN).

3. Sehingga hari ini, JPAM telah mempunyai seramai 1,280 orang penjawat awam tetap. Walau bagaimanapun fungsi, peranan dan tanggungjawabnya telah disokong oleh 641,295 orang Anggota Sukarela Pertahanan Awam (ASPA) di seluruh negara. Selari dengan cita-cita nasional 1Malaysia, JPAM terus melipat gandakan usaha untuk melakukan penambahbaikan dan perubahan. Peranan JPAM terus diperkukuhkan sedikit demi sedikit termasuklah menunjangi agensi sukarelawan pilihan utama generasi muda pada hari ini. Pada masa yang sama JPAM turut melatih 52 pasukan Civil Defence Emergency Response Team dengan kekuatan 2,173 anggota di kilang dan syarikat-syarikat swasta. Selain itu juga penglibatan generasi muda turut diperkukuhkan dengan pendaftaran 756 buah penubuhan pasukan Kadet Pertahanan Awam (KAPA) di sekolah menengah dengan keahlian seramai 42,120 orang kadet, 166 buah pendaftaran Pasukan Institusi Latihan Pertahanan Awam (PISPA) di institusi kemahiran, kolej dan politeknik dengan keahlian seramai 11,147 orang pelatih serta 36 buah penubuhan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) di institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara dengan keahlian seramai 4,896 orang pegawai kadet.

4. Seiringan dengan itu, pelaksanaan penubuhan Skuad Muda KDN juga dilihat sebagai pemangkin kepada penglibatan golongan belia khususnya warga JPAM untuk bersama-sama untuk terlibat dalam program-program yang khusus bagi golongan belia yang boleh dilaksanakan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan, terutamanya bagi menyemai amalan kesukarelawanan di kalangan belia memandangkan tahun ini merupakan Tahun Kesukarelawanan Negara. Kerjasama padu dengan 1 Malaysia For Youth (1M4U) yang merupakan sebuah organisasi yang ditubuhkan melalui inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS) bagi menggalakkan semangat kesukarelawanan di kalangan belia, boleh diadakan dalam merangka program-program bagi menggabungkan semua badan sukarelawan dari seluruh Malaysia bagi menggalak dan menarik minat golongan belia untuk turut serta dalam aktiviti kesukarelaan. YAB Perdana Menteri juga turut meluluskan penubuhan Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) berjumlah RM100 juta bagi menggerakkan gelombang kesukarelaan di kalangan golongan belia melalui 1M4U bagi mencetus kejayaan lebih gemilang kepada negara menerusi idea serta sumbangan golongan belia.

5. Pada masa yang sama JPAM secara praktiknya telah melaksanakan program HANRUH (Pertahanan menyeluruh) kepada masyarakat melalui Latihan Kesiapsiagaan Awam Menghadapi Kecemasan (LKAMK). Di samping melipat gandakan usaha JPAM untuk memberi kesedaran awam, kepekaan masyarakat berhubung isu keselamatan, kecemasan dan bencana juga semakin meningkat. Program latihan kepada orang awam telah dilaksanakan sejak penubuhan JPAM lagi. Pelbagai kaedah dan aktiviti telah disusun dalam latihan ini bagi memudahkan proses penyampaian serta pengajaran ilmu-ilmu pertahanan awam kepada orang awam seperti pendedahan secara teori, demonstrasi menyelamat dan sebagainya. Dengan ilmu yang dipelajari daripada JPAM ini, orang awam boleh melakukan kerja-kerja bantuan menyelamat awal sementara menunggu bantuan daripada agensi-agensi penyelamat. Kesiapsiagaan awam ini sekaligus dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda penduduk awam.

6. Selain itu, pelaksanaan perkhidmatan bantuan kecemasan dan kemanusiaan bagi mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang disebabkan oleh bencana atau tindakan musuh merupakan antara perkhidmatan utama JPAM. Sejak ditubuhkan pada tahun 1952, JPAM yang dahulunya dikenali sebagai Civil Defence sentiasa memainkan peranan penting dalam menghadapi pelbagai bencana dan insiden kecemasan termasuk konfrontasi Malaysia ÔÇô Indonesia pada tahun 1964, pesawat terhempas di Tanjung Kupang, Johor (1977), tragedi kondominium Highland Towers tumbang di Hulu Kelang (1993), tragedi tanah runtuh Pos Dipang, Perak (1996), kejadian tanah runtuh di Gunung Pulai, Johor (2001), kejadian tsunami di utara Semenanjung (2004), banjir besar di negeri Johor (2006), runtuhan Bukit Antarabangsa (2008), runtuhan tanah di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat Selangor (2011). Di samping itu perkhidmatan bantuan kecemasan JPAM juga dilaksanakan meliputi :-

  • Talian Kecemasan Malaysian Emergency Response Services (MERS999)  talian kecemasan dilaksanakan sebagai perkhidmatan kecemasan harian JPAM bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) ; dan
  • Perkhidmatan Penyelamat Pantai pasukan penyelamat kecemasan JPAM yang bertugas di 33 lokasi pantai di seluruh negara bagi mengawasi keselamatan orang ramai dan aktiviti air di pantai ; dan
  • Menyelamat Bencana penugasan anggota JPAM dalam kejadian bencana seperti bangunan dan tanah runtuh, banjir, tsunami dan lain-lain bencana yang memerlukan jumlah anggota yang ramai. Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) yang berkemahiran tinggi diatur gerak dalam mana-mana kejadian bencana yang kompleks dan berisiko tinggi serta memerlukan kepakaran khas.

7. Namun begitu, baru-baru ini negara telah dikejutkan dengan kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah (12 Feb 2013) oleh kumpulan bersenjata yang menggelarkan diri mereka sebagai Tentera Sulu. Pasukan keselamatan, yang terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah bekerjasama bagi membuat perancangan tindakbalas untuk menamatkan konflik tersebut. Setakat ini, kejadian tersebut telah membawa kepada pertumpahan darah seramai 9 orang perajurit-perajurit negara. JPAM turut terlibat dalam memberi perkhidmatan bantuan kecemasan dan kemanusiaan sejak dari hari pertama lagi kejadian pencerobohan ini berlaku. Sehingga kini, JPAM telah menghantar bantuan kemanusiaan seramai hampir 100 orang yang terdiri daripada pegawai dan anggota sukarela JPAM selain melibatkan 20 buah logistik pelbagai kenderaan operasi seperti ambulan dan lori. Peranan dan tugasan JPAM sebagai agensi utama bagi melaksanakan tadbir urus serta mengkoordinasikan bantuan makanan mahupun logistik daripada agensi luar di semua empat pusat pemindahan utama yang telah dibuka iaitu di Dewan Serbaguna Embara Budi, Dewan Serbaguna Fajar Harapan, Dewan Serbaguna Cenderawasih dan Dewan Serbaguna Gemala Pura. Bersama-samalah kita mendoakan pasukan keselamatan kita berada dalam keadaan selamat dan berharap agar kita dapat menamatkan konflik ini dengan seberapa segera, Amin.

8. Seperti mana yang sedia maklum, cabaran JPAM sekarang adalah untuk memastikan peranan JPAM ini benar-benar dirasai oleh rakyat. Justeru itu, saya melihat pendekatan yang lebih dinamik dan beriltizam perlu disemai oleh semua warga JPAM agar berpegang kepada 5 nilai teras utama dalam mencapai visi yang ditetapkan antaranya :-

  • Strategik

Mengambil segala langkah secara terancang untuk melatih, mendidik, membentuk dan mempersiap segenap lapisan rakyat untuk memainkan peranan memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara.

  • Profesional

Bertindak dengan penuh komitmen bagi memanfaatkan segala kompetensi, kemahiran, peluang dan sumber yang ada untuk melengkapi keupayaan fizikal dan infrastruktur pertahanan awam yang dapat menjamin keselamatan negara samada dalam masa aman, kecemasan, bencana mahupun peperangan.

  • Responsif

Peka dan prihatin dengan kehendak stakeholders, warga Angkatan dan rakyat dalam menangani permasalahan, mencadangkan penyelesaian serta menambahbaik perkhidmatan.

  • Kerja Berpasukan

Menggembleng tenaga, pengetahuan, kekuatan dalaman warga Angkatan dan keupayaan yang optima melalui semangat kerja berpasukan yang tinggi (esprit de corps) dalam melaksana tindakan proaktif mendekati rakyat dan membentuk kesedaran awam.

  • Berintegriti

Berkhidmat dengan penuh komitmen, amanah dan rasa tanggungjawab dalam melaksana tindakan bagi menghasilkan outcome yang berkualiti berasaskan kesedaran, etika kerja cemerlang dan nilai positif warga Angkatan khasnya serta rakyat amnya.

Kita semua hendaklah sedar bahawa kita adalah pemegang amanah rakyat dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan dan kemakmuran negara. Oleh itu, sempurnakanlah amanah yang diberi dengan jujur dan berani. Janganlah kita abaikan tanggung jawab ini. Satu hari nanti kelak, kita dapat berbangga dengan pencapaian kita, bukan di ukur dengan gaya mahupun gelaran tetapi kerana kita tahu bahawa kita kerja dengan betul, ikhlas dan di redhai Allah SWT.

9. Akhir sekali, saya sekali lagi ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Ulangtahun Pertahanan Awam Ke-61 kepada seluruh warga JPAM sekalian. Saya berdoa agar majlis ini berjalan dengan lancar dan diberkati oleh Allah SWT. Dengan ini saya dengan sukacita dan besar hatinya merasmikan sambutan Hari Ulangtahun Pertahanan Awam kali ke-61 bagi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sekian, terima kasih. Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

UKOM/TMDN/JAS/28 Mac 2013

AGENCIES & EXTERNAL LINKS


AGENCIES & EXTERNAL LINKS


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Copyright Reserved © Ministry of Home Affairs
Best viewed using Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
and Google Chrome with minimum resolution of 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

  • Latest Update : 26 April 2024.
Visitor Count : 1088670

moha qrcode