telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


Soalan Lazim Hubungi Kami Aduan dan Maklum Balas Peta Laman

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

logo-header

logo-header

TEKS UCAPAN YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN, MENTERI DALAM NEGERI DI MAJLIS SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN RELA KE-47 PERINGKAT KEBANGSAAN 2019

TEKS UCAPAN

YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
MENTERI DALAM NEGERI

DI MAJLIS SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN RELA KE-47
PERINGKAT KEBANGSAAN 2019

PADA 19 FEBRUARI 2019; PUKUL 2.30 PETANG
BERTEMPAT DI DEWAN AUDITORIUM KDN, PUTRAJAYA

 

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

YB Datuk Mohd Aziz bin Jamman
Timbalan Menteri Dalam Negeri

YBhg Dato’ Seri Alwi bin Hj Ibrahim
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri

YBhg Ketua Pesuruhjaya RELA Zulkifli bin Abidin
Ketua Pengarah RELA Malaysia

YBhg Dato’ Jamil bin Rakon
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan)
Kementerian Dalam Negeri

Ketua-Ketua Jabatan

Pegawai-pegawai kanan kementerian

Barisan pengurusan tertinggi RELA

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya Nya jua kita dapat bersama-sama berhimpun pada hari ini untuk meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-47 Jabatan Sukarelawan Malaysia Peringkat Kebangsaan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun kepada seluruh warga RELA Malaysia di serata pelosok tanah air yang tercinta ini.

2. Sejak penubuhannya pada 11 Januari 1972, RELA Malaysia telah menempuh pelbagai cabaran, dan sehingga ke hari ini masih lagi utuh berdiri dan berkembang dengan majunya. Bermula dengan Pasukan Home Guard, yang mengembleng tenaga sukarelawan di seluruh negara bagi membantu kerajaan menangani masalah pengganas komunis, pasukan ini telah berkembang menjadi sebuah Jabatan yang menguruskan tenaga sukarelawan seramai 3.1 juta anggota. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga RELA!

3. Tema sambutan Hari Ulang Tahun pada tahun ini iaitu “Dari Rakyat, Bersama Rakyat, Untuk Rakyat” adalah sangat bertepatan dengan peranan dan fungsi RELA Malaysia. Kewujudan pasukan ini adalah untuk memberi ruang kepada seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara dalam mempertahankan tanah air tercinta dan juga menjaga kesejahteraan serta keamanan setempat. Untuk itu, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga RELA Malaysia yang sanggup menyahut seruan dan cabaran ini.

RELA MALAYSIA: PANDANGAN KE HADAPAN

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

 4. Kita semakin menghampiri sasaran wawasan negara kita untuk menjadi sebuah negara maju. Namun, walau bagaimana pesat sekalipun kemajuan negara, jika ia tidak diisi dengan masyarakat yang bertanggungjawab dan berpekerti mulia, kemajuan yang kita capai adalah ibarat pokok besar yang lebat daunnya di luar tetapi berlohong di dalam. RELA Malaysia mempunyai peranan yang besar dalam mengisi makna sebuah negara maju yang telah lama kita nantikan.

5. Melalui wadah RELA Malaysia, jaringan aktiviti kesukarelawanan yang dianjurkan oleh jabatan ini boleh menyemarakkan sifat kebertanggungjawaban dan keprihatinan masyarakat Malaysia. Semangat bergotong-royong boleh disemarakkan melalui program-program Khidmat Bakti RELA. Pelaksanaan pelbagai program yang bertujuan untuk mengekal dan menjamin kesejahteraan penduduk setempat seperti membaik pulih dan membersihkan rumah-rumah ibadat, pusat-pusat tahfiz dan rumah-rumah orang kurang berkemampuan yang daif dan uzur serta bergotong-royong membersihkan sarang-sarang penagihan dadah, pembiakan nyamuk serta kawasan terbiar di kampung-kampung dan perumahan awam wajar dirancakkan lagi dengan penglibatan komuniti setempat. Saya percaya sifat kebertanggungjawaban terhadap kesejahteraan masyarakat setempat boleh diterapkan melalui program-program yang dianjurkan oleh RELA.

6. Selain itu, RELA Malaysia juga mampu menjadi pemangkin kepada aktiviti-aktiviti pencegahan jenayah bersama komuniti dalam usaha mengurangkan kejadian jenayah. Alhamdulilah, pada tahun lalu, Jenayah Indeks Per 100,000 Penduduk Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 11.9 peratus atau 11,949 kes kepada 88,662 kes berbanding nilai ambang yang ditetapkan iaitu 100,611 kes. Saya juga difahamkan bahawa pada tahun lepas anggota-anggota RELA telah berjaya melaksanakan 17,397 rondaan keselamatan secara sukarela di seluruh negara dalam usaha mencegah jenayah di kawasan setempat. Ini adalah satu usaha murni yang patut diteruskan dengan penglibatan komuniti setempat untuk bersama-sama menggalas peranan dan tanggungjawab memastikan insiden-insiden jenayah di negara ini terus berkurangan.

7. Dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan masyarakat setempat, peranan para pegawai dan anggota RELA Malaysia perlu dikembang luaskan lagi dengan penglibatan bersama agensi-agensi lain dalam menguruskan insiden-insiden bencana dan kecemasan. Anggota-anggota RELA berupaya menjadi pasukan yang paling awal tiba di tempat kejadian sebelum ketibaan pasukan Polis, Bomba atau ambulans kerana anggota RELA berada di mana-mana sahaja. Meskipun, telah termaktub dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 peranan RELA Malaysia dalam pengurusan bencana negara, tanggungjawab tersebut perlu diperluaskan skopnya dalam usaha melicinkan pengurusan mangsa bencana. Justeru, usaha pemerkasaan dan pembangunan keupayaan pegawai serta anggota RELA hendaklah sentiasa ditingkatkan supaya mereka mampu menggalas tanggungjawab dan peranan penting ini.

8. Selain itu, anggota RELA Malaysia yang datang daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya adalah rencah utama kekuatan jabatan ini. RELA Malaysia merupakan natural melting pot dalam menyatu padukan rakyat Malaysia. Saya berharap semangat kekitaan dan amalan perkongsian antara kaum yang telah lama diamalkan oleh jabatan ini akan terus subur supaya perpaduan dan keharmonian negara dapat dikekalkan.

9. Tidak lupa juga penglibatan orang muda dalam aktiviti kesukarelawanan juga perlu ditingkatkan. Mereka ini adalah pewaris negara. Semangat kesukarelawanan haruslah disematkan di sanubari anak-anak muda kita untuk memastikan semangat ini tidak hilang ditelan arus peredaran zaman. Mereka inilah yang akan mengisi dan mencorakkan masa depan negara.

10. Sehubungan ini, saya mengucapkan syabas kepada RELA Malaysia yang telah bertapak di 29 institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara menerusi penubuhan Briged RELA Siswa Siswi atau RELASIS. Ini merupakan satu inisiatif yang amat baik dalam usaha untuk melebarkan jaringan aktiviti kesukarelawanan berteraskan keselamatan kepada anak-anak muda kita. Saya berharap Briged RELASIS dapat dikembangkan lagi ke semua institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara dalam masa terdekat.

PERUNTUKAN BELANJA MENGURUS DAN PEMBANGUNAN

11. Dari segi peruntukan kerajaan, pada tahun 2019 RELA Malaysia telah menerima peruntukan Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM 124 juta iaitu pertambahan sebanyak RM 12 juta berbanding peruntukan yang diterima pada tahun 2018.

12. Bagi Peruntukan Pembangunan pula, RELA Malaysia telah menerima peruntukan sebanyak RM 22.6 juta pada tahun 2019 bagi pelaksanaan tiga projek fizikal di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu Projek pembinaan Pusat Latihan RELA Negeri Sarawak, Projek Naik Taraf Akademi Latihan RELA Malaysia di Sg Udang, Melaka dan Projek Naik Taraf Pusat Latihan RELA Negeri Sabah. Peruntukan-peruntukan ini melambangkan kepercayaan berterusan yang diberikan oleh Kerajaan kepada RELA Malaysia.

ELAUN ANGGOTA RELA

13. Kementerian Dalam Negeri juga sentiasa prihatin terhadap kebajikan anggota RELA. Ini termasuk hal yang berkaitan dengan kadar elaun yang diterima oleh mereka. Pada masa ini, anggota RELA yang bertugas dan menghadiri latihan dibayar elaun sebanyak RM6.00 sejam bagi anggota biasa dan RM7.80 sejam bagi pegawai. Kali terakhir elaun ini dikaji semula ialah pada tahun 2012, iaitu 7 tahun yang lalu. Dengan mengambil kira kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat, saya bersetuju supaya elaun tersebut dikaji semula demi kebajikan semua anggota RELA dan keluarga mereka.

PENGHARGAAN KEPADA PEGAWAI DAN ANGGOTA RELA MALAYSIA

14. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga RELA Malaysia di seluruh negara kerana bersedia memikul tugas dan peranan kesukarelawanan yang berpaksikan keselamatan ini. Pakaian seragam yang tuan-tuan dan puan-puan sarung itu adalah bukti komitmen anda semua untuk berjuang bersama-sama pasukan keselamatan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta ini dan berbakti kepada masyarakat. Jika pasukan keselamatan itu tulang belakang keamanan negara, andalah sendinya.

PENUTUP

15. Sekali lagi saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun RELA yang ke-47 kepada seluruh warga RELA Malaysia. Akhir kata, dengan lafaz yang mulia, Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan penuh rasa syukur dan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun RELA ke-47 Peringkat Kebangsaan.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

AGENSI & PAUTAN LUAR


AGENSI & PAUTAN LUAR


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Hakcipta Terpelihara © Kementerian Dalam Negeri 2018
Paparan terbaik pada Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
dan Google Chrome dengan resolusi minima 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

Kemaskini Terakhir: 02 Disember 2024.
Jumlah Pelawat : 1122874

moha qrcode