telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


Soalan Lazim Hubungi Kami Aduan dan Maklum Balas Peta Laman

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

logo-header

logo-header

PENGUMUMAN LAPORAN SURUHANJAYA SIASATAN PENDATANG ASING DI SABAH OLEH YBHG. TAN SRI KETUA SETIAUSAHA NEGARA

PENGUMUMAN LAPORAN SURUHANJAYA SIASATAN PENDATANG ASING DI SABAH OLEH 

YBHG. TAN SRI KETUA SETIAUSAHA NEGARA

PADA 3 DISEMBER 2014 (RABU)

DI KOTA KINABALU SABAH

 

1.            Sepertimana semua sedia maklum, Kerajaan telah membuat keputusan supaya satu Suruhanjaya ditubuhkan bagi menyiasat isu kebanjiran warga asing di Sabah yang telah hangat diperkatakan dan diperbincangkan oleh pelbagai pihak khususnya di Sabah.

2.            Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah menurut Seksyen 2(1)(d) dan Seksyen 3(1) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 pada 6 September 2012 dan menetapkan lapan (8) Terma Rujukan bagi Suruhanjaya ini, iaitu:-

2.1         untuk menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang diberikan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan;

2.2         untuk menyiasat sama ada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah adalah menurut peruntukan undang-undang;

2.3         untuk menyiasat sama ada pendatang asing di Sabah yang memegang kad pengenalan biru, resit pengenalan sementara (biru) atau kewarganegaraan secara tidak mengikut undang-undang telah didaftarkan dalam daftar pemilih; 

 

2.4         untuk menyiasat sama ada pihak berkuasa yang berkenaan telah mengambil apa-apa penambahbaikan kepada prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan bagi mengelakkan apa-apa ketidakteraturan dari segi undang-undang;

2.5         untuk menyiasat dengan lebih lanjut mengenai prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan berhubung dengan pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah dengan mengambil kira standard dan norma antarabangsa yang terpakai bagi Malaysia, dan untuk mengesyorkan apa-apa pindaan atau perubahan untuk memantapkan dan menambah baik prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan itu;

2.6         untuk menyiasat sebab-sebab peningkatan populasi di Sabah mengikut kategori yang berikut: 

(i)            Warga Sabah yang menetap di Sabah, termasuklah mereka yang diberikan kad pengenalan biru dan kewarganegaraan melalui Sijil Kelahiran [Pendaftaran  Lewat];

(ii)          Pekerja asing [termasuk ahli keluarga];

(iii)         Pendatang asing tanpa izin [termasuk keluarga]; dan

(iv)         Pelarian,

dan meneliti kesannya terhadap bilangan yang mendaftar dalam daftar pemilih; 

2.7         untuk menyiasat implikasi sosial ke atas masyarakat di Sabah yang berbangkit daripada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah; dan 

2.8         untuk menyiasat bilangan pendatang asing di Sabah yang telah diberikan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan dengan mengambil kira status mereka sebagai orang tidak bernegara. 

3. ┬á ┬á ┬á ┬á ┬á ┬áSeri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seterusnya telah berkenan melantik bekas Ketua Hakim Besar Sabah dan Sarawak, YBhg. Tan Sri Datuk Amar Steve Shim Lip Kiong sebagai Pengerusi Suruhanjaya manakala Ahli-ahli Suruhanjaya lain ialah YBhg. Tan Sri Herman J. Luping (bekas Peguam Negeri Sabah), YBhg. Datuk Seri Panglima Prof. Dr. Kamaruzaman Haji Ampon (bekas Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah), YBhg. Datuk K.Y Mustafa (bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah) dan YBhg. Tan Sri Henry Chin Poy Wu (bekas Ketua Polis Kuala Lumpur). YBhg. DatoÔÇÖ Saripuddin Kasim, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang kini merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia telah dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya.

4.            Suruhanjaya ini selesai menjalankan siasatannya, memuktamadkan hasil siasatan dan seterusnya mempersembahkan Laporannya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 14 Mei 2014.  YAB Perdana Menteri selanjutnya telah membentangkan hasil Laporan Suruhanjaya ini kepada Jemaah Menteri pada 16 Julai 2014. 

5.            Laporan Suruhanjaya ini disediakan dalam dwi bahasa iaitu dalam versi asal Bahasa Inggeris yang mengandungi tiga ratus enam puluh lapan (368) muka surat dan versi Bahasa Malaysia yang mengandungi empat ratus dua puluh tujuh (427)  muka surat.

6.            Suruhanjaya ini telah membuat pendengaran lisan selama empat puluh tiga hari (43) hari mulai 14 Januari 2013 sehingga 9 September 2013 di Kompleks Mahkamah Tinggi, Kota Kinabalu, Sabah dan ianya merupakan prosiding terbuka dan dibuat secara telus di mana orang ramai dibenar hadir dan memerhati pendengaran lisan ini.  Suruhanjaya juga telah mengambil kenyataan ke atas 361 orang, mendengar keterangan daripada dua ratus sebelas (211) orang saksi yang terdiri daripada Pegawai Kanan Kerajaan, ahli politik, penulis buku, tahanan pelarian dan orang awam meliputi lebih lima ribu (5,000) mukasurat,  seratus tujuh puluh tujuh (177) eksibit termasuk carta, gambar, statistik, surat, arahan rasmi, komentar dan artikel serta mengadakan lawatan ke lima (5) buah  perkampungan pendatang asing terpilih. 

 7.            Dalam menjalankan tanggungjawabnya, Suruhanjaya ini telah dibantu oleh tiga (3) orang Pegawai Pengendali dari Jabatan Peguam Negara, Pasukan Penyiasat seramai lima belas (15) orang pegawai yang terdiri daripada pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lima (5) orang pegawai Urusetia dari pelbagai jabatan,

 8.            Kerajaan ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada bekas Pengerusi serta Ahli-ahli Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah kerana telah berjaya menyiapkan Laporan Siasatan ini serta di atas komitmen  adan dedikasi yang telah diberikan oleh mereka sepanjang tempoh lantikan.  Kerajaan juga mengucapkan terima kasih kepada bekas Setiausaha Suruhanjaya, Pegawai Pengendali, Pegawai Penyiasat serta semua mereka yang terlibat dalam siasatan ini.

9.            Sukacita saya memaklumkan bahawa Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 21 November 2014 telah bersetuju supaya hasil siasatan dan Laporan Suruhanjaya ini diumumkan kepada orang ramai dan Laporannya dijual. Sehubungan itu saya ingin maklumkan bahawa Laporan dalam versi Bahasa Melayu dan versi asal Bahasa Inggeris akan dijual pada harga Seratus Ringgit (RM100.00) senaskah.  Orang ramai yang berminat untuk membeli Laporan ini boleh berbuat demikian di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu dan  di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya mulai jam 9.00 pagi esok, hari Khamis, 4 Disember 2014.

 10.         Seterusnya izinkan saya mengumumkan hasil siasatan Laporan Suruhanjaya berkenaan.

 11.         Suruhanjaya setelah  mengambil kira hasil  siasatan dan keterangan daripada saksi-saksi serta bahan-bahan eksibit yang dikemukakan sepanjang siasatan, merumuskan bahawa:

11.1 ┬á ┬áBagi Terma Rujukan pertama iaituuntuk menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang diberikan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan, Suruhanjaya menganggap keterangan daripada saksi YBhg. DatoÔÇÖ Jariah binti Mohd Said, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara mengenai bilangan Kad Pengenalan baru yang dikeluarkan kepada pendatang asing iaitu 67,675 dan bilangan pendatang di Sabah yang diberi kerakyatan ┬ásejak tahun 1963 sehingga 31 Ogos 2013 iaitu 68,703 orang sebagai angka rasmi yang didasarkan kepada rekod Jabatan Pendaftaran Negara. ┬áAnggaran bilangan pendatang asing di Sabah yang diberikan Kad Pengenalan Malaysia secara haram dan tidak sah oleh SUHAKAM yang diambil dari pengiraan saksi Dr. Chong Eng Leong dan saksi-saksi lain jauh melebihi angka ini.

11.2      Berhubung dengan Terma Rujukan kedua iaitu untuk menyiasat sama ada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah adalah menurut peruntukan undang-undang,  Suruhanjaya mendapati tidak terdapat petunjuk yang jelas bahawa tatacara yang berhubungan dengan pengemukaan maklumat dan dokumen yang diperlukan dalam pengeluaran Kad Pengenalan telah dilanggar oleh Jabatan Pendaftaran Negara sepertimana diperuntukkan  di bawah National Registration Rules  1972 dan tatacara yang digunapakai oleh pihak berkuasa didapati teratur. 

Perkara yang salah ialah tatacara telah disalahgunakan

oleh pemohon dengan memberi maklumat tidak tepat dan selepas itu pengesahan maklumat oleh Ketua Kampung dan sebagainya.  Suruhanjaya mendapati penggunaan akuan berkanun atau surat akuan yang sebenarnya memudahkan dan menyerlahkan penyalahgunaan. 

 Suruhanjaya turut menyentuh mengenai tanggapan yang salah oleh banyak pihak berkaitan kewarganegaraan dan Kad Pengenalan.  Suruhanjaya menegaskan bahawa Kad Pengenalan Biru bukan merupakan bukti sebagai rakyat Malaysia.  Ia hanya keterangan tentang kerakyatan Malaysia.  Seseorang perlu menjadi rakyat Malaysia terlebih dahulu sebelum berhak mendapat Kad Pengenalan.

11.3    Bagi Terma Rujukan ketiga pula iaitu untuk menyiasat sama ada pendatang asing di Sabah yang memegang kad pengenalan biru, resit pengenalan sementara (biru) atau kewarganegaraan secara tidak mengikut undang-undang telah didaftarkan dalam daftar pemilih, tiada keterangan dikemukakan kepada Suruhanjaya bahawa apa-apa kerakyatan yang diberikan kepada pendatang asing yang tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan. 

Walau bagaimanapun terdapat keterangan yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa pendatang yang bukan rakyat Malaysia diberi Kad Pengenalan Biru secara haram oleh sindiket/individu tertentu dan selepas itu mendaftar diri mereka sebagai pengundi dalam daftar pemilih berdasarkan Kad Pengenalan mereka. 

Berdasarkan kepada keterangan yang menyeluruh, Suruhanjaya dapati bahawa terdapat orang bukan warganegara mendaftar dalam daftar pemilih tetapi tidak dapat ditentukan bilangan sebenar mereka. 

11.4    Terma Rujukan keempat iaitu untuk menyiasat sama ada pihak berkuasa yang berkenaan telah mengambil apa-apa penambahbaikan kepada prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan bagi mengelakkan apa-apa ketidakteraturan dari segi undang-undang dan Terma Rujukan kelima, iaitu untuk menyiasat dengan lebih lanjut mengenai prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan berhubung dengan pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah dengan mengambil kira standard dan norma antarabangsa yang terpakai bagi Malaysia, dan untuk mengesyorkan apa-apa pindaan atau perubahan untuk memantapkan dan menambah baik prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan itu, Suruhanjaya mendapati Jabatan Pendaftaran Negara telah melaksanakan pelbagai inisiatif sebelum ini untuk meningkatkan dan menambahbaik sistemnya secara beransur-ansur dalam menangani penyalahgunaan yang dilakukan oleh sindiket/individu tertentu. 

┬áIni termasuklah pengeluaran Kad Pengenalan secara berpusat (centralisation) dengan menggunakan Sistem Pengecaman Capjari Bersepadu (Automated Fingerprint Identification System ÔÇô AFIS), format Kad Pengenalan ditukar, langkah-langkah menambahbaik tatacara pengendalian standard pengeluaran Kad Pengenalan dengan memperkenalkan ciri-ciri keselamatan yang baik serta berkesan, penubuhan Unit Khas Sabah dan Sarawak untuk menangani permohonan Kad Pengenalan bermasalah, Unit Bergerak yang ditugaskan menjalankan usaha pendaftaran kelahiran, perkahwinan dan kematian di kedua-dua negeri tersebut serta memanfaatkan Agency Link-Up Information System (ALIS) dengan Suruhanjaya Pilihanraya dalam menentusah maklumat yang meragukan. ┬áMelalui link-up ini sebanyak 78,340 nama telah berjaya dikeluarkan dari daftar pemilih atas sebab meninggal dunia.

11.5    Mengenai Terma Rujukan keenam, iaitu untuk menyiasat sebab-sebab peningkatan populasi di Sabah mengikut kategori:

(i)          Warga Sabah yang menetap di Sabah, termasuklah mereka yang diberikan kad pengenalan biru dan kewarganegaraan melalui Sijil Kelahiran [Pendaftaran  Lewat];

(ii)          Pekerja asing [termasuk ahli keluarga];

(iii)         Pendatang asing tanpa izin [termasuk keluarga]; dan

(iv)         Pelarian dan meneliti kesannya terhadap bilangan yang mendaftar dalam daftar pemilih;

Suruhanjaya  menekankan perlunya membezakan antara pendatang tanpa izin dengan pelarian.  Secara umum, terdapat lima (5) kategori pendatang asing iaitu:

(i)            Mereka yang memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sepatutnya;

(ii)          Mereka yang ingkar dengan kontraknya;

(iii)         Mereka yang menyalahguna permit/pas;

(iv)         Orang yang tinggal melebihi tempoh permit/pas; dan

(v)          Anak-anak orang yang dilahirkan di Malaysia dan kelahirannya tidak didaftarkan.

Pelarian pula ialah seseorang yang terpaksa meninggalkan negaranya berdasarkan ketakutan yang berasaskan terhadap penindasan atas alasan agama, kewarganegaraan, bangsa, kepercayaan politik dan sebagainya.  Manakala orang tidak bernegara pula ialah orang yang tidak mempunyai negara dan kerakyatan termasuk orang yang kewarganegaraannya belum ditentukan.  

Suruhanjaya mendapati penghijrahan peringkat pertama pendatang awal ke Sabah dari Pulau Sulu bermula pada lewat abad ke-15 lagi iaitu sebelum kedatangan orang Sepanyol ke Filipina di mana wujud bentuk politik yang koheren dan pertalian budaya antara pelbagai kumpulan etnik yang menetap di Sabah, Filipina dan Indonesia. 

Suruhanjaya juga mendapati faktor utama yang menyumbang kepada kemasukan pendatang asing tanpa izin yang ramai ke Sabah ialah motivasi ekonomi. ┬áAntara ÔÇ£faktor penolakanÔÇØ kepada kemasukan pendatang asing tanpa izin yang ramai adalah disebabkan terdapatnya pengangguran besar-besaran di Selatan Filipina dan Indonesia ┬ámulai tahun 1978.

Berdasarkan keterangan di hadapan Suruhanjaya, Pemberontakan Mindanao pada tahun 1970an merupakan faktor penyumbang utama kemasukan pelarian yang ramai ke Sabah.  Sungguhpun penandatangan perjanjian damai termeterai, realitinya masih wujud keadaan yang tidak menentu di Selatan Filipina menyebabkan pelarian enggan kembali ke negara asal dan memilih untuk terus berada di Sabah yang aman dan selamat. 

Suruhanjaya juga mendapati terdapat keterangan-keterangan yang mencukupi tentang penglibatan sindiket/individu  tertentu yang korup dalam pengeluaran Kad Pengenalan Malaysia dan dokumen lain secara haram.  Ini menjadikan pendatang asing tanpa izin tidak menghadapi sebarang kesukaran dalam memperolehi Kad Pengenalan, Sijil Kelahiran dan dokumen-dokumen lain dalam menjadikan diri mereka sebahagian daripada rakyat Sabah.

Satu lagi sebab utama bagi pengaliran pendatang asing yang tidak dikawalselia dari Filipina dan Indonesia ialah kedudukan geografi, di mana Sabah mempunyai garisan pantai melebihi 1700 km.  Semua saksi yang memberi keterangan sama ada pelarian mahupun penghijrah ekonomi tidak menghadapi apa-apa kesukaran memasuki Sabah.

11.6 ┬á ┬á ┬áSuruhanjaya turut menyentuh mengenai ÔÇ£Projek ICÔÇØ yang telah dibangkitkan oleh saksi-saksi dari kalangan ahli politik, penulis, wartawan dan orang ramai, di mana Suruhanjaya telah membuat kesimpulan bahawa terdapat kebarangkalian ÔÇ£Projek ICÔÇØ ini wujud pada semua masa yang material namun ia hanyalah berdasarkan keterangan lima (5) orang saksi yang bukan sahaja tidak tertakluk kepada pemeriksaan balas malah merupakan bekas pegawai dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara Sabah yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 berkaitan penglibatan mereka di dalam pengeluaran kad-kad pengenalan secara haram.

11.7    Mengenai Terma Rujukan ketujuh iaitu untuk menyiasat implikasi sosial ke atas masyarakat di Sabah yang berbangkit daripada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah, Suruhanjaya mendapati sukar untuk merumuskan implikasi sosial yang wujud memandangkan tiada kaedah yang dilaksanakan oleh agensi-agensi Kerajaan berkaitan untuk membezakan mereka yang menerima Kad Pengenalan Biru atau kewarganegaraan daripada rakyat Malaysia yang tulen.  Statistik atau data yang dikemukakan oleh agensi tersebut adalah termasuk pendatang yang telah memperolehi Kad Pengenalan atau kerakyatan.

Namun begitu, amat nyata sekali bahawa kemasukan pendatang asing ini telah mengakibatkan kos perbelanjaan kesihatan dan kawalan penyakit meningkat, kehilangan hasil oleh Kerajaan akibat aktiviti penyeludupan pelbagai barangan yang tidak dapat dikutip, peningkatan kegiatan jenayah serta peningkatan kos menanggung perbelanjaan pengurusan banduan merupakan implikasi sosial yang amat jelas kepada kita semua. 

11.8    Berhubung dengan Terma Rujukan terakhir iaitu untuk menyiasat bilangan pendatang asing yang telah diberikan Kad Pengenalan Biru ataupun kewarganegaraan dengan mengambilkira status mereka sebagai orang tidak bernegara (stateless persons), Suruhanjaya tidak menjawabnya secara khusus tetapi Suruhanjaya telah menyentuh mengenai bilangan mereka ini di bawah Terma Rujukan Pertama, iaitu seramai 3 orang sahaja.

12. ┬á ┬á ┬á ┬á Selain daripada melaksanakan siasatan ke atas 8 Terma Rujukan yang ditetapkan, Suruhanjaya turut menyarankan agar pihak berkuasa memperluaskan ┬áoperasi ÔÇ£Ops BersepaduÔÇØ untuk mengusir pendatang asing di Sabah seperti mana dilakukan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia secara agresif.┬á

13.         Suruhanjaya turut memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Sabah dalam mewujudkan Mahkamah Bergerak dalam membantu rakyat di kawasan pedalaman Sabah untuk akses kepada pendaftaran kelahiran lewat bagi bayi-bayi yang dilahirkan tanpa sijil kelahiran. 

14.         Dalam mencari penyelesaikan ke atas isu kebanjiran pendatang asing di Sabah, Suruhanjaya telah meneliti 3 cadangan dari saksi-saksi:-

14.1      Cadangan pertama ialah menarik balik semula Kad Pengenalan yang diberi secara haram.  Sungguhpun Suruhanjaya mendapati cadangan ini mempunyai merit tersendiri tetapi timbul kesukaran dalam mekanisma untuk mengenalpasti dan mengesan pemegang Kad Pengenalan; 

14.2 ┬á ┬á ┬áCadangan kedua iaitu memperkenalkan ÔÇ£Kad Pengenalan SabahÔÇØ kepada penduduk Sabah yang asli. ┬áWalau bagaimanapun Suruhanjaya mendapati tiada sebarang mekanisma pelaksanaan dikemukakan oleh mana-mana saksi; dan

14.3      Cadangan ketiga iaitu penubuhan suatu Jawatankuasa Tetap Mengenai Orang Asing Di Sabah dan didokong oleh sebuah Jawatankuasa Pengurusan Mengenai Orang Asing.

15.         Sehubungan itu, Suruhanjaya telah mengesyorkan supaya dua cadangan dipertimbangkan oleh Kerajaan iaitu:

15.1    Pertamanya, penubuhan sebuah Jawatankuasa Tetap Mengenai Pendatang Asing di Sabah.  Jawatankuasa Tetap ini akan dibantu oleh suatu Jawatankuasa Pengurusan Pendatang Asing (Management Committee on Foreigners) yang diberikan kuasa yang secukupnya.

15.2      Sekiranya cadangan penubuhan Jawatankuasa Tetap tidak dipersetujui oleh Kerajaan, Suruhanjaya mengesyorkan supaya suatu Majlis Penasihat  Mengenai Pendatang  Asing ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh profesional dan dianggotai oleh Pegawai Kanan Kerajaan, tokoh korporat, tokoh akademik, wakil pengamal perundangan, wakil Pejabat Peguam Negeri dan lain-lain pihak yang bersesuaian.

1.           Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan telah bersetuju menerima syor Suruhanjaya supaya sebuah Jawatankuasa Tetap Mengenai Pendatang Asing di Sabah ditubuhkan.  Jawatankuasa tetap ini akan dipengerusikan  bersama oleh YB Menteri Dalam Negeri dan YAB Ketua Menteri Sabah dan Jawatankuasa tetap ini akan melaporkan kepada Jemaah Menteri (Kabinet) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Keahlian,  terma rujukan serta bidangkuasanya akan ditetapkan pada masa terdekat. 

2.           Walaubagaimanapun, Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan (Timbalan Ketua Menteri Sabah) akan ditubuhkan. Jawatankuasa Kerja ini akan antara lain meneliti isu-isu yang dibangkitkan oleh Laporan Suruhanjaya ini serta maklumbalas, aduan dan pandangan masyarakat Sabah untuk dipertengahkan kepada Jawatankuasa Tetap Mengenai Pendatang Asing.

3.           Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan mempunyai keazaman dan komitmen yang tinggi untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini secara menyeluruh dan berterusan.

4.           Bahkan sebelum Laporan ini disiapkan lagi, Kerajaan telah dan sedang melaksanakan tindakan-tindakan berkaitan beberapa perkara yang disentuh oleh Suruhanjaya.  Ini termasuklah:-

19.1  Penubuhan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada 25 Mac 2013 yang berperanan memantapkan keselamatan dan kedaulatan negara daripada kumpulan-kumpulan yang mengancam keselamatan negeri Sabah seperti kemasukan pendatang tanpa izin di sepanjang kawasan Pantai Timur Sabah.

19.2  Melaksanakan operasi bersepadu mengusir pendatang asing sepertimana di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia secara berterusan.  Sejak tahun 2012 sehingga akhir November 2014, seramai 40,654 pendatang asing yang menyalahi peraturan Imigresen telah diusir keluar dari Sabah iaitu seramai 29,981 pendatang dari Filipina, 10,055 pendatang dari Indonesia dan 618 pendatang dari negara-negara lain.  Pecahan mereka mengikut warganegara adalah seperti berikut:-

TAHUN

INDONESIA

FILIPINA

LAIN-LAIN

JUMLAH

2012

3,091

9,188

272

12,551

2013

3,805

9,304

113

13,222

2014

(sehingga Nov)

3,159

11,489

233

14,881

JUMLAH

10,055

29,981

618

40,654

  Operasi ini akan diteruskan tanpa henti.

19.3  Jabatan Imigresen Sabah turut merangka penambahbaikan terhadap penguatkuasaan sedia ada termasuk melalui penubuhan Unit Inteligen, memperkasa Unit Forensik Jabatan Imigresen Sabah bagi membantu lebih banyak pendakwaan dilakukan dan menaiktaraf talian dan sistem sedia ada bagi membolehkan sistem biometrik dilaksanakan sepenuhnya; dan

19.4 ┬áBagi mengelakkan kekeliruan serta persepsi yang salah di kalangan orang ramai, Jemaah Menteri pada 14 November 2014 telah memutuskan supaya penggunaan terminologi ÔÇ£rekod kelahiranÔÇØ untuk mendaftar kelahiran kanak-kanak bukan warganegara (stateless) digunapakai dan bukannya Sijil Kelahiran yang diluluskan untuk warganegara. ┬áWarna untuk ÔÇ£rekod kelahiranÔÇØ ini juga adalah berbeza dengan Sijil Kelahiran. ┬áKeputusan ini dibuat untuk memastikan bahawa Sijil Kelahiran yang di antaranya diperlukan untuk mendaftar warganegara tidak disalahgunakan oleh mereka yang bukan warganegara. ┬áKeputusan Jemaah Menteri ini telahpun diumumkan sendiri oleh YAB Perdana Menteri semasa lawatan kerja rasmi ke Negeri Sabah pada 16 November 2014┬á

5.           Kerajaan amat berharap agar dengan pengumuman Laporan Siasatan Suruhanjaya ini, isu mengenai pendatang asing di Sabah tidak lagi digembar-gemburkan. Kerajaan ingin menumpukan segala perhatian ke hadapan (way forward) dalam menyelesaikan isu pendatang asing di Sabah ini dan menjadikan dapatan Suruhanjaya sebagai panduan dan rujukan utama.

6. ┬á ┬á ┬á ┬á ┬á Dapatan Suruhanjaya telahpun mengesahkan bahawa pengeluaran Kad Pengenalan dan kerakyatan oleh Jabatan Pendaftaran Negara adalah mengikut syarat-syarat, peraturan-peraturan, undang-undang berkaitan dan Perlembagaan Negara. ┬áKerajaan juga telah mengambil tindakan ke atas mereka yang mengeluarkan Kad Pengenalan dan dokumen-dokumen lain tanpa mengikut lunas undang-undang. ┬áIni jelas menunjukkkan bahawa isu ÔÇ£Projek ICÔÇØ yang dibangkitkan tidak timbul.

7.           Marilah kita semua sama-sama bersatu memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Tetap Mengenai Pendatang Asing di Sabah yang bakal ditubuhkan dan sama-sama membangunkan Sabah sebagai sebuah negeri yang maju, makmur serta aman damai.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Setiausaha Negara

Putrajaya

3 Disember 2014

 

 

 

 

 

 

 

 

AGENSI & PAUTAN LUAR


AGENSI & PAUTAN LUAR


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Hakcipta Terpelihara © Kementerian Dalam Negeri 2018
Paparan terbaik pada Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
dan Google Chrome dengan resolusi minima 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

Kemaskini Terakhir: 15 Mei 2024.
Jumlah Pelawat : 1099736

moha qrcode