Soalan Lazim Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan
Berikut adalah soalan-soalan yang sering diajukan oleh pengunjung Portal Kementerian Dalam Negeri. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lain sila hubungi kami di talian 03- 8886 3158 atau e-mel kepada kami di pro[at]moha[dot]gov[dot]my.
AKTA MESIN CETAK DAN PENERBITAN 1984
1. ADAKAH AKTA INI MASIH RELEVAN DAN TIDAK PERLU DIMANSUHKAN?
Akta ini masih lagi relevan kerana mempunyai beberapa garis panduan bertujuan mengawal segala kandungan penerbitan supaya tidak menyinggung perasaan orang lain, mengelirukan masyarakat melalui kenyataan yang tidak benar, memudaratkan keselamatan negara, kepentingan awam dan menggugat ketenteraman awam dengan menyentuh isu politik, sosial dan ekonomi.
2. MENGAPA AKTA INI BEGITU PENTING SEHINGGA PERLU DIKEKALKAN?
Kepentingan akta ini untuk dikekalkan adalah kerana elemen keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat tidak boleh dikompromi di mana dunia kini bergerak dengan pantas dengan perkembangan teknologi maklumat yang semakin canggih dan terdedah dengan ancaman sama ada dari luar mahupun dalam yang memerlukan satu tindakan preventive yang holistik dan berkesan bagi mengekalkan elemen tersebut.
3. ADAKAH AKTA INI MENYEKAT KEBEBASAN BERSUARA?
idak ada negara yang mengamalkan demokrasi akan membiarkan kebebasan bersuara disekat sepenuhnya atau dibiarkan berleluasa sehingga mewujudkan ketidakstabilan negara. Negara ini yang mengamalkan demokrasi berpelembagaan sudah pasti menjaminkan kebebasan bersuara ini diberikan di bawah Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan dan haruslah diingatkan bahawa ianya bukan satu hak mutlak serta hanya terbatas kepada warganegara. Pemerintahan negara melalui Parlimen tidak sewenang-wenangnya mewujudkan sekatan melalui undang-undang jika mendapati sekatan tersebut perlu dibuat demi kepentingan keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam, atau prinsip moral.
Pindaan akta ini tidak boleh dilihat dari satu sudut yang sempit dan bersifat individualistik serta memerlukan pemahaman yang menyeluruh kerana dikhuatiri pihak yang berkepentingan dan berpendirian jangka pendek akan mengambil kesempatan cuba untuk mewujudkan kestabilan yang bakal merugikan negara dalam jangka masa panjang. Selagi undang-undang dipatuhi tidak ada apa yang diperlukan dirisaukan jika hak kebebasan bersuara digunakan secara lunas undang-undang atau melalui saluran yang betul. Kebebasan bersuara tidak dapat disangkal akan memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial, politik, dan ekonomi negara. Walaupun ia dihadkan oleh undang-undang tertentu namun kepentingannya tidak boleh dinafikan kerana ia mempengaruhi kualiti kehidupan rakyat, keberkesanan pemerintahan dan kestabilan masyarakat. Jika dibiarkan tanpa kawalan, kebebasan bersuara dalam isu-isu ini boleh mencetuskan sentimen negatif yang mengganggu keharmonian sosial. Kebebasan bersuara yang tidak terhad boleh digunakan untuk menghasut orang ramai terhadap kerajaan, mencetuskan pemberontakan atau menimbulkan kekacauan awam.
4. ADAKAH KAWAL SELIA AKAN DIPERLUASKAN KE KANDUNGAN DALAM TALIAN JIKA PINDAAN DILAKUKAN?
Statistik menunjukkan bahawa pengguna internet Malaysia telah meningkat kepada 33 juta pada tahun 2023 dan pengguna media sosial di Malaysia juga telah meningkat kepada 26 juta.
Ketika ini, tindakan ke atas kandungan dalam talian dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam. Namun, atas prinsip pencegahan, AMCP 1984 perlu diperluaskan kepada kawal selia dan pemantauan kandungan penerbitan secara dalam talian atau digital.
Kawal selia kandungan jika diperluaskan ke kandungan dalam talian adalah membolehkan tindakan sekatan kandungan penerbitan yang menyalahi undang-undang, penerbitan larangan atau tidak diingini atau penerbitan yang tidak benar. Dalam era digital, di mana maklumat mudah tersebar dengan pantas melalui media sosial dan internet, kebebasan bersuara yang tidak dikawal boleh menyebabkan penyebaran berita palsu (fake news), yang boleh memudaratkan dan menjejaskan keharmonian masyarakat serta kestabilan negara.
Di Malaysia, yang merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama, kebebasan bersuara yang tidak dikawal boleh memburukkan hubungan antara kaum dan agama. Ucapan atau kenyataan yang berbaur perkauman dan agama boleh menyebabkan ketegangan sosial, malah berpotensi mencetuskan konflik atau rusuhan. Perbincangan atau kritikan yang melibatkan isu-isu sensitif seperti hak-hak istimewa orang Melayu dan Raja-raja, Islam sebagai agama rasmi, atau kedudukan kaum lain di Malaysia memerlukan pendekatan yang berhati-hati.
- Akta sedia ada tidak mencakupi kawal selia dan penguatkuasaan terhadap penerbitan dalam talian khususnya kandungan berita. Hal ini menyebabkan pengendali portal berita dalam talian bebas menyebarkan kandungan berita yang tidak sahih sehingga membawa kemudaratan kepada keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam serta menggemparkan fikiran orang ramai termasuk dalam persoalan agama dan moral;
- Bilangan syarikat akhbar yang mencetak secara fizikal dan nashkah penerbitan fizikal telah berkurangan dan telah beralih kepada penerbitan dalam talian. Kerajaan perlu mengambil kira faktor perubahan sekiranya industri penerbitan berubah sepenuhnya ke arah digital;
- Berlaku lambakan bahan penerbitan tidak diingini serta bahan yang telah dikenakan Perintah Larangan (PL) dalam talian, namun tindakan kawal selia dan penguatkuasaan tidak dapat dilakukan kerana pemilik tidak mempunyai permit mahupun lesen (tiada instrumen perundangan terhadap penerbitan dalam talian); dan
- Hanya syarikat percetakan/penerbitan secara fizikal sahaja dikenakan tindakan di bawah AMCP 1984, namun syarikat penerbitan dalam talian adalah terkecuali daripada akta ini dan masih bebas melakukan aktiviti penerbitan yang bercanggah dengan AMCP 1984.
5. ADAKAH CADANGAN PERLUASAN KAWALAN DALAM TALIAN DALAM PINDAAN AMCP 1984 MEMPUNYAI PERKAITAN DENGAN AKTA KESELAMATAN DALAM TALIAN (ONSA) 2024? WUJUDKAH PERTINDIHAN KUASA ANTARA KEDUA-DUA AKTA INI?
Tiada. Akta ini adalah hanya ke atas pemberi/penyedia perkhidmatan yang dilesenkan sepertimana ditetapkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Buat masa ini tumpuan adalah kepada kandungan berkaitan penganiayaan seksual kanak-kanak dan kandungan berkaitan dengan penipuan (fraud).
6. MENGAPAKAH AKTA-AKTA SEPERTI AMCP 1984, AKTA HASUTAN 1948, KANUN KESEKSAAN DAN AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998 TIDAK BOLEH DISATUKAN DI BAWAH SATU AKTA YANG SAMA?
Tiada halangan untuk disatukan sekiranya ada agensi yang boleh menyelaraskan perkara ini.
AMCP 1984 tidak sesuai untuk disatukan di bawah mana-mana akta yang lain kerana bidang kuasa, skop kerja dan intention of law adalah secara spesifik kepada mesin cetak dan penerbitan sahaja.
7. ADAKAH TERDAPAT SATU BADAN YANG MENYEMAK DAN MEMASTIKAN SUPAYA TIDAK BERLAKU PERTINDIHAN KUASA ANTARA SEMUA AKTA YANG TERBABIT SUPAYA TIDAK BERLAKU ISU KELOMPONGAN DALAM KAWAL SELIA KANDUNGAN DALAM TALIAN?
Setakat ini tiada sesuatu badan khusus untuk menyelia pertindihan kuasa antara kesemua akta yang sedang berkuat kuasa. Berdasarkan kajian perbandingan yang dibuat, tiada pertindihan di antara AMCP 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024.
Walau bagaimanapun, KDN menyambut baik cadangan penubuhan satu badan khusus yang menyelia akta-akta yang ada.

Bahasa Melayu
English (United Kingdom)