telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


Soalan Lazim Hubungi Kami Aduan dan Maklum Balas Peta Laman

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

logo-header

logo-header

PELANCARAN BUKU PREVENTION OF CRIME ACT (POCA)

PELANCARAN BUKU PREVENTION OF CRIME ACT (POCA)

Tempat: 
HOTEL MARRIOT, PUTRAJAYA
 
Tarikh: 
Wednesday, August 16, 2017
 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

 

Salam 1Malaysia,

Salam Negaraku Malaysia,

 

MUKADIMMAH

 

Pertama sekali, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. atas limpah kurnia dan inayahNya, dapat kita sama-sama hadir dan berkumpul  dalam majlis pelancaran buku pada pagi yang mulia ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua hadirin dan hadirat yang telah melapangkan masa untuk  hadir dan menyaksikan pelancaran buku saya yang diberi tajuk “POCA: Nafas Baharu Banteras Jenayah”. Saya merasa amat bangga dan bersyukur ke hadrat Illahi kerana akhirnya buku ini dapat diterbit dan dilancarkan pada hari ini.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

POCA bukanlah satu akta yang baharu. POCA sebenarnya adalah nama singkatan kepada Prevention of Crime Act iaitu Akta Pencegahan Jenayah. Akta ini telah dikuatkuasakan sejak tahun 1959 iaitu dua tahun selepas negara kita mencapai kemerdekaan.  Ia  bertujuan untuk pencegahan jenayah di Semenanjung Malaysia terutamabagi mengawal penjenayah, anggota kongsi gelap, individu yang mengancam keselamatan negara serta perkara yang berkaitan dengannya. POCA (1959) memberi kuasa kepada Menteri (dalam konteks ini, merujuk kepada Menteri Dalam Negeri) untuk mengarahkan Pendaftar Penjenayah di Malaysia dan Singapura bagi mendaftar pesalah di bawah Akta ini dan meletakkan seseorang itu di bawah pengawasan polis selama tidak lebih lima tahun.  Peruntukan kuasa-kuasa kepada Menteri yang terkandung dalam POCA (1959) ini telah banyak dipertikaikan oleh parti-parti politik pembangkang dan Majlis Peguam atau Bar Council, sejak dulu lagi.

 

Usaha untuk mewujudkan semula POCA (1959) bermula pada Julai 2013, dua bulan  setelah saya diberi kepercayaan olehYAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri kita untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri yang menjaga keselamatan awam di negara kita. Saya selaku Menteri Dalam Negeri ingin memaklumkan kami mempunyai obligasi untuk memastikan pindaan-pindaan terhadap POCA 1959 adalah  lebih mantap, lebih baik dari segi keberkesanan dalam mencegah jenayah kekerasan bahkan juga dapat mengimbangi hak asasi manusia seiring dengan keselamatan dan keamanan negara yang kita semua nikmati selama ini.

 

Sehubungan itu, nafas baharu yang lebih segar dan efektif harus diterap ke dalam POCA (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 untuk membanteras jenayah khususnya jenayah terancang dan jenayah sindiket yang menggunakan  kekerasan dan keganasan semasa melakukan jenayah. Apakah nafas baharu tersebut? Persoalan ini terjawab dalam buku ini yang bertajuk POCA: Nafas Baharu Banteras Jenayah.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

Keputusan Kerajaan Malaysia pada 15 September 2011 untuk memansuhkan tiga  undang-undang pencegahan iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960), Akta Buang Negeri (1959) dan Akta Kediaman Terhad (1933) serta menamatkan tiga Proklamasi Darurat iaitu Pengisytiharan Darurat 1966 di Sarawak, Pengisytiharan Darurat 1969 Di Persekutuan dan Pengisytiharan Darurat 1977 di Kelantan, adalah dianggap sebagai pelengkap kepada proses Program Transformasi Kerajaan Malaysia (GTP) yang merangkumi  Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Politik (PTP) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan mengamalkan sistem demokrasi moden progresif sepertimana negara maju yang lain.

 

Kesan daripada penamatan Proklamasi Darurat tersebut telah menyebabkan penguatkuasaan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) (1969) tidak dapat dilaksanakan, sedangkan tempoh perantaraan atau grace period penguatkuasaan adalah 6 bulan di mana undang-undang pencegahan ini berakhir pada 21 Jun 2012. Berikutan pemansuhan undang-undang pencegahan berkenaan, seramai 2,615 orang tahanan dan sekatan yang kebanyakan terdiri daripada ahli kongsi gelap dan ahli sindiket jenayah terancang telah dibebaskan secara berperingkat ke dalam masyarakat walaupun mereka belum menjalani proses pemulihan sepenuhnya.

 

Analisis PDRM menunjukkan 18 bulan selepas pemansuhan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) (1969) dan Akta Kediaman Terhad, indeks jenayah kekerasanseperti kes bunuh, kes samun berkawan, kes pemerasan dan kes ugutan jenayah telah meningkat dengan ketara.Kes-kes berkenaan membabitkan ahli kumpulan kongsi gelap. Trend keadaan jenayah pada masa itu mendatangkan ketakutan dan kegelisahan  dalam kalangan rakyat jelata.  Keadaan keselamatan negara bertambah buruk lagi dengan tersebarnya berita dan gambar tembak-menembak oleh ahli kongsi gelap, pembunuhan serta kematian penjenayah dan mangsa di akhbar media arus perdana serta media sosial yang ditularkan dengan meluas. Boleh dikatakan tahap keselamatan negara berada di tahap paling membimbangkan ketika itu. Keadaan ini juga menyumbang kepada persepsi negatif, sekaligus menjejaskan tahap keyakinan rakyat Malaysia dan pelabur-pelabur asing terhadap keselamatan negara kita.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

Menyedari hakikat betapa pentingnya Kerajaan bertindak pantas dan berkesan untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat jelata serta pelabur asing terhadap jaminan keselamatan negara Malaysia, maka Mesyuarakat Kabinet bersidang pada 31 Julai 2013 lalu dan memutuskan POCA 1959 diwujudkan semula dengan membuat pindaan mengikut tuntutan semasa. Malahan keperluan pindaan undang-undang POCA adalah mendesak memandangkan senario jenayah pada zaman ICT dan digital pada hari ini tidak dapat ditangani dengan peruntukan undang-undang yang digubal pada era 50-an.

 

Justeru, intipati buku ini berfokus kepada penjelasan tentang rasionalnya POCA atau Akta Pencegahan Jenayah diwujudkan semula. Proses engagement untuk  mendapatkan maklumbalas daripada semua lapisan masyarakat yang terdiri daripada pegawai penguatkuasaan, lawmakersintellectual, masyarakat sivil serta rakyat biasa melalui beberapa siri seminar dan townhall meeting telah diadakan untuk memastikan suara rakyat diberi keutamaan dan diambil kira dalam proses penggubalan dan pindaan terhadap undang-undang pencegahan ini.

 

Saya merasakan kelebihan pada buku ini ialah ia mengandungi petikan Penyata Rasmi Parlimen (Hansard) yang menerangkan keseluruhan proses dan prosedur penggubalan dan perbahasan POCA di Parlimen. Matlamat penceritaan semula suasana perdebatan atau perbahasan di Parlimen adalah untuk memaklumkan kepada masyarakat suasana ketika itu agar mereka memahami bahawa adalah tidak mudah untuk membuat pindaan undang-undang, tidak mudah untuk melaksanakan undang-undang dan tidak mudah untuk meyakinkan ahli Parlimen yang juga penggubal undang-undang selain sebagai wakil rakyat dalam proses berkenaan.

 

Seperkara yang ingin dikongsi di sini adalah mengenai apa yang berlaku di Parlimen. Ini termasuklah  kesabaran  YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Bin Hj Mulia, iaitu Yang di-Pertua Dewan Rakyat mempengerusikan sidang perbahasan Rang Undang-undang  POCA pada 2 Oktober 2013 tanpa sekali pun meninggalkan tempat duduknya, semata-mata dengan semangat hendak memastikan  perbahasan pada ketika itu bertegang leher, hangat, panas dan pelbagai hujahan dilontarkan, namun ia berjalan dengan sempurna. Sidang perbahasan ini berlansung selama 8 jam 52 minit, di mana  ia berakhir pada jam 12.52 pagi pada 3 Oktober 2013.  Selaku Menteri, saya membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang berkenaan telah bertahan (duduk dan mendengar secara teliti setiap perbahasan Ahli Parlimen tidak kira penyokong kerajaan dan pembangkang) selama 8 jam 52 minit.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya yakin dan ingin menyebut disini bahawa sejak penguatkuasaan Akta ini pada 2014 hingga hari ini, tanggal 15 Ogos 2017, negara kita telah dapat mencapai  tahap keselamatan negara yang terkawal iaitu bebas daripada ancaman jenayah kekerasan yang ketara dan berulang seperti kes tembak-menembak dan kes pembunuhan oleh ahli sindiket jenayah terancang atau oleh ahli kumpulan kongsi gelap. Kejayaan ini menurut analisis PDRM adalah disebabkan berkesannya  pelaksanaan POCA dalam mencegah jenayah, di mana ini dibuktikan dengan penurunan Indeks Jenayah khususnya Jenayah Kekerasan.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014  telah dipinda bagi menambahbaik undang-undang yang sedia ada bagi mencegah dan mengawal gangsterism, jenayah berat dan jenayah terancang secara lebih berkesan serta bersesuaian mengikut perkembangan semasa. Pindaan terhadap POCA 1959 telah memberi nafas baharu dalam usaha membanteras jenayah di negara ini dalam empat perkara:

 

Kuasa Menteri telah dihadkan; ini sekaligus menghakis tanggapan salah guna kuasa oleh Menteri.

Penubuhan Lembaga Pencegahan Jenayah bagi menjaga kepentingan hak orang yang dituduh; ini secara langsung juga telah mengurangkan kuasa mutlak Menteri, sekaligus menunjukkan Sistem keadilan Jenayah dan hak asasi manusia diutamakan.

Penggunaan peranti pengawasan eletronik atau Electronic Monitoring Device (EMD) ke atas orang di bawah pengawasan; ini akan mengurangkan kos perbelanjaan tahanan di penjara dan memupuk perasaan pencegahan dalam kalangan tahanan dan bakal penjenayah. 

Undang-undang telah diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, menunjukkan         keprihatinan       Kerajaan menjaga keselamatan dan kemakmuran rakyat         keseluruhannya.

Saya berharap dan yakin menerusi buku ini yang mengandungi 5 Bab dengan 315 muka surat termasuk penerangan terperinci, gambar, jadual dan rajah yang berkaitan, ilmu yang dinukilkan itu boleh memberi pencerahan dan menjadi bahan rujukan kepada seluruh rakyat Malaysia.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

Buku ini tidak dapat diterbitkan tanpa sumbangan idea, masa dan tenaga serta sokongan daripada individu-individu yang secara langsung dan tidak langsung terbabit dalam pembikinan dan persiapan sehingga buku ini berjaya diterbitkan. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mengambil bahagiandalam perbahasan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah. Seterusnya saya secara peribadi, ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada individu berikut:

 

YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Bin Haji Mulia,  Yang Dipertua   Dewan Rakyat, yang telah mempengerusikan persidangan tersebut selama 8     jam 52 minit dan sudi memberi sepatah dua kata dalam ’Sekapur Sirih’, buku saya.

YA Tan Sri Apandi Bin Ali, Peguam Negara Malaysia, yang membenarkan salinan Akta A1459 dimuat turun dari website AGC dan dilampirkan dalam buku ini.

YDH Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara, yang banyak berusaha mewujudkan semula undang-undang pencegahan dari awal sehingga selesai serta PDRM yang banyak memberi sokongan logistik dan bantuan teknik kepada IPSOM.  

YBhg. Datuk Roosme Binti Hamzah, Setiausaha Dewan Rakyat yang membenarkan  ’Hansard Perbahasan  Rang Undang-undang POCA 2013’ dilampirkan dalam buku ini.

YBhg. Dato’ Sri Alwi Bin Hj. Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri yang mengetuai 21orang Sidang Editorial, di mana nama mereka ada tercatat dalam buku ini. 

Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) sebagai Penyelaras dan Penerbit serta Attin Press  Sdn Bhd sebagai syarikat pencetak kepada Buku ini.

Semua pihak yang bertungkus lumus secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis pelancaran buku ini.

Tidak lupa juga terima kasih diucapkan kepada KDN dan agensi-agensi dibawahnya, pemimpin-pemimpin korporat yang hadir pada hari ini, NGO-NGO serta individu-individu yang telah membeli dan menempah buku ini.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, ingin saya memetik ungkapan Mr. Tony Blair, Mantan Perdana Menteri United Kingdom yang mengatakan

In a world of very sophisticated crime gangs, drug, people trafficking, money laundering, to say nothing of terrorism and deep social issues giving rise to a type of criminal underclass, traditional law and order didn’t work. If you want to beat them, you need to call draconian powers that can be wielded administratively and with instant effect. It is the price to pay. If you don’t pay it, you don’t get the result .”

 

Saya yakin hadirin-hadirat yang hadir dan rakyat Malaysia di luar sana, yang mencintai keamanan dan kesehjateraan rakyat, sependapat dengan saya bahawa ”we have the result today”InSyaAllah. Dengan kata-kata di atas, saya dengan rasminya melancarkan buku bertajuk POCA: Nafas Baharu Bantaras Jenayah secara rasminya.

 

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Terima Kasih.

AGENSI & PAUTAN LUAR


AGENSI & PAUTAN LUAR


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Hakcipta Terpelihara © Kementerian Dalam Negeri 2018
Paparan terbaik pada Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
dan Google Chrome dengan resolusi minima 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

Kemaskini Terakhir: 16 April 2024.
Jumlah Pelawat : 1083873

moha qrcode