telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


FAQ Contact Us Complaints and Feedback Site Map

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

TEKS UCAPAN YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN, MENTERI DALAM NEGERI DI MAJLIS PELANTIKAN AHLI SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA WANG KELIAN, PERLIS

TEKS UCAPAN

YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
MENTERI DALAM NEGERI

DI MAJLIS PELANTIKAN
AHLI SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA
WANG KELIAN, PERLIS

PADA 5 MAC 2019, PUKUL 2.30 PETANG, DEWAN GEMILANG, ARAS G, BLOK D1
KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Yang Berhormat Datuk Mohd Azis bin Jamman
Timbalan Menteri Dalam Negeri

Yang Berbahagia Dato’ Seri Alwi bin Haji Ibrahim
Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri

Yang Berbahagia Dato’Jamil bin Rakon
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan)
Kementerian Dalam Negeri

Yang Berbahagia Dato’ Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abd Aziz
Timbalan Ketua Setiausaha (Kawalan dan Dasar)
Kementerian Dalam Negeri

Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan

Kementerian Dalam Negeri

Yang Amat Berbahagia Tun, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

                                                                                                                                                                       

  1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah s.w.t kerana di atas limpah kurnia dan izin-Nya jua, maka kita dapat bersama-sama hadir dalam Majlis Pengumuman Pelantikan Ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Penemuan Kem Penempatan Sementara dan Kubur di Wang Kelian, Perlis.
  1. Pada tahun 2015, negara dan dunia telah dikejutkan dengan tragedi kemanusiaan yang berlaku di kawasan sempadan antarabangsa Malaysia, susulan daripada penemuan sejumlah kubur di Wang Kelian, Perlis. Penemuan kubur dan beberapa kem transit yang dikaitkan dengan aktiviti jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia telah mencalar imej Malaysia di mata dunia. Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan bermaruah, Malaysia memandang serius tragedi yang berlaku, apatah lagi kita hidup dalam sebuah masyarakat bertamadun yang dipayungi oleh nilai-nilai agama dan moral yang penuh rasa kemanusiaan.
  1. Pihak berkuasa, khususnya Polis DiRaja Malaysia telah mengambil tindakan dan siasatan termasuk melancarkan operasi di kawasan Bukit Wang Burma di sempadan Malaysia – Thailand dan berjaya mengesan kawasan penempatan yang dipercayai tempat persembunyian pendatang tanpa izin ke Malaysia. Ketika operasi dijalankan, pasukan keselamatan telah menjumpai struktur tanah menyerupai kubur yang dipercayai tanah perkuburan pendatang tanpa izin yang meninggal dunia di kawasan tersebut.
  1. Sejumlah 147 tapak kubur dengan 130 rangka manusia ditemui dan 44 orang warga asing ditangkap. Tindakan perundangan juga telah diambil di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Empat warganegara asing telah dituduh serta disabitkan dengan kesalahan penyeludupan migran.
  1. Tragedi tersebut turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Malaysia, Thailand, Myanmar dan Bangladesh adalah antara negara yang terkesan dengan jenayah ini. Ia melibatkan etnik Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh sebagai mangsa, manakala Malaysia dan Thailand terlibat sebagai negara transit atau destinasi.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

  1. Kerajaan sedar bahawa rakyat Malaysia mengambil berat tentang isu-isu kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia. Apatah lagi tragedi kemanusiaan yang berlaku di negara sendiri. Prihatin akan perkara ini, maka Kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat kes pemerdagangan orang di Wang Kelian, Perlis. Penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini dilihat amat bertepatan dengan komitmen Kerajaan untuk mencari kebenaran berhubung tragedi ini menerusi siasatan yang telus dan bebas.
  1. Di peringkat serantau pula, Malaysia adalah Peneraju atau Lead Shepherd bagi isu Penyeludupan Migran iaitu salah satu bidang keutamaan berkaitan jenayah rentas sempadan di peringkat ASEAN. Oleh itu, selaku Lead Shepherd di dalam isu ini, tindakan yang diambil oleh Malaysia melalui pewujudan Suruhanjaya Siasatan DiRaja membuktikan kesungguhan Kerajaan dalam menangani isu yang tidak berperi kemanusiaan tersebut. 
  1. Kerajaan telah menetapkan tugas dan tanggungjawab Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini yang antara lain meliputi aspek penyiasatan kejadian melalui penelitian semua dokumen dan bukti berkaitan dengan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis; menyiasat prosedur semasa dan selepas kejadian yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa; menjalankan siasatan (inkuiri) terhadap pegawai-pegawai penyiasat, saksi-saksi dan mana-mana individu yang difikirkan perlu.
  1. Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini juga perlu melihat sama ada penambahbaikan telah dilaksanakan terhadap prosedur penguatkuasaan selepas kejadian; mengenalpasti implikasi kejadian ini terhadap negara dari segi imej, hubungan bilateral dan rekod hak asasi manusia serta mengesyorkan tindakan dan penambahbaikan yang boleh diambil oleh Kerajaan. Seterusnya, Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini akan mengemukakan dapatan laporan siasatan serta syor-syornya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
  1. Sungguhpun peranan dan tanggungjawab Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini dilihat agak berat tetapi saya percaya iltizam Kerajaan boleh diterjemahkan dengan baik melalui pelantikan ahli-ahli suruhanjaya yang berpengalaman, berilmu dan berwibawa. Sehubungan ini, sukacita saya mengumumkan pelantikan ahli-ahli suruhajaya yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Ariffin bin Zakaria, Bekas Ketua Hakim Negara selaku Pengerusi, Yang Berbahagia Tan Sri Norian bin Mai, Bekas Ketua Polis Negara sebagai Timbalan Pengerusi, dan ahli-ahli suruhanjaya yang terdiri daripada:

    • Yang Berbahagia Dato’ Noorbahri bin Baharuddin, Bekas Ketua Staf, Pejabat Peguam  Negara;
    • Yang Berbahagia Datuk Junaidah binti Abdul Rahman, Bekas Ketua Penyelidik, Pejabat Peguam Negara;
    • Yang Berbahagia Tan Sri Razali bin Ismail, Pengerusi SUHAKAM;
    • Yang Berbahagia Datuk Nazirah binti Hussin, Bekas Duta Besar Malaysia ke Thailand; dan
    • Yang Berbahagia Dr. Tan Seng Giaw, Bekas  Timbalan Pengerusi PAC
  1. Suruhanjaya ini yang akan dibantu oleh sebuah urusetia di peringkat Kementerian Dalam Negeri akan menjalankan penyiasatannya selama enam bulan  
  1. Kerajaan berharap dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini, segala persoalan dan isu yang menjadi perhatian masyarakat berhubung tragedi kemanusiaan yang berlaku di Wang Kelian, Perlis akan dapat dirungkai. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam perlakuan yang tidak berperikemanusiaan ini. Hukuman setimpal ke atas mereka yang terbabit akan menjadi langkah pencegahan dan iktibar kepada semua. Kita tidak mahu tragedi seumpamanya berulang lagi pada masa hadapan. Selain itu, Suruhanjaya DiRaja ini juga akan mengemukakan cadangan-cadangan penambahbaikan kawalan keselamatan sempadan negara.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Keselamatan dalam negeri sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan agar kestabilan dan keamanan negara sentiasa terpelihara. Malaysia berdaulat kerana kita berupaya mengawal hal ehwal dalam negeri, di samping mempunyai hubungan antarabangsa dan dasar luar yang pragmatik. Apabila menyentuh tentang soal kedaulatan negara, ia secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan soal keselamatan. Tragedi kemanusiaan di Wang Kelian, Perlis menyaksikan kita berhadapan dengan cabaran kedaulatan Malaysia akibat penyeludupan dan pemerdagangan manusia oleh penjenayah rentas sempadan. Oleh itu, penubuhan Suruhanjaya DiRaja ini menghantar mesej yang jelas bahawa Malaysia tidak sekali-kali berkompromi dengan perlakuan jenayah terkutuk ini.  
  1. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengawal keselamatan sempadan juga hendaklah sentiasa peka akan ancaman dan cabaran yang dihadapi pada setiap masa. Jadikan tragedi di Wang Kelian, Perlis sebagai iktibar untuk kita tingkatkan usaha kawalan sempadan agar sempadan negara tidak dibolosi oleh mana-mana pihak dengan mudah.
  1. Dalam hal ini, saya ingin menekankan bahawa aspek integriti hendaklah sentiasa menjadi amalan semua pihak dalam menjalankan amanah kawalan sempadan. Sesungguhnya, integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang penting ini akan memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin. Sama-samalah kita pelihara kedaulatan Malaysia pada setiap masa agar tragedi kemanusiaan seperti yang berlaku di Wang Kelian, Perlis tidak berulang lagi.
  1. Selain itu, sebagai langkah ke hadapan, saya amat menggalakkan jalinan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa, khususnya dengan negara-negara yang melaksanakan elemen kawalan dan penguatkuasaan sempadan yang boleh kita teladani. Perkara ini juga adalah sejajar dengan fokus Kementerian Dalam Negeri bagi tahun 2019 sepertimana yang telah saya nyatakan kepada seluruh warga kementerian baru-baru ini.
  1. Akhirnya, saya mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada semua ahli Suruhanjaya yang telah dilantik. Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli Suruhanjaya yang telah sudi menerima pelantikan ini dan bersedia untuk menggalas suatu amanah yang besar untuk negara. Saya mendoakan agar Suruhanjaya ini dapat melaksanakan fungsi dan persanannya dengan baik demi menegakkan keadilan, memelihara hak asasi manusia dan menjamin keselamatan negara.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

AGENCIES & EXTERNAL LINKS


AGENCIES & EXTERNAL LINKS


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Copyright Reserved © Ministry of Home Affairs
Best viewed using Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
and Google Chrome with minimum resolution of 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

  • Latest Update : 22 March 2024.
Visitor Count : 1077162

moha qrcode