Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Ne­geri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, kaedah yang berbentuk hukuman dan kekerasan sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah keganasan bagi tempoh jangka panjang.

 

 

“Kita mesti memenangi hati dan minda mereka yang terlibat atau cenderung kepada keganasan. Kaedah ini merupakan pendekatan terbaik biarpun mengambil masa yang lama.

 

“Pendekatan secara lembut ini termasuk dengan menerapkan ­elemen-elemen berbentuk hikmah dan kesederhanaan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi menyampaikan kenyataan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di sini hari ini.

 

PISD 2018 yang bertemakan Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Membanteras Keganasan merupakan anjuran bersama KDN dengan kerjasama Rabitah Al-Alami Al-lslami iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Arab Saudi.

 

Dalam pada itu, menyentuh mengenai program dialog ber­kenaan, Alwi berkata, sebanyak 13 kertas kerja dibentangkan oleh tokoh-tokoh jemputan dari pelbagai negara, antaranya Singapura, Turki, Jepun, Filipina selain Malaysia.

 

“Sebanyak empat topik di­bincangkan iaitu Islam sebagai Instrumen Kesederhanaan dan Keselamatan; Bersama-sama Kita Melawan Pengganas; Peranan Agama dalam Menerapkan Nilai Kesederhanaan; serta Menentang Keganasan Melalui Pendekatan Berhikmah dan Kemanusiaan.

 

“Dialog yang terbahagi kepada empat sesi plenari ini disertai kira-kira 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai latar belakang,” katanya.