telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


FAQ Contact Us Complaints and Feedback Site Map

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

Selaras akta kawalan sempadan kekang jenayah - TPM

BUKIT KAYU HITAM: Kerajaan akan menyelaraskan penggunaan Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) 2017 dengan beberapa akta lain untuk mengekang risiko jenayah di sekitar sempadan Malaysia-Thailand, terutama membabitkan aktiviti penyeludupan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata selain Akta AKSEM 2017 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos lalu, penyelarasan akan turut membabitkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, dengan berpandukan bidang tugas setiap agensi penguatkuasaan di sempadan.

"Kita sudah dengar persembahan (taklimat) pihak AKSEM yang memperincikan kawasan (tanggungjawab) mengikut bidang kuasa pelbagai agensi penguatkuasaan (di sempadan).

"Perkara itu dibincang secara mendalam dan rasmi untuk kita guna pakai akta sedia ada termasuk Akta AKSEM dan Akta MKN 2016 untuk diselaraskan kegunaannya dan kita yakin dengan penyelarasan ini, soal keselamatan akan dapat dijaga," katanya.

Beliau mengulas laporan khas BH sebelum ini mengenai kemasukan kenderaan asing yang tidak menepati spesifikasi kenderaan bermotor di negara ini yang berkemungkinan meningkat susulan penambahan tempoh operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Laporan itu mendedahkan kenderaan dari negara jiran khususnya pikap yang dilihat seolah-olah 'kebal' apabila melanggar undang-undang negara khususnya dari segi spesifikasi dan keselamatan kenderaan.

Ahmad Zahid terdahulu mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HCL) mengenai keselamatan dan kawalan sempadan ICQS Bukit Kayu Hitam, sempena sesi lawatan beliau ke projek terbabit hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum; Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Hilmi Yahaya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengakui belum berpuas hati dengan keadaan fasiliti termasuk aspek penyelenggaraan yang disifatkan belum sempurna, walaupun kompleks itu sudah beroperasi sepenuhnya bermula Rabu lalu.

Sehubungan itu, beliau menuntut dua pemaju yang terbabit dalam pembangunan semula ICQS Bukit Kayu Hitam menyiapkan 100 peratus fasiliti kompleks terbabit termasuk dari aspek penyelenggaraan menjelang hujung bulan ini.

"Saya tidak berpuas hati kerana habuk masih ada lagi sehingga menyebabkan pegawai terpaksa menutup hidung dengan penutup muka...lubang juga belum ditutup dan jalan belum diturap.

"Saya mahu ia mesti capai 100 peratus dan sehingga kini sikit sahaja tinggal iaitu satu peratus lagi...kita akan terus memantau khususnya membabitkan aspek keselamatan, penaiktarafan perkhidmatan dan budaya penyelenggaraan.

"Pemaju juga berjanji dengan saya hujung bulan ini (siap) dan saya bagi kuasa mutlak kepada Menteri Besar Kedah (untuk memantau)," katanya.

Fasa satu ICQS BKH membabitkan penyediaan Kompleks Kenderaan Berat sudah beroperasi selama 20 jam iaitu antara 6 pagi hingga 2 pagi bermula Rabu lalu, manakala fasa dua pula dijadual siap 31 Disember 2018 membabitkan pembangunan di tapak ICQS untuk penyediaan komponen Kompleks Kenderaan Ringan (KKR).

Sementara fasa ketiga ICQS iaitu fasa terakhir pula membabitkan pembangunan kompleks bebas cukai.

AGENCIES & EXTERNAL LINKS


AGENCIES & EXTERNAL LINKS


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Copyright Reserved © Ministry of Home Affairs
Best viewed using Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
and Google Chrome with minimum resolution of 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

  • Latest Update : 19 April 2024.
Visitor Count : 1085394

moha qrcode