telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


FAQ Contact Us Complaints and Feedback Site Map

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

UCAPAN MENTERI DALAM NEGERI SAMBUTAN HARI IMIGRESEN 2013

Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia, Salam 1 Imigresen

Terima Kasih Saudara/Saudari Pengacara Majlis.


SALUTASI

Yang Berhormat Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar

Timbalan Menteri Dalam Negeri

Yang Berbahagia Dato' Sri Abdul Rahim bin Mohamad Radzi

Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri;

Yang Berbahagia Dato' Alias bin Haji Ahmad

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia

Yang Berbahagia Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha KDN

Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi.

Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Pegawai-Pegawai Kanan

Dif-Dif Jemputan, Para Petugas Media ,

Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian.

1. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T dengan limpah izin dan inayah-nya, maka kita dapat bersama berhimpun pada pagi yang mulia ini dalam semangat meraikan Sambutan Hari Imigresen untuk tahun 2013.

2. Tahun ini merupakan tahun pertama saya meraikanya bersama-sama seluruh warga Imigresen. Saya dengan berbesar hati mewakili seluruh kepimpinan di Kementerian Dalam Negeri, ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Imigresen kepada warga Imigresen di seluruh Negara, tidak kira di manapun anda dan berada, samada di pintu-pintu masuk dan sempadan negara, di hujung daerah yang jauh dari bandar, mahupun yang berada di tengah-tengah kesibukan kota.

3. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada YBhg. Dato' Alias bin Haji Ahmad, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dan seluruh warga kerja Imigresen yang bertungkus lumus bersama-sama berganding bahu bagi menjayakan majlis yang begitu bermakna bukan sahaja bagi warga Imigresen tapi sangat bermakna bagi diri saya sendiri secara peribadi serta Kementerian keseluruhannya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas komitmen Dato'Sri, Dato'-Dato', tuan-tuan dan puan-puan untuk menghadiri Majlis Sambutan Hari Imigresen pada pagi ini.

Dato' Sri, Dato'-Dato', Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

4. Kerajaan sedar bahawa tugas dan tanggungjawab pegawai-pegawai Imigresen adalah berat dan sentiasa memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan berintegriti. Kita perlu mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini bagi menyokong dan memperingati pegawai-pegawai Imigresen di seluruh negara, menghargai kewajipan dan jasa mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan pintu masuk negara serta bertungkus lumus membuat operasi dalam mengatasi masalah pendatang tanpa izin. Wajarlah kita berterima kasih kepada mereka ini yang telah sanggup berkorban setiap hari dalam menangani sebarang kemungkinan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.

5. Saya amat berbangga dengan prestasi dan pencapaian yang diperolehi Jabatan Imigresen Malaysia, tapi jangan kita mudah alpa dalam dengan keselesaan yang kita perolehi, seharusnya kita terus memperbaiki diri demi menjaga nama baik Jabatan dan Kementerian.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

6.  Dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan antaranya pembukaan Urban Transformation Centre (UTC) dan Rural Trasformation Centre (RTC) di Melaka, Kuala Lumpur dan pembukaan beberapa lagi cawangan di negeri-negeri lain. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru (National Blue Ocean Strategy) yang diperkenalkan dengan jabatan-jabatan lain bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan Kerajaan.

7. Jabatan Imigresen turut sama berganding bahu dalam menjayakan Strategi Lautan Biru ini dengan pembukaan pejabat-pejabat pengeluar pasport di UTC dan RTC. Oleh itu, Jabatan Imigresen perlu mengambil kesempatan ini untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam dan membuktikan Jabatan Imigresen berupaya memberikan perkhidmatan yang melangkaui ekspektasi pelanggan.

8. Menyingkap kembali pencapaian JIM pada pertengahan tahun 2013, kita boleh berbangga dengan pencapaian yang Jabatan Imigresen perolehi. Sebagai contoh, pada 4 Julai 2013 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC), Jabatan Imigresen Malaysia merangkul Anugerah Agensi Terbaik Sektor Awam pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Global (GEMA) 2013 yang dianjurkan oleh Institut Pengurusan Malaysia (MIM), ini jelas memperlihatkan komitmen Jabatan Imigresen dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Konsep kaizen dan inovasi yang menjadi inspirasi kepada warga Jabatan Imigresen iaitu usaha penambahbaikan secara berterusan dan perlahan tetapi pada masa sama melakukan pendekatan secara mendadak dan membuahkan hasil.

9. Selain itu, kesinambungan sesi perjumpaan Jabatan Imigresen bersama YBhg. Tan Sri Ali Bin Hamsa, Ketua Setiausaha Negara khususnya mengenai sistem MYIMMS yang digunapakai di Jabatan Imigresen Malaysia, beliau bersetuju Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan Business Process Reengineering (BPR)terhadap khidmat perundingan perkhidmatan teras. Beliau mencadangkan reka bentuk baru sistem Imigresen Bersepadu Malaysia di adakan dengan kerjasama pihak MAMPU.

10. Justeru, sekretariat pra-taklimat MAMPU diwujudkan di JIM dan seterusnya mengadakan satu majlis menandatangani Memoramdum Persefahaman (MOU) antara keduanya pada 17 September 2013. Pihak MAMPU dan JIM bersetuju mewujudkan Lab BPR Perkhidmatan Teras Imigresen pada 22 September 2013 sehingga 31 Oktober 2013 bagi tujuan menyelaras proses kerja sedia ada dan perekayasaan prosedur baru. Hasil penemuan dari Lab BPR itu nanti akan di jadikan asas untuk penambahbaikan sistem perkomputeran Jabatan Imigresen Malaysia yang dapat memantapkan sistem yang mesra pengguna kepada rakyat.

Hadirin dan Hadirat Sekalian.

11. Inisiatif pelaksanaan Snake-Q di pintu masuk utama negara juga merupakan usaha penambahbaikan Jabatan ini untuk mengatasi masalah ruang dan kesesakan ketika waktu puncak. Pembukaan kaunter tambahan serta anggota petugas telah berjaya mengurangkan kesesakan yang berlaku. Rentetan dari inisiatif ini, 10 Minutes Clearance di KLIA pula telah dilaksanakan pada Februari tahun ini. 10 Minutes Clearance adalah usaha meningkatkan kecekapan untuk mengurangkan kesesakan dan masa menunggu.

12. Pelanggan hanya perlu menunggu 10 minit bagi melepasi pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia di kaunter pendaftaran pintu masuk negara termasuk pada waktu puncak. Inisiatif penambahbaikan ini, sedikit sebanyak telah melonjak kualiti perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien. Syabas saya ucapkan kepada kecekapan Jabatan Imigresen.

13. Pelbagai pencapaian telah diperolehi dari tahun ke tahun melalui transformasi yang telah dilakukan dan pencapaian yang paling membanggakan adalah pengiktirafan Skytrax Award 2010-2012 kepada Jabatan ini. Dan tahun ini Jabatan Imigresen sekali lagi diiktiraf sebagai Jabatan yang memberikan perkhidmatan Imigresen terbaik di dunia bagi tahun 2013 oleh Skytrax.

14. Jabatan Imigresen Malaysia terus mengorak langkah kejayaan dan pengiktirafan yang diberikan menjadi platform Jabatan ini untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan seiring dengan slogan Perkhidmatan Berkualiti dan Berintegriti.

15. Selian itu, komitmen oleh pegawai-pegawai Imigresen di KLIA juga turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Airline System (MAS) yang menganugerahkan Jabatan Imigresen Malaysia sebagai The Most Supportive Government Agency. Pengiktirafan ini sangat bermakna kerana Jabatan Imigresen telah membuktikan di antara agensi agensi kerajaan yang sama-sama beroperasi di KLIA, Jabatan Imigresen mendahului dari segi perkhidmatan yang mesra dan berkualiti.

Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian.

16. Pada tahun ini juga, kerajaan memutuskan untuk mengeluarkan pasport dengan struktur baru yang lebih berkualiti iaitu jenis Polycarbonate Biodata Page. Keputusan ini dilihat mampu meningkatkan kualiti pasport Malaysia dan memperkukuhkan aspek kawalan keselamatan negara. Pelan ini dilaksanakan secara berperingkat malahan kekuatan dan kelebihan pasport ini adalah berdasarkan standard yang ditetapkan International Civil Aviation Organizations (ICAO).

17. Dalam usaha meningkatkan tahap pemeriksaan keselamatan dokumen perjalanan, pihak International Civil Aviation Organization (ICAO) telah memperkenalkan teknologi Machine Readable Passport (MRP) pada tahun 1980 berserta pengeluaran edisi pertama dokumen ICAO Doc 9303 mengenai Machine Readable Travel Document (MRTD). Dalam mengaplikasikan EMRTDS, pihak ICAO telah mewujudkan Public Key Directory (PKD) sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pengesahihan dan saling kendali EMRTD secara global melalui pertukaran Country Signing Certificate Authority (CSCA) dan Certificate Revocation List (CRL).

18. Sehubungan dengan itu, YBhg. Dato' Sri Ketua Setiausaha, Jemaah Menteri telah meluluskan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menganggotai International Civil Aviation Organization (ICAO) Public Key Directory (PKD) dan pada 18 februari 2013, secara rasminya satu majlis penyerahan sijil CSCA telah dilaksanakan di pejabat ICAO, Montreal. Dengan keanggotaan Jabatan Imigresen di dalam ICAO Public Key Directory ini telah melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai tempat kesembilan terbaik bagi ranking Best In The World for Travellers. Ini memberi kemudahan kepada pemegang pasport Malaysia untuk membuat perjalanan tanpa visa ke 163 negara.

19. Jabatan Imigresen Malaysia juga prihatin terhadap warga emas dan kanak-kanak dengan memberi pengurangan kadar bayaran Passport Malaysia Antrabangsa (PMA) kepada warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah 12 tahun dengan kadar RM150 bagi tempoh sahlaku 5 tahun dan RM80 bagi tempoh sahlaku 2 tahun.

20. Pengurangan ini sedikit sebanyak telah mengurangkan kos pemilikan passport bagi golongan ini. Bagi memudahkan orang ramai, perkhidmatan Imigresen hujung minggu (Weekend Immigration) juga telah dilaksanakan di 14 pejabat pasport Imigresen seluruh negara. Weekend Immigration ini telah memudahkan orang ramai untuk memohon passport di luar waktu bekerja.

21. Transformasi sistem berkomputer Jabatan Imigresen Malaysia juga telah memberi manfaat kepada orang ramai yang memerlukan perkhidmatan dari Jabatan ini. Segalanya hanya dihujung jari, perkhidmatan e-Services melalui My-Online Passport, My-Online Visa, My-Online Maid dan  My-Online Student telah membantu mengurangkan kesesakan di kaunter dan memudahkan pelanggan tanpa perlu beratur panjang menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan di kaunter-kaunter perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia

Hadirin yang Dihormati,

22. Ke arah penguatkuasaan yang lebih cekap, Jabatan Imigresen Malaysia turut membangunkan sistem penguatkuasaan berasaskan data biometrik melalui sistem penguatkuasaan mudah alih dalam menangani isu warga asing di Malaysia. Sistem penguatkuasaan berasaskan data biometrik menggunakan dua pendekatan iaitu penggunaan telefon bimbit pintar iaitu aplikasi penguatkuasaan dalam talian (online) yang membolehkan semakan ketulenan dokumen dibawa oleh warga asing yang diperiksa dengan cepat dan mudah manakala sistem penguatkuasaan mudah alih pula mampu mengesan ketulenan maklumat biometrik melalui imbasan cap jari.

23. Masalah PATI merupakan ancaman kedua negara selepas dadah. Oleh itu, kita memberikan perhatian yang sangat serius bagi menangani masalah ini supaya PATI yang berada di dalam negara ini tidak menimbulkan ancaman lain seperti jenayah, penipuan, masalah sosial dan lain-lain.

24. Jabatan Imigresen telah menjalankan operasi bersepadu secara besar-besaran bersama agensi penguatkuasa yang lain bertujuan supaya melaksanakan operasi yang lebih efektif dan menyeluruh bukan sahaja mencari pesalah-pesalah akta Imigresen tetapi merangkumi lain-lain aspek kesalahan undang-undang. PATI yang mengambil kesempatan tidak mengikuti prosedur Imigresen yang betul menggunakan peluang terbuka seperti melakukan aktiviti perniagaan di musim perayaan, bekerja tanpa pas yang sah serta tinggal lebih masa.

25. Operasi bersepadu ini juga bertujuan untuk memburu majikan yang menggaji PATI serta orang tengah, syarikat pengurus dan agensi-agensi (berdaftar/tidak berdaftar) yang melanggar prosedur dan undang-undang Imigresen termasuk mengemukakan maklumat dan dokumen palsu bagi mendapatkan kemudahan Imigresen.

26. Sepanjang operasi bersepadu dijalankan sejak September hingga kini seramai hampir 15 ribu PATI telah ditangkap dan seramai hampir 200 majikan telah ditangkap dan dikenakan tindakan. Kita amat serius dalam menangani maslah ini dan OPS akan diteruskan tanpa kompromi kepada PATI dan majikan yang melakukan kesalahan.

Para Hadirin Sekalian,

27. Perjalanan kerjaya pegawai Imigresen lebih terjamin dan lebih di beri perhatian. Dalam memastikan keselesaan kepada warga Imigresen, Jabatan sentiasa berusaha bagi memastikan permohonan pertukaran pegawai diberi perhatian dan kekosongan jawatan dapat diisi dengan kadar segera. Atas dasar tersebut, Lembaga Kenaikan Pangkat Jabatan Imigresen Malaysia telah meluluskan pemangkuan kepada seramai empat (4) orang Penolong Penguasa Imigresen daripada gred KP32 ke gred KP38 dan empat belas (14) orang Penolong Penguasa Imigresen daripada gred KP27 ke gred KP32. Selain daripada gred-gred yang dinyatakan, Lembaga Kenaikan Pangkat juga telah meluluskan Pemangkuan Pegawai Imigresen daripada gred KP17 ke gred KP22 kepada seramai enam puluh satu (61) orang pegawai.

28. Di mana sahaja anda ditugaskan, di sempadan mana sekalipun anda diamanahkan warga Imigresen sebagai frontliners kepada negara dan bangsa kita. Kita mesti sentiasa sedar dan faham bahawa tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu kita ini adalah membawa makna yang sangat besar.

29. Saya amat berharap, agar Jabatan Imigresen dapat menjadi role model; bukan sahaja daripada sudut kecekapan; malahan daripada sudut integriti kita menjaga amanah yang diberikan. Melihat kepada semangat yang ditunjukkan pada hari ini; JIM berada di landasan yang betul dan siap untuk bangkit sebagai Jabatan contoh dalam segala segi.

Hadirin yang Dihormati,

30. Berbalik kepada majlis ini, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang telah memberikan komitmen penuh untuk menjayakan Sambutan Hari Imigresen 2013. Semoga usaha puan-puan dan tuan-tuan ini diberkati dan diredhai oleh ALLAH S.W.T.

31. Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada segenap warga Imigresen yang telah memikul tanggujawab dan memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kepentingan dan keselamatan negara.

32. Dengan lafaz Fasabbih Biham Dirob Bikawas Taghfir Innahu Kanatau Waba ; saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2013.

Sekian. Wabillahhitaufik, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 
Putrajaya, 10 Disember 2013

AGENCIES & EXTERNAL LINKS


AGENCIES & EXTERNAL LINKS


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Copyright Reserved © Ministry of Home Affairs
Best viewed using Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
and Google Chrome with minimum resolution of 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

  • Latest Update : 25 April 2024.
Visitor Count : 1088138

moha qrcode