Pengisytiharan Entiti Ditentukan
Menteri Dalam Negeri mengikut seksyen 66B(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] telah membuat Perintah bagi mengisytiharkan 8 kumpulan dan menyahsenaraikan 14 individu sebagai Entiti Ditentukan. Perintah ini berkuatkuasa pada 23 Mei 2019.
Senarai terkini individu dan kumpulan yang diisytiharkan sebagai ‘Entiti Ditentukan’ boleh didapati di portal Kementerian Dalam Negeri melalui pautan :http://www.moha.gov.my/index.php/ms/senarai-kementerian-dalam-negeri
Institusi Pelapor [Jadual Pertama Akta 613] dikehendaki menyemak senarai nama individu dan kumpulan ini dan membandingkan dengan senarai nama individu dan kumpulan yang berada di dalam pangkalan data masing-masing. Jika terdapat padanan nama, aset milik individu dan kumpulan yang tersenarai itu hendaklah dibekukan dengan serta merta.
Mana-mana individu atau kumpulan yang tersenarai boleh, dalam tempoh 60 hari dari tarikh penyiaran Perintah di dalam Warta, memohon kepada Menteri Dalam Negeri bagi mengeluarkan nama mereka dari senarai berkenaan.