header plain mobile2

Tabung Amanah Perwira Dan Pertahanan Negara (TAPPN), Kementerian Dalam Negeri

1. Tabung Amanah Perwira Dan Pertahanan Negara (TAPPN), Kementerian Dalam Negeri telah diwujudkan pada 5 Oktober 1984 hasil percantuman Tabung Amanah Derma Kebajikan Perwira Negara dengan Tabung Pertahanan Negara dan telah diwartakan mengikut Akta Tabung Pertahanan Negara (Pembubaran dan Pemindahan) 1984 (Akta 305) pada 26 Jun 1984.

 

2. Objektif TAPPN adalah untuk memberi bantuan kewangan kepada anggota pertahanan dan keselamatan atau keluarga mereka sekiranya berlaku kematian atau kecederaan semasa menjalankan tugas aktif.

 

3. Jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri yang layak memohon bantuan saguhati TAPPN adalah:-

  • Polis DiRaja Malaysia (PDRM);
  • Jabatan Penjara Malaysia;
  • Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK);
  • Jabatan Imigresen Malaysia (JIM);
  • Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA); dan
  • Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

 

4. Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan RELA (PDR) dipertanggungjawabkan sejak tahun 2012 sebagai urusetia Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) bagi agensi-agensi benefisiari TAPPN di bawah Kementerian Dalam Negeri selain PDRM.

 

5. Permohonan yang diterima akan dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Tabung TAPPN, KDN yang dipengerusikan oleh Y.Bhg Dato’ Sri Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN ataupun wakilnya. Mesyuarat ini diurusetiakan oleh Bahagian PDR serta dianggotai oleh wakil daripada jabatan dan agensi yang terlibat. Jawatankuasa ini berperanan untuk meneliti dan membuat pengesyoran kepada Menteri Dalam Negeri atas semua permohonan yang diterima.

 

6. Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk meluluskan atau menolak mana-mana permohonan yang dimajukan di bawah TAPPN. Permohonan TAPPN yang diluluskan akan dihantar ke Amanah Raya Berhad bagi penyediaan Cek.

 

7. Sehingga bulan Jun Tahun 2018, permohonan TAPPN daripada Agensi menunjukkan peningkatan tiga (3) kes menjadikannya keseluruhan empat (4) kes TAPPN berbanding Tahun 2017 iaitu sebanyak satu (1) kes daripada Jabatan Penjara Malaysia. Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merupakan Agensi yang menyumbangkan permohonan TAPPN yang tertinggi iaitu tiga (3) kes pada tahun ini yang mana kes-kes ini melibat kecederaan semasa operasi dilaksanakan. Manakala satu (1) kes TAPPN diterima daripada Jabatan Penjara Malaysia.

 

8. Daripada empat (4) permohanan kes yang diproses pada tahun 2018, sebanyak dua (2) kes TAPPN yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penilaian Tabung TAPPN, KDN masing-masing melibatkan kes daripada AADK (Bantuan RM8000) dan Jabatan Penjara Malaysia (Bantuan RM750).

 

9. Bermula 1 Januari 2016 bayaran nafkah bulanan TAPPN diberhentikan untuk kes-kes baharu. Manakala bagi bayaran bantuan persekolahan TAPPN diberikan kepada anak-anak angkat anggota benefisiari yang layak pada peringkat pendidikan berikut:

  • Menerima Tawaran Ijazah Sarjana Muda : RM1500.00
  • Menerima Tawaran Diploma : RM1000.00
  • Memasuki Tingkatan 1 : RM500

 

10. Borang permohonan TAPPN boleh dimuat turun melalui http://www.moha.gov.my/index.php/ms/perkhidmatan-online-kdn-agensi/borang2/bahagian-kepenjaraan-antidadah-rela

 

11. Borang yang lengkap diisi hendaklah dihantar ke Bahagian Sumber Manusia Jabatan dan Agensi masing-masing.

 

12. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai TAPPN, mohon hubungi urusetia Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan RELA (PDR) Kementerian Dalam Negeri di talian 03-8886 8134