header plain mobile2

Pengenalan

 

LATAR BELAKANG

Institut Keselamatan Awam Malaysia atau Institute of Public Security of Malaysia atau ringkasnya IPSOM ditubuhkan dalam masa 30 hari selepas keputusan dasar diberikan sejurus YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Menteri Dalam Negeri pada 20 Mei 2013. Pasukan Penggerak IPSOM terdiri daripada 12 orang pegawai daripada Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Penjara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Dalam Negeri telah dilantik dan memulakan dan menggerakkan IPSOM bermula pada 30 Julai 2013. Tujuan penubuhan IPSOM adalah untuk menjaga kepentingan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia samada Malaysia berada dalam keadaan aman atau keadaan terancam. Fungsi utama IPSOM adalah menjalankan kajian dan penyelidikan berbentuk ilmiah mengenai isu-isu keselamatan awam dengan tujuan membantu KDN menggubal dasar keselamatan yang tepat dan berkesan.

 

SEJARAH PENUBUHAN

YB MDN semasa Sesi Taklimat pada 20 Mei 2013 telah memutuskan agar Institut Keselamatan Awam Malaysia ditubuhkan dalam masa 30 hari. Keperluan penubuhan Institut Keselamatan Awam Malaysia adalah mengambil kira kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam dalam keadaan dan situasi semasa serta kemungkinan ancaman atau risiko.

 

ASAS PENUBUHAN

  • Sebagai Institut Strategik Pengurusan Keselamatan Negara.
  • Think Tank kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
  • Meningkatkan equal partner / rakan strategik dalam pengurusan isu-isu jenayah.
  • Menjalankan kajian ilmiah untuk tujuan penggubalan Dasar-Dasar Keselamatan Negara

 

PERANAN

Institut utama bagi mengurus isu keselamatan dan kesejahteraan awam melalui penyelidikan dan perkongsian ilmu.

 

HALA TUJU IPSOM

Menganjurkan program seperti Seminar / Dialog / Forum yang bertindak sebagai medium sesi percambahan idea, pertukaran maklumat dan pewujudan kerjasama bagi penggubal dasar dan mengukuhkan hubungan sedia ada antara anggota penguatkuasa dan ahli-ahli akademik di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

Mengisi ketandusan medium bagi hebahan hasil penyelidikan dan idea berkenaan dengan keselamatan dan ketenteraman awam dan isu-isu lain di bawah Kementerian Dalam Negeri. Bersesuaian dengan program transformasi Kerajaan, rakyat turut perlu diberi maklumat ilmiah berkenaan dengan isu-isu keselamatan. Antara isu-isu yang boleh diketengahkan adalah seperti jenayah, jenayah rentas sempadan, keselamatan sempadan, pendatang asing, perhimpunan haram, isu menyentuh sensitiviti agama dan isu perkauman.

 

Menghasilkan penerbitan iaitu Journal Of Public Security And Safety keluaran IPSOM dan lain-lain bentuk penerbitan yang berkaitan bagi menggalakkan perkongsian ilmu sehingga di kalangan international community kerana dunia kini tanpa sempadan dan isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam adalah isu sejagat yang sangat mencabar untuk dihadapi.

 

Melaksanakan kolaborasi dan kerjasama dalam memantau/menjalankan kajian impak serta menjana inisiatif -inisiatif baru NBOS di antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian / Agensi / Organisasi lain. Kerjasama utama pada masa ini adalah IPSOM dan Malaysia Institute of Defence and Security (MIDAS) dalam mengkaji impak inisiatif di dalam National Blue Ocean Strategy dan Total Security System untuk Malaysia.