header plain mobile2

Pengenalan

Pendahuluan

Urus Setia Lembaga Pencegahan Keganasan (ULPK), Kementerian Dalam Negeri diwujudkan melalui Waran Perjawatan Bil. K 129 Tahun 2015 oleh Kementerian Kewangan pada 7 September 2015. Pewujudan bahagian ini selaras dengan penggubalan Akta Pencegahan Keganasan 2015 [Akta 769] berkuatkuasa pada 1 September 2015. Bahagian ini bertanggungjawab sebagai sekretariat penyelaras kepada Lembaga Pencegahan Keganasan yang dilantik oleh SPB Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan Akta tersebut.

Latar Belakang

Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara pada 14 Oktober 2014 telah memutuskan supaya Kertas Putih disediakan bagi menerangkan kepada rakyat akan bahaya ancaman kegiatan kumpulan militan Islamic State (IS) melibatkan rakyat Malaysia, dan dibentangkan di Dewan Rakyat. Keputusan dicapai ke arah penggubalan satu undang-undang khusus menangani keganasan dan seterusnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 6 April 2015 dan Dewan Negara pada 23 April 2015. Penggubalan Akta yang bersifat undang-undang pencegahan adalah sebagai langkah proaktif Kerajaan kepada undang-undang punitif yang lain. Ianya dengan matlamat untuk mencegah pelakuan atau sokongan bagi perbuatan keganasan melibatkan organisasi pengganas tersenarai di sesuatu negara asing atau di mana-mana bahagian di sesuatu negara asing. Akta ini adalah memastikan keselamatan dan keamanan Negara terjamin demi kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya.

Visi

Peneraju Pencegahan Keganasan di Malaysia.

Misi

Menguatkuasakan undang-undang pencegahan keganasan dengan adil dan berkesan.

Objektif Bahagian

  1. Memastikan Perintah, Arahan dan Keputusan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pencegahan Keganasan selaras dengan peruntukan Akta Pencegahan Keganasan 2015 [Akta 769].
  2. Memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terjamin dan terpelihara melalui tindakan penguatkuasaan undang-undang pencegahan untuk memastikan apa jua pelakuan atau sokongan bagi perbuatan keganasan dapat dibendung.