header plain mobile2

KONVENSYEN PEGAWAI RELA 11 APRIL 2017

TEKS UCAPAN PERASMIAN KSU KDN
SEMPENA KONVENSYEN PEGAWAI RELA  11 APRIL 2017
 
 
 
Salam Sejahtera, Salam KDN, Salam 1RELA, Negaraku selamat sejahtera, InsyaAllah.
 
Terima kasih kepada Saudara / Saudari Pengacara Majlis
 
SALUTASI
 
Ybhg. Datuk Zulkifli Bin Ahmad
Ketua Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
 
Ybhg.Ketua Pesuruhanjaya RELA
KPjR Tuan Zulkifli Bin Abidin
 
Yang  Berbahagia  Dato’  Sri Alwi Bin Haji Ibrahim
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
 
Yang Berbahagia Dato’Seri / Dato’-Dato’ TKSU-TKSU,
 
Ketua- ketua Jabatan KDN dan Agensi serta wakil
 
Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah RELA,
 
Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Pegawai-Pegawai Kanan KDN dan RELA,
 
Para tetamu dan hadirin,
 
Tuan-tuan, Puan-puan, saudara-saudari yang saya hormati sekalian;
 
 
1. Alhamdulillah, segala puji milik Allah Subhanahu Wata”ala. Selawat dan Kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallu Alaihi Wassalam. Moga syafaat menaungi perhimpunan kita pada pagi ini bersempena Konvensyen Pegawai RELA 2017, Majlis Penyampaian Pelan Integriti RELA dan seterusnya Majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Warga RELA bersama SPRM. Terima kasih kerana menjemput saya.
 
2. Terlebih dahulu, izinkan saya atas nama Ketua Setiausaha dan Kementerian Dalam Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana sudi hadir di majlis pada pagi ini. Terima kasih jua kepada SPRM yang telah mengambil langkah wajar bagi memastikan warga KDN, khususnya  RELA agar sentiasa menjunjung dan menegakkan prinsip integriti dan akauntalibiti dalam memastikan KDN, jabatan dan agensi dibawahnya sentiasa mendahului dalam sebarang  inisiatif pemantapan tadbir urus.
 
3.        Sebelum saya meneruskan ucapan ini, perlu saya ingatkan diri saya dan para hadirin sekelian bahawa integriti merupakan cabaran yang ke 4, Wawasan 2020 yang bertujuan membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang kukuh dengan ciri-ciri moral dan etika serta warga negara yang mempunyai nilai keugamaan dan kerohanian yang utuh.
 
YBhg.Dato-Dato, Tuan-Tuan dan  Puan-Puan sekalian.
 
Makna Dan Kepentingan Intergriti
 
3.   Secara umum integriti bermaksud “Quality of being honest and upright” (DBP, 1997) dan “ The Quality of being honest and having high moral standards” (Longman Dictionary, 1999), Dalam bahasa Arab (Islam), mengistilahkannya sebagai KAMIL  (bermaksud sempurna) yang dikaitkan dengan nilai-nilai amanah, jujur, kebolehpercayaan, memelihara kepentingan awam tanpa mengambil kesempatan, tulus hati, adil dan saksama. Nilai-nilai ini dengan tepat menggambarkan ciri-ciri yang harus ada kepada setiap penjawat awam sepertimana firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Qasas ayat ke 26 yang bermaksud “ Sebaik-baik yang engkau upah itu adalah orang yang Quwwah (Kuat dan Mampu Melakukan Tugas Yang Diberi), lagi Amanah (Dipercayai dan Bertanggungjawab)
 
 
 
4. Dalam keghairahan kita berusaha mencapai kemajuan material atau melaksanakan tugas seharian, barangkali kita mungkin terlepas pandang  atau terabai nilai-nilai  integriti dan akhlak mulia. Dalam konteks sebenar perlu juga saya ingatkan bahawa integriti bukan hanya berkaitan material sahaja, tetapi lebih luas maksudnya merangkumi pengurusan masa, kebersihan sahsiah dan moral, ikhlas, adil, bertanggungjawab, ikhlas, dedikasi, disiplin dan pelbagai cabang tafsiran lagi.
 
5. Dalam hal ini, suka saya mengungkap kata-kata  Saidina Omar Bin Al-Khatab R.A. dalam menasihati para pegawai yang baru dilantik di zaman pemerintahannya sebagai khalifah. Pesanan beliau berbunyi, “ “Urusan ini tidak layak dikendalikan kecuali oleh mereka yang mempunyai empat sifat ; Lembut tetapi tidak lemah, Tegas tetapi tidak kasar, Berdikit tetapi bukan bakhil dan Pemurah tetapi bukan boros. Jika salah satunya tidak ada, yang tiga lagi akan turut rosak” . Nasihat ini pada saya amat bertepatan dan sejajar dengan hala tuju keberhasilan konvensyen yang akan diadakan pada hari ini.
 
YBhg.Dato-Dato, Tuan-Tuan dan  Puan-Puan sekalian.
 
Bersedia Hadapi Fenomena Mega Trends Dan Mendokong TN50
 
6. Pada sesi yang singkat ini, saya juga ingin mengambil kesempatan mengajak ahli-ahli konvensyen memikir, meneliti dan membincangkan inisiatif jangka masa hadapan berkaitan fungsi dan tugas RELA  selain membincangkan masalah integriti dan akauntalibiti dalam pasukan.   
 
7. Hal ini saya lontarkan  kerana telah terbukti bahawa beberapa ramalan saintifik trend transfomatif dan kuasa daya yang kebarangkalian akan memberi impak keselamatan dan ketenteraman awam yang mempunyai kaitan dengan fungsi RELA pada masa akan datang yang berpotensi memberi kesan yang amat signifikan kepada negara  dan ahli RELA selepas 2025.
 
8. Sebahagian besar daripada fenomena mega trends ini akan menerjah ke negara kita dalam tempuh 5-30 tahun akan datang dan tidak lagi menjadi asing kepada kita. Sebahagian daripadanya telah mula bertunas dan berakar dan kesannya telah pun kita rasai pada masa ini. Antara  global mega trends yang berkait dengan fungsi RELA ialah urbanisasi, perubahan infrastuktur bandar, migrasi, gaya hidup dan tren sosial baru serta perubahan cuaca yang akan melibatkan perubahan perentah operasi kesiapsiagaan jabatan.
 
9.   Lantaran itu, saya berharap konvensyen ini juga harus bersiapsiaga dalam menangani cabaran jangka panjang agar RELA terus relevan dalam menghadapi pelanggan yang semakin strategik dan pintar.
 
YBhg.Dato-Dato, Tuan-Tuan dan  Puan-Puan sekalian.
 
 
 
Matlamat Majlis  Hari Ini
 
10.    Antara pengisian dalam Konvensyen Pegawai RELA pada pagi ini ialah Ikrar Integriti. Saya amat berharap ikrar ini akan dihayati bersungguh-sungguh oleh setiap warga RELA dan harus diterjemahkan dalam bentuk kod etika profesional bagi meningkatkan kewibawaan peribadi, penghayatan nilai-nilai luhur, akauntalibiti, dinamik dan yang penting ialah kepatuhan kepada peraturan dan undang-undang.
 
11. Saya percaya, majlis ini tidak akan berhenti pada hari ini kerana SPRM akan bersedia membantu Jabatan dalam memastikan Unit Integriti RELA yang telah ditubuhkan sejak 3 tahun lalu dapat berfungsi dengan berkesan untuk menjadikan RELA sebuah agensi di bawah KDN yang disegani dan di pandang tinggi.
 
12.   Saya juga berharap outcome majlis dapat disampai dan dicapai oleh setiap anggota RELA di pelusuk tanah air agar insiden-insiden berkaitan ketidakpatuhan  tidak lagi berulang, insyaAllah. 
 
YBhg.Dato-Dato, Tuan-Tuan dan  Puan-Puan sekalian.
 
DEDUKSI
 
13.    Di  akhir ucapan ini, saya sekali lagi menyeru kepada seluruh warga RELA untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah,  memperkuatkan rasa kesamaan, esprit de corps serta bersama-sama bekerja keras dalam mengekalkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan Negara.
 
14. Saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YBhg. Datuk Zulkifli Bin Ahmad, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang meluangkan masa untuk hadir pada majlis ini dan tahniah kepada Ketua Pengarah Rela yang mengambil inisiatif bagi menganjurkan majlis ini.
 
Sekian,
 
Wabilahitaufik Walhidayah
Wasalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 
Terima kasih.