header plain mobile2

MESYUARAT JAWATANKUASA PERINGKAT TERTINGGI MAJLIS ANTIPEMERDAGANGAN ORANG DAN ANTIPENYELUDUPAN MIGRAN

KENYATAAN MEDIA
TIMBALAN PERDANA MENTERI
YAB DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
 
MESYUARAT JAWATANKUASA PERINGKAT TERTINGGI 
MAJLIS ANTIPEMERDAGANGAN ORANG DAN ANTIPENYELUDUPAN MIGRAN 
 
 
1. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Bilangan 1 Tahun 2017.  Ia telah turut dihadiri oleh Menteri-Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua-Ketua Jabatan yang merupakan ahli kepada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO). 
 
2. Mesyuarat ini telah menumpukan kepada pencapaian negara berkaitan aspek-aspek kritikal yang disarankan oleh pihak Amerika Syarikat (US) sebelum ini menjelang penilaian Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) 2017 yang dijangka diumumkan oleh Setiausaha Negara US pada pertengahan tahun ini.  Aspek-aspek kritikal ini merangkumi komponen-komponen penting di dalam membenteras jenayah pemerdagangan orang merangkumi aspek polisi, pencegahan, penguatkuasaan, pendakwaan dan perlindungan mangsa. 
 
3. Malaysia telah dua kali membuat pindaan bagi memperkasakan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 pada tahun 2010 dan 2015.  Selain daripada itu, perlaksanaan ATIPSOM 2007 turut disokong oleh Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Pemerdagangan Orang 2016-2020 yang telah dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada pertengahan tahun 2016. 
 
4. Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan di bidang pendakwaan dimana 100 sabitan telah dicapai sepanjang tahun 2016 bagi kes-kes pemerdagangan orang dan kes-kes yang mempunyai unsur-unsur pemerdagangan orang. Bagi tahun 2015, hanya tujuh sabitan yang direkodkan. Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2017, sebanyak 13 sabitan kes pemerdagangan orang telah dicapai. 
 
5. Dari aspek perlindungan mangsa, peningkatan drastik telah dapat dilihat menerusi kerjasama Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Kerajaan telah bersetuju untuk melantik 12 orang individu dari kalangan NGO untuk menjadi Pegawai Pelindung kepada mangsa yang diperdagangkan dimana sebelum ini tugasan ini hanya dipikul oleh Pegawai Pelindung daripada Jabatan Pembangunan Wanita dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. 
 
6. Kerajaan turut bersetuju berkolaborasi dengan NGO yang berkelayakan untuk mengendalikan Rumah Perlindungan bagi mangsa pemerdagangan orang bermula April 2017 dimana sebelum ini mangsa-mangsa pemerdagangan orang hanya ditempatkan di Rumah-Rumah Perlindungan Kerajaan di bawah kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.  Keputusan ini adalah selaras dengan pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang telah diluluskan di Parlimen pada Julai 2015 dan dikuatkuasakan sepenuhnya pada November 2015.
 
7. Menyentuh mengenai pencegahan dan penguatkuasaan, Kerajaan ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Pasukan Task Force ATIPSOM yang telah berjaya menjalankan operasi bersepadu ke atas kilang pemprosesan sarang burung walid di Klang pada 28 Mac 2017. Operasi bersepadu ini turut disertai oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan juga Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Selain itu, Kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengoperasian Task Force sehingga Disember 2018
 
8. Malaysia menyambut baik sokongan dan kerjasama berterusan yang diberikan oleh Kedutaan Besar Amerika Syarikat di dalam usaha negara untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang.  Sehubungan itu, Malaysia berharap supaya kerjasama erat sebegini ini akan dapat menambah baik inisiatif negara bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang, sekaligus membantu Malaysia memperbaiki kedudukan dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang bagi tahun 2017.
 
 
 
10 April 2017