header plain mobile2

  • Laman Utama
  • Kenyataan Media
  • KENYATAAN MEDIA MENGENAI PENGAMBILAN PEKERJA ASING BAGI SEKTOR FORMAL SECARA DALAM TALIAN 10 APRIL 2017

KENYATAAN MEDIA MENGENAI PENGAMBILAN PEKERJA ASING BAGI SEKTOR FORMAL SECARA DALAM TALIAN 10 APRIL 2017

KENYATAAN MEDIA

YBHG DATO’ SRI ALWI BIN HJ. IBRAHIM

KETUA SETIAUSAHA

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

MENGENAI

 

PENGAMBILAN PEKERJA ASING BAGI SEKTOR FORMAL SECARA DALAM TALIAN

10 APRIL 2017

 

1. Kementerian ingin memaklumkan bahawa sistem permohonan pengambilan pekerja asing dalam talian telah beroperasi sepenuhnya pada 1 April 2017 sepertimana pengumuman YAB Timbalan Perdana Menteri. Kerajaan telah membangunkan dua sistem dalam talian iaitu; sistem ePPAx bagi pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber kecuali Bangladesh dan sistem SPPA bagi penggambilan pekerja asing warga Bangladesh sahaja.

 

2. Kerajaan telah memperkenalkan sistem ini bagi mengelakkan penglibatan orang tengah yang dapat meminimumkan kos pengambilan dan pentadbiran pekerja asing, memendekkan tempoh merekrut pekerja asing serta membendung penganiayaan dan pemerdagangan ke atas pekerja asing.

 

3. Kedua- dua sistem ini telah dibangunkan bagi permohonan pekerja asing bagi sektor formal iaitu perkilangan, pembinaan, perkhidmatan ,pertanian, perladangan dan tidak termasuk pembantu rumah asing.

 

4. Pihak majikan boleh mengakses sistem tersebut melalui pautan www.eppax.gov.my untuk permohonan pekerja asing selain Bangladesh. Manakala bagi pengambilan pekerja asing warga Bangladesh majikan boleh memohon terus melalui laman sesawang portal.sppa.com.my. Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman sesawang rasmi Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

 

5. Proses awal penilaian kelayakan majikan akan dilaksanakan secara atas talian berdasarkan maklumat yang diberikan oleh majikan dan majikan akan dipanggil untuk proses temuduga di Pusat Kelulusan setempat (OSC), KDN bagi mengesahkan permohonan berkenaan dikemukakan oleh majikan hakiki dan untuk memuktamadkan kelulusan kuota berdasarkan kelayakan sebenar majikan.

 

6. Hanya selepas proses temuduga dan kelulusan kuota di OSC, KDN, majikan boleh memohon Visa Dengan Rujukan (VDR) untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini

 

7. Bagi tujuan pemakluman pelaksanaan sistem dalam talian ini, Kerajaan telahpun membuat hebahan awal sebelum ini melalui laman sesawang rasmi kementerian dan penganjuran beberapa sesi libat urus dengan stakeholders, pihak industri dan wakil kesatuan industri berkaitan sistem ini.

 

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Putrajaya