header plain mobile2

  • Laman Utama
  • Kenyataan Media
  • KENYATAAN MEDIA MENGENAI PERINTAH LARANGAN TERHADAP PENERBITAN MELALUI WARTA KERAJAAN P.U(A)383 - 398 DAN P.U(A)23-25

KENYATAAN MEDIA MENGENAI PERINTAH LARANGAN TERHADAP PENERBITAN MELALUI WARTA KERAJAAN P.U(A)383 - 398 DAN P.U(A)23-25

KENYATAAN MEDIA

DATO’ SRI ALWI BIN HJ. IBRAHIM

KETUA SETIAUSAHA

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

MENGENAI

 

PERINTAH LARANGAN TERHADAP PENERBITAN MELALUI WARTA KERAJAAN P.U(A)383 - 398 DAN P.U(A)23-25 30 MAC 2017

 

1. Dimaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap sembilan belas (19) penerbitan melalui Warta Kerajaan P.U(A)383 - 398 bertarikh 30 Disember 2016 dan P.U(A)23-25 bertarikh 20 Januari 2017.

 

2. Warta Perintah Larangan ini adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301). Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

 

3. Kesemua penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, mungkin memudaratkan kemoralan, mungkin memudaratkan kepentingan awam dan mungkin memudaratkan keselamatan negara.

 

4. Terdapat tiga belas (13) penerbitan yang didapati isi kandungan atau artikelnya berunsur seks serta memuatkan gambar-gambar lucah yang keterlaluan yang dilihat tidak bersesuaian dengan norma kehidupan masyarakat Malaysia. Tajuk-tajuk penerbitan tersebut adalah Revenge of the Sarong Party Girl, Fifty Shades of Bliss: The Ultimate Guide To Spicing Up Your Sex Life, Maxim (Vol 18, No. 9 November 2014) (USA Edition), Maxim (Vol 18, No. 5 Jun 2014) (USA Edition), Pop Psychedelic, Only Two Can Play, Black Men Special Edition, The Loving Touch, The Book of Loving Sex, Kamasutra & Kecerdasan Seks Modern, Nikmatnya Melayari Bahtera Malam Pertama, Pelacur Kelas Pertama dan Nazi Goreng.

 

5. Manakala tiga (3) penerbitan pula didapati mengandungi fakta yang mengelirukan dan bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam yang sebenar mengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ditetapkan di negara ini. Penerbitan-penerbitan tersebut juga dilihat boleh mengelirukan orang ramai dan dikategorikan sebagai menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya. Tajuk-tajuk penerbitan tersebut adalah Bila Anak-Anak Bertanya Tentang Allah Dan Alam Ghaib Inilah 48 Jawapannya…, Tafsir Al-‘Usyr Al-Akhir dari Al-Quran Al-Karim Juz (28,29,30) Disertai Hukum-Hukum Penting Bagi Seorang Muslim dan The Gospel of Ali (Penghargaan Islam atas Yesus).

 

6. Selain itu terdapat tiga (3) penerbitan lain yang mempunyai unsur-unsur mempromosikan perjuangan komunis dan Daulah Islamiyyah. Kedua-dua penerbitan tersebut mungkin memberi implikasi negatif dari sudut keselamatan negara. Tajuk penerbitan yang dilihat memperjuangkan ideologi komunis tersebut adalah Hidup Bagaikan Sungai Mengalir (Kisah 16 Orang Wanita Dalam Gerakan Anti-Jepun, Anti-Penjajah dan Kemerdekaan di Malaysia-Singapura 1938-1989) dan Manifesto Komunis, manakala Al-Fatihin: Surat Kabar Bagi Muhajirin Berbahasa Melayu di Daulah Islamiyyah pula dilihat mengandungi unsur doktrin radikal agama dan ekstrimis.

 

7. Secara keseluruhannya, kesemua penerbitan yang diterbitkan di dalam negara dan di luar negara tersebut dilihat boleh memudaratkan atau mengelirukan pembaca terutamanya generasi muda di mana ianya tidak sesuai untuk dijadikan bahan bacaan umum.

 

8. Sehubungan itu, mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 8 (2) Akta 301 tersebut.

 

9. Sekiranya masyarakat awam mendapati masih terdapat penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang Negara diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN di talian telefon 03 - 88868047 atau faks 03 - 88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.

 

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Putrajaya