header plain mobile2

BANTERAS HADIS PALSU SECARA MENYELURUH - TPM

 

PUTRAJAYA: YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri mahu pembanterasan hadis palsu tidak hanya tertumpu pada penerbitan sahaja, sebaliknya perlu dibuat secara menyeluruh merangkumi pelbagai medium lain termasuk media sosial.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadith & Wacana Kawal Selia Hadith Siri II di Dewan Sri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya pagi tadi.

 

Beliau turut mengarahkan JAKIM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memantau semua medium penerbitan bagi mengesan aktiviti penyebaran hadis palsu berkenaan.

 

Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadith yang dilancarkan pada hari ini bertujuan untuk mengawal selia penulisan hadith di dalam penerbitan khususnya mengekang penyebaran hadih palsu/ mawdhu’.

 

Ianya akan menjadi rujukan kepada penulis, pengarang dan penerbit teks dalam menyemak, menilai, memetik dan merakamkan hadith dalam sebarang penulisan serta bermatlamat untuk mendidik masyarakat dengan budaya “Semak Hadith Sebelum Sebar” untuk mengelakkan tersalah menyebarkan hadith-hadith palsu secara tidak sengaja.

 

Turut diadakan hari ini adalah Wacana Kawal Selia Hadith Siri II yang dianjurkan oleh Lajnah Tahqiq Hadith, Kementerian Dalam Negeri bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan kawal selia hadith, khususnya bagi mengawal penyebaran hadith-hadith palsu/mawdu’.