header plain mobile2

Kikis Budaya Takut Disiasat Oleh SPRM - Nur Jazlan

PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Syarikat atau orang ramai harus mengkikis budaya takut disiasat atau diaudit oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mana-mana agensi penguatkuasaan bagi memastikan negara ini bebas dan bersih daripada anasir rasuah serta salah guna kuasa, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata seluruh ekosistem sesebuah jabatan atau syarikat mesti telus supaya gejala rasuah dan salah guna kuasa dapat dikesan dan dicegah lebih awal.

"Kalau ada kes, SPRM teruskan siasatan. Kalau tiada kes, ia akan digugurkan. Adakalanya, ada perbuatan sekongkol dalam sesuatu jabatan atau syarikat yang menyebabkan SPRM sukar menjalankan siasatan dan sukar membuktikan kejadian rasuah kerana wujud gejala itu daripada pengurusan tertinggi sampai ke bawah," katanya ketika berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata lazimnya persepsi orang ramai adalah sekiranya SPRM siasat orang politik, pegawai kerajaan, pengurusan korporat atau individu, pasti mereka terlibat atau mempunyai pengaruh dalam rasuah besar.

Oleh itu adalah wajar juga untuk SPRM mencari langkah keseimbangan antara badan itu dengan jabatan kerajaan, syarikat atau individu yang disiasat agar imej mereka yang terlibat dalam proses siasatan tidak tercemar serta mengelakkan masyarakat menghukum mereka walaupun belum dibuktikan bersalah.....
 
BERNAMA