header plain mobile2

Kompleks Kenderaan Berat Di ICQS Bukit Kayu Hitam Dibuka

BUKIT KAYU HITAM, 3 Sept (Bernama) -- Bermula hari ini, Kompleks Kenderaan Berat (KKB) yang baharu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam bagi Fasa 1, dibuka bagi pergerakan kenderaan keluar masuk dari Thailand dan Malaysia.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Tertinggi (HLC) Mengenai Keselamatan ICQS itu di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pembukaan itu melibatkan 60 peratus daripada komponen pembangunan di Fasa 1 dengan baki 40 peratus daripada pembangunannya merangkumi Kompleks Kenderaan Ringan, Pejabat Operasi dan Pentadbiran serta kemudahan awam.

"Lima jabatan serta agensi terlibat telah diarahkan melakukan operasi sepenuhnya pada 1 Nov 2017 ertinya penyerahan sepenuhnya 100 peratus ICQS itu pada 31 Okt ini.

"HLC ini akan datang semula untuk melihat operasi sepenuhnya ke ICQS tanpa ada sebarang kecacatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) di sini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom.

Ahmad Zahid berkata penyerahan sepenuhnya kompleks baharu bernilai RM425 juta itu oleh pihak pemaju, Syarikat Northern Gateway Infrastructure Sdn Bhd kepada kerajaan Malaysia, akan dilakukan pada 31 Okt ini.

Katanya pada 1 Nov, operasi di ICQS akan berlangsung 20 jam sehari manakala pada Januari 2019, kompleks berkenaan akan beroperasi sepenuhnya 24 jam sehari.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata beliau yakin semua kekangan dan masalah berkaitan akan mampu diatasi bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengangkutan dan logistik bagi rantau ASEAN.

"Kami serius untuk menangani kekangan yang dihadapi ini bagi menterjemahkan apa yang diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Walaupun kami bercuti tetapi demi rakyat, kami turun ke bawah untuk menentukan kejayaan ICQS ini.

"Langkah kami turun (melihat perkembangan projek) bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi kami sebagai pemudah cara kepada jabatan dan agensi tersebut, dan kerajaan mendapat faedah," katanya.

Mengulas lanjut mengenai operasi 24 jam itu nanti, Ahmad Zahid berkata beliau sebelum ini bertemu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Thailand, Jen. Prawit Wongsuwan bagi membincangkan perkara itu.

Beliau turut berpuas hati dengan perkembangan projek pembangunan ICQS yang baharu itu hasil koordinasi baik antara pelbagai jabatan dan agensi berkaitan serta kerajaan negeri Kedah.

"Dahulu pembinaannya lewat lebih 700 hari dan ini adalah lawatan kali ketiga saya .. dan rakan-rakan saya juga sangat berpuas hati dengan pemaju. Ini merupakan koordinasi yang baik oleh semua pihak termasuk kerajaan negeri Kedah," katanya.

Ahmad Zahid kemudiannya menghadiri Program Penerapan Nilai-nilai Murni Bersama Agensi Penguatkuasaan Zon Utara dan mengagihkan daging korban kepada hampir 2,000 pegawai penguatkuasaan serta masyarakat setempat.

-- BERNAMA