header plain mobile2

KDN Tetapkan 38 KPI Tahun Ini

Sebanyak 38 petunjuk prestasi utama (KPI) dengan skor sasaran 138 peratus ditetapkan bagi lapan agensi serta jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), tahun ini.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jumlah KPI yang lebih tinggi berbanding hanya 22 pada tahun lalu itu perlu dianggap sebagai tanda kepercayaan semua pihak terhadap KDN dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

 

“Jangan anggap ini sebagai bebanan sebaliknya ia adalah tanggungjawab untuk mewujudkan kesejahteraan, keselamatan dan keharmonian selain rasa percaya yang tinggi diletakkan masyarakat kepada KDN.

 

“Justeru kepimpinan semua agensi dan jabatan yang terbabit amat penting dan peranan lebih perlu dimainkan bagi memberi galakan supaya prestasi organisasi boleh mencapai kepada tahap yang lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Dokumen Perancangan Strategik KDN 2017 dan Pelancaran Misi Bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sini hari ini. — BHONLINE