Awam | Warga KDN   phone white 03 - 8000 8000  email icon  pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Selamat Datang

Pautan Pantas Maklumat Korporat, Direktori, Perkhidmatan Online, Terkini dan Menu Portal

  kdn mapkdn feedbackkdn contact uskdn faq

header plain mobile2

Peruntukan Akta Penapisan Filem 2002

Seksyen 5

Filem lucah

5. (1) Tiada seorang pun boleh:-

(a) ada atau menyebabkan dirinya ada dalam milikan, jagaan, kawalan atau pemunyaannya; atau
(b) menyebarkan, menayangkan, mengedarkan, mempamerkan, membuat, mengeluar, menjual atau menyewakan,

apa-apa filem atau bahan publisiti filem yang lucah atau yang selainnya bertentangan dengan kesopanan awam.

5. (2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

 

Seksyen 6

Filem atau bahan publisiti filem yang tidak diluluskan

 

6. (1) Tiada seorang pun boleh:-

(a)  ada dalam milikannya atau dalam jagaannya atau di bawah kawalannya; atau

(b) menyebarkan, menayangkan, mengedarkan, mempamerkan, membuat, mengeluar, menjual atau menyewakan, 

apa-apa filem atau bahan publisiti filem yang belum diluluskan oleh Lembaga.

6. (2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan sesuatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh:-

(a) berkenaan dengan apa-apa filem, didenda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada tiga puluh ribu ringgit atau dipenjara selama tempuh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya; atau

(b) berkenaan dengan apa-apa bahan publisiti filem, didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit.


Seksyen 7

Penahan filem dan bahan publisiti filem yang diimport

7. (3) Mana-mana orang yang, tanpa suatu permit atau suatu perakuan pengecualian yang dikeluarkan dibawah seksyen 8, mengalih atau menyebabkan dialihkan daripada kawalan mana-mana pegawai kastam hak apa-apa filem atau bahan publisiti filem yang telah diimport ke dalam Malaysia melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


Seksyen 9

Pengemukakan filem untuk penapisan

 

9. (1) Pemunya sesuatu filem hendaklah mengemukakan filem itu kepada Lembaga untuk penapisan filem mengikut cara yang ditetapkan tanpa apa-apa pengubahan atau pemotongan dan atas risiko dan perbelanjaan sendiri:-

(a) dalam hal sesuatu filem yang diimport yang tidak dikecualikan dibawah sub seksyen 8(3) yang dilepaskan dibawah seksyen 7, dalam masa dan ditempat yang dinyatakan dalam permit yang dikeluarkan berkenaan dengan filem itu dibawah subseksyen 8(1); atau

(b) dalam hal sesuatu filem yang dibuat atau dikeluarkan di Malaysia dan dicadangkan untuk ditayangkan di Malaysia, dalam masa empat belas hari dari tarikh pembuatan atau pengeluaran itu selesai.

9. (2) Pemunya filem yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


Seksyen 11

Pengubahan

11. (1) Pengubahan yang dikehendaki oleh Lembaga dibawah perenggan 10(1)(b) boleh dibuat:-

(a) oleh Lembaga; atau

(b) dengan keizinan bertulis dan tertakluk kepada apa-apa syarat Lembaga, oleh pemunya filem.


11. (2) Jika apa-apa filem dihantarserahkan kepada pemunya filem itu bagi maksud membolehkan pemunya itu membuat pengubahan kepada filem itu di bawah perenggan 10(1)(b), pemunya itu hendaklah memulangkan filem itu kepada Lembaga:-

(a) dalam masa yang ditentukan oleh Lembaga; dan

(b) dengan mana-mana bahagian yang dipotong, jika pengubahan secara pengeluaran telah dibuat.


11. (3) Pemunya filem yang melanggar subseksyen (2) melakukan sesuatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan secara tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 16
Pembuatan pendua filem

16. (1) Jika sesorang bercadang untuk membuat pendua keseluruhan atau mana-mana bahagian sesuatu filem yang telah diperakui dibawah seksyen 14, dia hendaklah mengemukakan suatu akuan berkanun kepada Lembaga dengan menyatakan:-

(a) cadangannya untuk membuat salinan pendua;

(b) bilangan sebenar salinan pendua yang dia bercadang untuk membuatnya dan

(c) bahawa salinan pendua itu dibuat daripada filem asal yang diluluskan dan diperakui oleh Lembaga, masing-masing dibawah seksyen 10 dan 14.


16. (2) Tiada seorang pun boleh membuat salinan pendua keseluruhan atau mana-mana bahagian sesuatu filem yang belum diluluskan atau diperakui oleh Lembaga, masing-masing di bawah seksyen 10 dan 14.

16. (3) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (2) melakukan sesuatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak boleh lebih daripada tiga puluh ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 18

Pempameran tanda kelulusan, perakuan dan pengelasan

18. (1)  Pemunya sesuatu filem yang diluluskan oleh Lembaga untuk tayangan hendaklah mengecapkan pada filem itu tanda kelulusan Lembaga.

18. (2) Maka hendaklah dipamerkan mengikut cara yang ditetapkan berkenaan dengan tiap-tiap filem yang diluluskan oleh Lembaga untuk tayangan:-

(a) perakuan berkenaan dengan filem itu;

(b) pengelasan filem itu; dan

(c) nama dan alamat orang yang menayangkan, mengedarkan, mempamerkan atau menjual, mengikut mana-mana yang berkenaan, filem itu.

18. (3) Pemunya filem yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan.

18. (4) Mana-mana orang yang;

(a) menayangkan, mengedarkan atau menjual sesuatu filem dengan melanggar subseksyen (2); atau

(b) mempamerkan berkenaan dengan sesuatu filem pengelasan yang berbeza daripada pengelasan yang telah diberikan oleh Lembaga kepada filem itu.

melakukan sesuatu kesalahan.

18. (5) Seseorang yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah seksyen ini boleh didenda tidak kurang lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

 

Seksyen 19

Pengemukaan bahan publisiti filem

19. (1) Tiap-tiap bahan publisisti filem hendaklah dikemukakan kepada Lembaga mengikut cara yang ditetapkan bagi kelulusannya.

19. (2) Seksyen 10 dan 11 hendaklah terpakai bagi mana-mana bahan publisiti filem yang dikemukakan kepada Lembaga bagi kelulusannya seolah-olah perkataan "filem" dalam seksyen itu telah digantikan dengan perkataan "bahan publisiti filem".

19. (3) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen 11(2) yang dibaca bersama dengan subseksyen (2) seksyen ini melakukan suatu kesalahan.

19. (4) Seseorang yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah seksyen ini boleh didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit.

 

Seksyen 20

Tanda kelulusan pada bahan publisiti filem

20. (1) Lembaga hendaklah mengecapkan tanda kelulusannya pada mana-mana bahan publisiti flem yang telah diluluskan oleh Lembaga atau yang talah diubah sebagaimana yang dikehendaki oleh Lembaga.

20. (2) Jika berbilang salinan apa-apa bahan publisiti filem dikemukakan bagi kelulusan Lembaga, maka Lembaga hendaklah mengecapkan tanda kelulusannya pada salinan pertama sahaja dan salinan pendua boleh di buat daripada salinan pertama itu.

20. (3) Mana-mana orang yang menayangkan apa-apa bahan publisiti filem atau mana-mana salinan pendua bahan itu tanpa mempamerkan tanda kelulusan Lembaga berkenaan dengan bahan itu melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit.

 

Kemaskini Oktober 2017

Agensi |

KLIK LOGO UNTUK KE MAKLUMAT PERKHIDMATAN AGENSI

 PDRM  PENJARA  JIM  jpn update  AADK  jppm update RELA AKSEM   Lembaga Penapis Filem  new ipsom  APMM Logo 2  esscom

Agensi |

KLIK LOGO UNTUK KE MAKLUMAT PERKHIDMATAN AGENSI

 PDRM  PENJARA  JIM  jpn update  AADK  jppm update RELA AKSEM   Lembaga Penapis Filem  new ipsom  APMM Logo 2  esscom