button awamEN button warga1EN button agensiEN

header plain mobileEN2

Menu
  • Home
  • Terkini
  • NOTIS MAKLUMAN PENYELARASAN PROSES BERKAITAN PENANGGUHAN SISTEM PERMOHONAN PEKERJA ASING (SPPA)

NOTIS MAKLUMAN PENYELARASAN PROSES BERKAITAN PENANGGUHAN SISTEM PERMOHONAN PEKERJA ASING (SPPA)

NOTIS MAKLUMAN

PENYELARASAN PROSES BERKAITAN PENANGGUHAN SISTEM PERMOHONAN PEKERJA ASING (SPPA)

 

Kerajaan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia pada 14 Ogos 2018 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah memutuskan untuk menangguhkan pengambilan pekerja asing warganegara Bangladesh melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing (SPPA) berkuatkuasa pada 1 September 2018 ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Sebarang keputusan mengenai perkara ini akan dimaklumkan selepas kerajaan Malaysia dan kerajaan Bangladesh memuktamadkan kaedah atau mekanisme baharu bagi tujuan pengambilan pekerja asing Bangladesh.

 

Bagi tujuan penyelarasan kepada proses permohohonan sedia ada yang telah dikemukakan melalui SPPA sebelum atau pada 31 Ogos 2018, berikut merupakan garis panduan pelaksanaan proses pengambilan pekerja asing Bangladesh sepanjang tempoh penangguhan:

 

1. Permohonan majikan yang telah didaftarkan tetapi belum diluluskan oleh OSC KDN

 

Permohonan majikan dalam sistem SPPA dibatalkan dan majikan dibenarkan untuk membuat permohonan baharu melalui Sistem Bersepadu Pengurusan Pekerja Asing (ePPAx) bagi mendapatkan pekerja asing dari negara sumber lain selain Bangladesh.

 

2. Permohonan kuota yang telah diluluskan oleh OSC KDN

 

a. Bayaran levi telah dijelaskan

i. Bagi majikan yang telah menjelaskan bayaran levi, majikan dibenarkan untuk membuat pertukaran kelulusan negara sumber Bangladesh kepada negara sumber lain; atau

 

ii. Sekiranya majikan berhasrat untuk terus kekal mengambil pekerja asing Bangladesh, permohonan hanya boleh diteruskan selepas tempoh penangguhan tamat. Tempoh kelulusan bersyarat pekerja asing akan dilanjutkan bersesuaian dengan tempoh penangguhan; atau

 

iii. Sekiranya majikan tidak berminat untuk meneruskan proses permohonan pekerja asing negara sumber lain dan Bangladesh, majikan dibenarkan untuk membuat tuntutan bayaran levi dan kelulusan akan dibatalkan.

 

b. Bayaran levi belum dijelaskan

i. Bagi majikan yang telah lulus temuduga tetapi belum menjelaskan bayaran levi, majikan dibenarkan untuk menjelaskan bayaran levi dengan kelulusan baharu negara-negara sumber melalui sistem MyImms. Kelulusan melalui sistem SPPA dibatalkan; atau

 

ii. Sekiranya majikan berhasrat untuk terus kekal mengambil pekerja asing Bangladesh, permohonan melalui kelulusan MyImms hanya boleh diteruskan selepas tempoh penangguhan tamat. Tempoh kelulusan bersyarat pekerja asing akan dilanjutkan bersesuaian dengan tempoh penangguhan.

 

3. Permohonan telah mendapat kelulusan attestation oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh

 

a. Sekiranya attestation telah diluluskan dan majikan masih belum membuat permohonan VDR atau VDR belum diluluskan, majikan dibenarkan untuk membuat pertukaran kelulusan negara sumber Bangladesh kepada negara sumber lain dan Synerflux Sdn Bhd perlu memulangkan clearance fee (CF) mengikut pro rata yang dibenarkan; atau

 

b. Sekiranya majikan berhasrat untuk terus kekal mengambil pekerja asing Bangladesh, permohonan hanya boleh diteruskan selepas tempoh penangguhan tamat. Tempoh kelulusan bersyarat pekerja asing akan dilanjutkan bersesuaian dengan tempoh penangguhan; atau

 

c. Sekiranya majikan tidak berminat untuk meneruskan proses permohonan pekerja asing negara sumber lain dan Bangladesh, majikan dibenarkan untuk membuat tuntutan bayaran levi dan CF mengikut pro rata dan kelulusan akan dibatalkan.

 

4. Permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR)

 

 a. Bagi VDR pekerja yang telah diluluskan, majikan dibenarkan untuk meneruskan proses membawa masuk pekerja dalam tempoh tiga bulan daripada 1 September 2018. Tempoh kelulusan bersyarat pekerja asing dilanjutkan bersesuaian dengan tempoh penangguhan sekiranya berkaitan; atau

 

b. Bagi permohonan VDR yang telah dikemukakan sebelum atau pada 31 Ogos 2018 tetapi belum diluluskan, JIM dibenarkan untuk memproses dan meluluskan VDR dan majikan boleh meneruskan proses membawa masuk pekerja sekiranya VDR diluluskan dalam tempoh tiga bulan daripada VDR diluluskan. Tempoh kelulusan bersyarat pekerja asing dilanjutkan bersesuaian dengan tempoh penangguhan sekiranya berkaitan; atau

 

c. Bagi penggantian VDR untuk pekerja tidak masuk atau unfit, majikan hanya dibenarkan untuk membuat penggantian selepas tempoh penangguhan atau membuat tuntutan bayaran balik levi sekiranya tidak berhasrat untuk menggantikan pekerja. Tempoh kelulusan bersyarat pekerja asing dilanjutkan bersesuaian dengan tempoh penangguhan sekiranya berkaitan.

 

 

Maklumat lanjut berhubung perkara ini hendaklah dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Pekerja Asing, KDN di talian 03-8885 2939/2940.

 

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Putrajaya

3 September 2018