button awamEN button warga1EN button agensiEN

header plain mobileEN2

Menu
  • Home
  • Koleksi Ucapan
  • MAJLIS SAMBUTAN HARI PENJARA KE-227 DAN SAMBUTAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN 2017

MAJLIS SAMBUTAN HARI PENJARA KE-227 DAN SAMBUTAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN 2017

  
TEKS UCAPAN 
YAB DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI
TIMBALAN PERDANA MENTERI
 
 
MAJLIS SAMBUTAN HARI PENJARA KE-227
DAN SAMBUTAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN 2017 
 
 
 PENJARA SIMPANG RENGGAM, JOHOR
 
 
18 MAC 2017
 
 
 
Bismillahiramanirahim
 
YAB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin 
Menteri Besar Negeri Johor;
 
Yang Berhormat Datuk Nur Jazlan Mohamed
Timbalan Menteri Dalam Negeri ;
 
Yang Berhormat EXCO-EXCO Kerajaan Negeri Johor 
 
Yang Berhormat Datuk Liang Teck Meng
Ahli Parlimen Simpang Renggam;
 
Yang Berhormat Haji Abd Mutalip Abd Rahim
Ahli Dewan Undangan Negeri Layang-Layang;
 
Yang Berbahagia Dato’ Sri Alwi Haji Ibrahim
Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri;
 
Yang Berbahagia Dato’ Seri dan Dato’ Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha;
 
Yang Berbahagia Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar
Komisioner Jeneral Penjara Malaysia;
 
Yang Berbahagia Tan Sri Noor Rashid Ibrahim
Timbalan Ketua Polis Negara; 
 
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Abdul Halim Mohd Hussin
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan;
 
Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, wakil sektor korporat dan Badan-Badan Bukan Kerajaan; 
 
Dif-Dif Kehormat;
 
Rakan-rakan media kita,
 
Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.
 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam 1KDN.
 
1. Alhamdulillah, segala puji milik Allah Subhanahu Wataala jua. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. Demikian jua ke atas ahli keluarga dan sahabat baginda, seterusnya ke atas para Tabi’in dan para Ulama, semoga memperoleh Ihsan sehingga ke Hari Kebangkitan. Moga Nur dan Syafaat menaungi Sambutan Hari Penjara Ke 227 dan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan (AADK) 2017 pada pagi yang mulia ini.
2. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berbahagia Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, dan Yang Berbahagia Dato’ Dr. Abdul Halim Mohd Hussin, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, yang telah menjemput saya ke majlis ini.
3. Sesungguhnya majlis ini sangat unik kerana inilah julung kalinya hari istimewa dua buah entiti KDN disambut atau diraikan secara serentak.
4. Saya sangat berbangga kerana kedua-dua Jabatan Penjara dan AADK berjaya menjadikan sambutan serentak atau secara bersama ini satu kenyataan. Banyak juga perbelanjaan yang dapat kita jimatkan, selain impak program yang lebih besar kepada masyarakat.
 
Hadirin dan haridat sekalian.
 
5. Sebelum kita pergi lebih jauh lagi, saya ingin berkongsi sesuatu yang seluruh warga Jabatan Penjara khasnya, dan warga KDN umumnya, boleh kita banggakan. Ia berkaitan dengan prestasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 juvana di Sekolah Henry Gurney, dan banduan muda di Sekolah Integriti.
6. Untuk SPM 2016, 10 sekolah-sekolah ini telah mencatatkan keputusan lulus 100% bagi matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Sekolah-sekolah itu, saya sebutkan di sini ialah SHG Telok Mas, SHG Keningau, SHG Wanita Kota Kinabalu dan SHG Puncak Borneo.
7. Sekolah Integriti yang mencatatkan keputusan lulus 100% bagi dua matapelajaran itu pula ialah SI Kajang, SI Bentong, SI Kluang, SI Kuching, SI Muar dan SI Sungai Petani.  Marilah kita berikan tepukan kepada sekolah-sekolah ini. 
8. Sebagai perbandingan, untuk SPM 2015, lima (5) buah sekolah yang mencatatkan keputusan lulus 100% bagi dua matapelajaran itu. Sekolah-sekolah berkenaan ialah SHG Telok Mas, SHG Wanita KK, SI Sungai Petani, SI Bentong dan SI Marang.
9. Jumlah yang menduduki peperiksaan SPM 2016 ialah seramai 157 orang, yang terdiri daripada 100 juvana Sekolah Henry Gurney, dan 57 banduan muda Sekolah Integriti.
10. Prestasi mereka telah memperbaiki Gred Purata Sekolah atau GPS keseluruhan SPM 2016 Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Integriti kepada 5.38 dari 6.10 (nota: lower GPS means better).
11. Saya belum habis lagi bab ini. Satu lagi kejayaan mereka yang boleh kita banggakan ialah, 68 daripada mereka memperolehi sekurang-kurangnya satu (1) A.  Dan, ada lagi, rupa-rupanya tiga (3) daripada mereka ini, cemerlang. Mereka memperolehi tujuh (7) A.
12. Tahniah dan syabas kepada mereka ini kerana bukan mudah untuk mendapat A dalam SPM apatah lagi sampai tujuh (7) A dalam suasana pembelajaran yang sangat berlainan daripada biasa.
13. Terima kasih juga kepada para guru, warden dan ibubapa yang tidak jemu atau berputus untuk memberi peluang pendidikan kepada juvana dan banduan muda ini.
 
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian
14. Penjara mahupun Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), merupakan tempat penghuninya memperbetulkan diri semula.  Mereka sebelum ini telah tersilap memilih jalan, dan melakukan pelbagai kesalahan dan jenayah.  
15. Selain hukuman “masuk ke dalam” atau “merengkok dalam”, mereka juga menanggung satu lagi hukuman.  Mereka disisihkan dan diabaikan, bukan sahaja oleh masyarakat, malahan keluarga sendiri.
16. Kita tidak boleh menganggap mudah keadaan ini kerana kita juga akan terkena tempiasnya.  Antara tempiasnya ialah, mereka yang telah menjadi bekas penghuni penjara atau Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) mungkin akan kembali semula ke “rumah tidak bertingkap” atau “rumah bertiraikan besi” ini atau PUSPEN.
17. Residivis inilah yang kita tidak mahu. Memang kadar residivis kita rendah, dan syabas Jabatan Penjara Malaysia yang dapat mengekalkan kadarnya di bawah tahap 9%, iaitu 8.59% bagi tahun 2016.  Namun kita mahu ia dikurangkan lagi melalui usaha-usaha menambah baik dan memperkemas serta memperkasakan modul-modul pemulihan sedia ada.
18. Disinilah Yayasan Koreksional Malaysia boleh memainkan peranan dalam memastikan latihan kemahiran yang bersesuian serta boleh menjadi asas kepada laluan kerjaya selepas penghuni dibebaskan.   Pegawai penjara perlu dilibatkan dengan lebih aktif dalam latihan yang disediakan oleh yayasan mereka adalah tenaga pembimbing yang sesuai memandangkan mereka inilah yang sentiasa bersama penghuni.
19. Saya percaya dengan program pemulihan yang dijalani yang melibatkan disiplin diri, keagamaan dan kerohanian, pembentukan sahsiah, akademik, kemahiran serta pemasyarakatan, pengintegrasian bersama masyarakat serta laluan kerjaya yang terjamin akan menjadi benteng kepada penghuni untuk tidak mengulangi kesilapan lampau.  
20. Memang betul apabila penghuni ini melangkah keluar, mereka bukan lagi tanggungjawab kita, tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah kita untuk menyediakan mereka menghadapi dunia luar.
21. Tanggungjawab kita ialah menyedarkan mereka supaya tidak mengulangi kesilapan silam. Sebenarnya mereka ini amat bergantung harapan kepada kita semua untuk bangkit kembali sebagai insan yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara.  Kita rendahkan lagi kadar residivis, baik di kalangan penghuni penjara mahupun PUSPEN, InsyaAllah, keluarga dan masyarakat tidak ada alasan atau sebab untuk menyisihkan mereka.
 
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
  
22. Setakat ini, kira-kira 27,000 banduan dan bekas banduan telah menamatkan dengan jayanya program pemulihan di luar penjara melalui Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib, Pusat Pemulihan Pemasyarakatan serta rumah perantaraan. Kadar residivis untuk mereka adalah di bawah 1%, dan peluang pekerjaan pula adalah sekitar 98%.
23. Kejayaan yang dicapai ini melalui usaha pelbagai pihak iaitu Jabatan Penjara, agensi kerajaan, NGO serta usahawan yang berkonsepkan NBOS.  Antara programnya ialah Corporate Smart Intership bagi Orang Di parol untuk menyediakan latihan, kemudahan asas serta pendapatan dengan kerjasama pihak MARA, FELCRA dan sektor perkilangan.
24. Namun program pemulihan dan deradikalisasi Jabatan Penjara akan diperkasakan lagi.  Bagi mencapai hasrat tersebut, tahun ini projek naik taraf dan penyusunan semula bengkel-bengkel latihan di sekolah-sekolah seliaan penjara akan dilaksanakan di samping memastikan kelengkapan serta keperluan asas untuk kesejahteraan banduan terus diberikan perhatian. 
25. Pengkategorian penghuni juga sangat penting dalam menjayakan pemulihan.  Sehubungan itu, kita telah membuat permohonan dibawah RMK-11 Rolling Plan Ketiga 2018, untuk membina sebuah penjara khas bagi tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA.)  Penjara khas ini adalah satu elemen yang sangat penting proses deradikalisasi yang pelaksanaannya perlu dilakukan secara khusus.
 
 Tuan-tuan dan Puan-puan,
26. Kita beralih pula ke AADK, dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada AADK dengan pendekatan non konvensional yang diterjemahkan sebagai “Sentuhan Kasih” yang berkonsepkan mendatangi mereka yang memerlukan.
27. Program ini dilaksanakan secara interaktif antara AADK, ibubapa dan keluarga dalam menangani isu anak-anak mereka yang berisiko. Selain itu, AADK juga telah mengadakan kerjasama melalui NBOS bersama agensi-agensi lain dalam melaksanakan program pendidikan keibubapaan secara berstruktur. 
28. Namun, budaya ‘Not Me Syndrome’ tidak harus wujud dalam masyarakat kita. Jangan sesekali beranggapan bahawa masalah dadah bukan masalah kita. Masalah dadah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan ia merupakan masalah bersama. Jika tidak dibendung sejak awal lagi, ia akan mengancam anak–anak kita sendiri.
29. Perhatian serius perlu diberikan terhadap peningkatan ketara penggunaan dadah Amphetamine Type Stimulants atau ATS. Tahun lepas, penggunaan ATS meningkat sebanyak 149.7% berbanding tahun 2015.  Antara jenis dadah ATS yang menjadi kegemaran ialah Ecstasy, Amphetamin dan Eramin 5. Peningkatan ini berkait rapat dengan perubahan gaya hidup dan trend anak muda sekarang yang suka berhibur serta bersosial.
30. Masalah dadah merupakan masalah yang serius dan tidak boleh dipandang sepi. Lantaran itu, saya menyeru kepada Jabatan Penjara Malaysia dan AADK untuk terus membuat penambahbaikan dalam meningkatkan program pemulihan dadah di penjara dan juga PUSPEN  melalui kerjasama bersepadu melibatkan tenaga pakar dari Penjara Malaysia dan AADK.
31. Saya telah dimaklumkan bahawa pada hari ini modul latihan ini akan diserahkan kepada Master Trainer dari AADK dan juga Jabatan Penjara Malaysia. Saya berharap agar latihan komprehensif dan berterusan dilaksanakan supaya program rawatan dan pemulihan penagihan dadah yang berkesan dapat dihasilkan.
32. Syabas saya ucapkan kepada AADK yang telah melaksanakan program rawatan dan pemulihan berteraskan kerohanian melalui pendekatan Psycho-Spiritual menggunakan modul ISRA atau Islamic Spiritual Rehabilitation Approach berasaskan Model Inabah di Cure and Care Rehabilitation Centre Sungai Ruan, Raub, Pahang. Saya telah melihat sendiri pelaksanaan program ini dua minggu lepas dan mendapati ia lebih berpotensi untuk memulihkan masalah ketagihan dadah. Pengekalan tahap kepulihan klien dapat dilihat pada perubahan sikap dan tingkah laku klien di pusat tersebut.
 
Tuan-tuan dan Puan-puan,
 
33. Tahun lepas, sebanyak 7,443 atau 60% daripada 12,362 orang yang sedang mengikuti program rawatan dan pemulihan dalam komuniti telah berjaya mengekalkan kepulihan mereka. Angka ini kita perolehi melalui instrumen pengukuran Cure & Care Recovery Indeks (CCRI) bagi melihat tahap kepulihan klien secara berstruktur. CCRI ini dibangunkan bersama model dan prinsip kepulihan amalan terbaik negara maju. 
34. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah AADK kerana telah membangunkan sebuah Program Certified Psycho-Education Practitioner yang merupakan latihan berbentuk persijilan bagi mengukuhkan barisan hadapan pegawai–pegawai yang menguruskan rawatan dan pemulihan penagihan dadah. Saya dimaklumkan bahawa modul Certified Psycho-education Practitioner telah dibangunkan bagi memberi kompetensi pemberian perkhidmatan Rawatan dan Pemulihan. CCP merupakan sijil bertauliah yang julung kali dihasilkan oleh AADK melalui proses ilmiah serta mempunyai validasi indeks yang baik.
35. Saya merasa kagum dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh warga Jabatan Penjara dan AADK terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing. Untuk itu, pegawai-pegawai hendaklah menjaga keterampilan organisasi dan imej kementerian ini dengan memastikan integriti berada di tahap keutuhan yang tinggi. Di sini, saya mencadangkan agar pegawai AADK yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan memakai pakaian yang seragam bagi mencerminkan identiti penguatkuasaan supaya kemantapan kehadiran mereka dalam mana-mana operasi lebih dirasai.
 
Tuan-tuan dan Puan-puan,
 
36. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Penjara atas pencapaian peningkatan hasil jualan produk MyPride yang telah mencecah 34.9juta Ringgit pada tahun lepas berbanding 32.2juta Ringgit pada 2015.  Untuk ini, suka saya menetapkan agar hasil jualan produk MyPride untuk tahun 2017 mestilah tidak kurang dari RM 35 juta.
37. Peningkatan hasil jualan ini membuktikan hasil tangan penghuni merupakan produk yang berkualiti tinggi. Walau apa pun, yang lebih penting tang tersirat di sebalik nilaian jualan itu ialah penjara kita dapat melahirkan penghuni-penghuni yang terlatih, berkemahiran, insaf dan boleh dibentuk semula.
38. Kita harus sentiasa ingat bahawa segala transformasi tidak membawa makna sekiranya masih ada persepsi masyarakat bahawa penjara dan PUSPEN adalah  ‘tempat sisihan’ serta masih ada yang merasa sangsi dengan kehadiran bekas penghuni tempat-tempat ini dalam masyarakat.
39. Saya ingin menyeru kepada ahli keluarga penghuni dan masyarakat umum agar memberi peluang kedua kepada mereka untuk membuktikan bahawa program pemulihan yang telah dijalani benar-benar memberi keinsafan. Keprihatinan masyarakat adalah terapi terbaik yang boleh membantu mempercepatkan proses pemulihan penghuni.
40. Dengan lafaz Bismillah…. saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Penjara Ke-227 dan Sambutan Hari Agensi Antidadah Kebangsaan 2017. 
Sekian. Terima kasih.