button awamEN button warga1EN button agensiEN

header plain mobileEN2

Menu
  • Home
  • Kenyataan Media
  • KENYATAAN MEDIA DATO’ SRI ALWI BIN HJ. IBRAHIM KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI MENGENAI PERINTAH LARANGAN TERHADAP PENERBITAN MELALUI WARTA KERAJAAN P.U. (A) 81 - 87

KENYATAAN MEDIA DATO’ SRI ALWI BIN HJ. IBRAHIM KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI MENGENAI PERINTAH LARANGAN TERHADAP PENERBITAN MELALUI WARTA KERAJAAN P.U. (A) 81 - 87

KENYATAAN MEDIA

DATO’ SRI ALWI BIN HJ. IBRAHIM KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI

MENGENAI

PERINTAH LARANGAN TERHADAP PENERBITAN MELALUI WARTA KERAJAAN P.U. (A) 81 - 87

 

1. Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap lapan (8) penerbitan melalui Warta Kerajaan P.U(A) 81 - 82 bertarikh 22 Mac 2017 dan P.U(A) 83 - 87 bertarikh 23 Mac 2017.

 

2. Warta Perintah Larangan ini adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301). Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

 

3. Kesemua penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai, memudaratkan kemoralan dan memudaratkan kepentingan awam.

 

4. Terdapat lima (5) penerbitan yang didapati mengandungi fakta yang mengelirukan dan bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam yang sebenar mengikutMazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ditetapkan di negara ini. Penerbitanpenerbitan tersebut juga dilihat boleh mengelirukan orang ramai dan dikategorikan sebagai menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya. Tajuk-tajuk penerbitan tersebut adalah Isu Semasa Dalam Risalah: Hukum Barat Pun Islam, Isu Semasa Dalam Risalah: Konsep Kebebasan dan Agama, Menuju Reformasi Perundangan Islam, Zainab Srikandi Cucu Baginda Muhammad S.A.W. dan Imam Mahdi Yang Ditunggu Dan Malapetaka Akhir Zaman.

 

5. Selain itu terdapat dua (2) penerbitan lain yang mempunyai unsur-unsur yang menghina agama Islam dan negara. Kedua-dua penerbitan tersebut mungkin memberi implikasi negatif dari sudut keselamatan negara. Tajuk penerbitan tersebut ialah Al-Yahud: Eternal Islamic Enmity & The Jews dan From Majapahit to Putrajaya: Searching for Another Malaysia.

 

6. Manakala terdapat satu (1) penerbitan yang isi kandungan atau artikelnya berunsur seks serta memuatkan gambar-gambar lucah yang keterlaluan yang dilihat tidak bersesuaian dengan norma kehidupan masyarakat Malaysia. Tajuk penerbitan tersebut adalah Saucy Seaside Postcards.

 

7. Secara keseluruhannya, kesemua penerbitan yang diterbitkan di dalam negara dan di luar negara tersebut dilihat boleh memudaratkan atau mengelirukan pembaca terutamanya generasi muda di mana ianya tidak sesuai untuk dijadikan bahan bacaan umum.

 

8. Sehubungan itu, mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 8 (2) Akta 301 tersebut.

 

9. Sekiranya masyarakat awam mendapati masih terdapat penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang Negara diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN di talian telefon 03 - 88868047 atau faks 03 - 88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.

 

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Putrajaya