button awamEN button warga1EN button agensiEN

header plain mobileEN2

Menu
  • Home
  • Kenyataan Media
  • KENYATAAN MEDIA YAB DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI TIMBALAN PERDANA MENTERI MESYUARAT JAWATANKUASA PERINGKAT TERTINGGI MAJLIS ANTIPEMERDAGANGAN ORANG DAN ANTIPENYELUDUPAN MIGRAN (HLC) BILANGAN 2 TAHUN 2017

KENYATAAN MEDIA YAB DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI TIMBALAN PERDANA MENTERI MESYUARAT JAWATANKUASA PERINGKAT TERTINGGI MAJLIS ANTIPEMERDAGANGAN ORANG DAN ANTIPENYELUDUPAN MIGRAN (HLC) BILANGAN 2 TAHUN 2017

KENYATAAN MEDIA

YAB DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI

TIMBALAN PERDANA MENTERI

MESYUARAT JAWATANKUASA PERINGKAT TERTINGGI

MAJLIS ANTIPEMERDAGANGAN ORANG DAN ANTIPENYELUDUPAN MIGRAN (HLC)

BILANGAN 2 TAHUN 2017

 

1. Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Majlis Antipemerdangangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kali Kedua bertempat di Bilik Mesyuarat Perdana, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh YB Menteri-menteri Kabinet, YB Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian serta Ketua Jabatan/ Agensi yang merupakan ahli MAPO. Mesyuarat turut dihadiri oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur, TYT Kamala Shirin Lakhdir.

 

2. Agenda utama mesyuarat menumpukan kepada pencapaian negara berkaitan dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang serta langkah-langkah penambahbaikan bagi penilaian tahun yang akan datang. Laporan JNAS yang telah dikeluarkan pada 27 Jun 2017 meletakkan Malaysia di tahap 2, iaitu kedudukan yang lebih baik berbanding Tahap 2 (Pemerhatian) pada tahun 2016.

 

3. Malaysia sebelum ini pernah berada di kedudukan Tahap 2 (Pemerhatian) selama 8 kali kerana tidak menunjukkan peningkatan yang ketara dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang berbanding tahun sebelumnya. Namun, kedudukan negara melonjak ke Tahap 2 pada tahun 2017 kerana negara telah melaksanakan usaha-usaha yang signifikan untuk mematuhi United Nations Convention Against Transnational Organized Crime (UNTOC) dan Trafficking Victim Protection Act 2000 (TVPA). Ini merupakan hasil komitmen tinggi dan usaha konsisten yang ditunjukkan oleh HLC MAPO dalam peningkatan siasatan, pendakwaan dan sabitan kes pemerdagangan orang termasuk beberapa penambahbaikan dalam aspek pelindungan mangsa.

 

4. Sehingga Jun 2017, sebanyak 254 kes pemerdagangan orang dibawa untuk pendakwaan di mana sebanyak 67 sabitan telah berjaya diperolehi. Daripada jumlah keseluruhan sabitan tersebut, 43 melibatkan kesalahan pemerdagangan orang dan 24 kesalahan lain yang berunsur pemerdagangan orang. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2017, jumlah tangkapan yang direkodkan adalah sebanyak 363.

 

5. Selain itu, Kerajaan melihat penglibatan NGO dalam pengurusan mangsa pemerdagangan orang sebagai satu perkembangan yang positif dan perlu diteruskan bagi memastikan kebajikan mangsa dapat terus terpelihara dan tanggungjawab dapat dikongsi bersama. Ini adalah selaras dengan komitmen negara bagi melaksanakan pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang telah berkuatkuasa sepenuhnya mulai November 2015.

 

6. Bagi menyokong kolaborasi di antara Kerajaan dan NGO, Kerajaan telah menyalurkan dana berjumlah RM1,386,500.00 kepada Pusat Kebajikan Good Shepherd dan Tenaganita Sdn Bhd sebagai projek rintis pengurusan mangsa pemerdagangan orang. Kerajaan juga telah mengisytiharkan 3 buah rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang di Sabah, Selangor dan Pulau Pinang untuk menjayakan kolaborasi ini.

 

7. Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai hari kesedaran jenayah pemerdagangan orang atau World Day Against Trafficking in Persons yang akan diadakan pada 30 Julai setiap tahun sebagaimana terkandung dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2013. Sambutan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai jenayah pemerdagangan orang serta perlindungan kepada mangsa.

 

8. Sehubungan itu, satu program kerjasama Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan diadakan pada 30 Julai 2017 bertempat di Subang Hi-Tech Industrial Park. Pertandingan membangunkan prototaip aplikasi berkaitan pemerdagangan orang dan pengenalan talian aduan pemerdagangan orang dengan kerjasama 1MOCC iaitu 03 8000 8000 merupakan antara acara-acara yang akan berlangsung pada hari tersebut.

 

9. Malaysia yakin akan terus mengekalkan kedudukan dalam penilaian tahun yang mendatang dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Amerika Syarikat bagi menambah baik aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan mangsa pemerdagangan orang.

 

Putrajaya

17 Julai 2017