button awamEN button warga1EN button agensiEN

header plain mobileEN2

Menu

Keluar MyKad dalam 30 minit

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempercepatkan pengeluaran MyKad kepada 30 minit pada masa akan datang, berbanding 45 minit sekarang.

 

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, sejak 1 April lalu, JPN berjaya mengeluarkan MyKad dalam tempoh 45 minit, berbanding 24 jam sebelum ini di semua pejabat JPN yang mempunyai mesin percetakan sendiri.

 

"Saya tidak mahu kecemerlangan ini terhenti di sini saja. Saya ingin melihat JPN menyahut cabaran seterusnya bagi mengeluarkan MyKad siap dalam tempoh 30 minit pada masa akan datang," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPN 2017 di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah. Seramai 347 warga JPN menerima anugerah pada majlis berkenaan.

 

 

Alwi berkata, satu lagi inisiatiatif yang dibanggakan oleh JPN adalah pelancaran Bas Mobile JPN di mana pelanggan boleh membuat gantian MyKad di bas berkenaan dan MyKad itu akan dicetak di mana-mana pejabat JPN yang berstatus hab percetakan teragih.

 

"Usaha terbaru JPN ini bakal mengubah landskap penyampaian perkhidmatan jabatan ini kepada rakyat, selaras dengan slogan JPN 'Rakyat Di Hati JPN' dengan harapan memenangi hati dan minda awam," katanya.

 

Sementara itu, Mohammad Razin dalam ucapannya berkata, lebih 300 individu ditahan dan didakwa atas pelbagai kesalahan berkaitan kad pengenalan sepanjang tahun lalu dan sehingga Februari tahun ini.

 

Beliau berkata, JPN sentiasa peka dengan kes penyalahgunaan dokumen pengenalan terutama dalam kalangan warga asing di negara ini.

 

"JPN kekal komited dalam membanteras masalah kad pengenalan palsu di negara ini melalui perancangan program penguatkuasaan yang mensasarkan sindiket, ejen dan pengguna kad pengenalan palsu.

 

"Bagi tujuan ini, JPN mempelbagaikan jaringan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain melalui perkongsian maklumat risikan, siasatan serta penguatkuasaan di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)," katanya.

 

SUMBER: BERITA HARIAN 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/447394/keluar-mykad-dalam-30-minit