button awamEN button warga1EN button agensiEN

header plain mobileEN2

Menu
  • Home
  • Berita
  • Anggota Rela Ditugaskan Di Esszone Mulai Januari - TPM

Anggota Rela Ditugaskan Di Esszone Mulai Januari - TPM

LAHAD DATU, 14 Dis (Bernama) -- Seramai 500 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan ditugaskan bagi membantu pemantauan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bermula Januari depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

Beliau berkata langkah mengatur penugasan anggota Rela berkenaan sedang dijalankan.

"Mobilisasi 500 anggota Rela terlibat sudah bermula dan penugasan akan dilaksanakan pada Januari tahun depan," katanya pada sidang media sempena lawatan kerjanya di Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini.

 

September lepas, Ahmad Zahid mengumumkan kerajaan bersetuju menggerakkan 6,148 pegawai dan anggota Rela bagi membantu operasi pemantauan pasukan keselamatan di 10 daerah dalam Esszone.

 

Sebagai permulaan, seramai 500 pegawai dan anggota Rela itu terlibat dalam projek perintis itu.

 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan khas untuk pakaian seragam dan aset Rela serta perbelanjaan operasi.

 

"Peruntukan itu akan bertambah bila keperluannya bertambah," katanya.

 

Terdahulu, beliau dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendengar taklimat yang disampaikan oleh Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali dan Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidin.

 

Ahmad Zahid berkata beliau mengadakan lawatan itu bagi meneliti semua keputusan mesyuarat Lembaga Penasihat Esszone yang diadakan dua kali tahun ini.

 

Menurutnya kerajaan pusat komited untuk memastikan keselamatan di Sabah khususnya di Esszone berada dalam keadaan terkawal. "Kita telah berbincang mengenai beberapa tindakan bagi menentukan jenayah rentas sempadan ditangani dan sempadan perairan negara dikawal rapi. "Kita tidak boleh memberi sedikit ruang pun kepada pelaku jenayah rentas sempadan," katanya.

 

Timbalan perdana menteri berkata secara keseluruhannya beliau dan Musa berpuas hati dengan tahap keselamatan di kawasan pantai timur yang diselaraskan oleh Esscom. -- BERNAMA