button awamEN button warga1EN button agensiEN

header plain mobileEN2

Menu
  • Home
  • Berita
  • Kepolisan Moden Penting Tangani Jenayah Antarabangsa - Ahmad Zahid

Kepolisan Moden Penting Tangani Jenayah Antarabangsa - Ahmad Zahid

BEIJING, 26 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan kepolisan moden amat penting bagi Malaysia untuk memastikan kerjasama antara negara anggota INTERPOL dalam memerangi segala bentuk jenayah antarabangsa dengan lebih berkesan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

 

Beliau berkata perlakuan jenayah antarabangsa kini semakin kompleks seperti jenayah siber, keganasan dan jenayah rentas sempadan, yang didapati kegiatan tersebut saling berkaitan.

 

Katanya penguasaan teknologi adalah penting untuk membolehkan polis berada di hadapan dalam memerangi jenayah antarbangsa.

 

"Biometrik cap jari adalah bahan bukti utama bagi memastikan setiap pesalah berkenaan dapat dijejaki segera. Sistem pengenalpastian wajah perlu kerjasama dengan negara-negara INTERPOL," katanya kepada media Malaysia selepas menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung Ke-86 INTERPOL di Pusat Konvensyen Antarabangsa China, di sini, Selasa.

 

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Duta Besar Malaysia di China Datuk Zainuddin Yahya.

 

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata usaha mewujudkan keamanan antarabangsa perlukan program jangka panjang seperti perkongsian maklumat rekod dan data antara negara anggota INTERPOL.

 

"Kita berpuas hati dengan kerjasama erat (Polis Diraja Malaysia) PDRM dan INTERPOL, keberhasilan jejak penjenayah dari luar negara atau penjenayah Malaysia di luar negara dijejaki dengan segera dan berkesan," katanya.

 

Beliau berkata peranan INTERPOL semakin penting kerana perkongsian data dengan PDRM adalah secara masa sebenar seperti kes kecurian dan Kehilangan Dokumen Perjalanan (SLTD), cap jari, senjata api, kenderaan curi dan senarai orang dikehendaki.

 

Mengenai SLTD, Ahmad Zahid berkata berdasarkan pangkalan data ibu pejabat INTERPOL di Perancis, daripada 76 juta pasport hilang seluruh dunia, 192,402 adalah pasport Malaysia.

 

Beliau berkata pasport Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia kerana ciri keselamatannya dan diterima oleh lebih 150 buah negara tanpa perlu visa.

 

Muhamad Fuzi berkata untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 52,459 rakyat Malaysia kehilangan pasport mereka dan direkodkan dalam pangkalan data INTERPOL.

 

"Kita memandang serius perkara ini kerana kemungkinan pasport Malaysia dicuri atau dicari oleh sindiket untuk mendapat pasport kita," katanya sambil menambah di pasaran gelap harga satu pasport Malaysia adalah antara RM100,000 hingga RM250,000.

 

Beliau berkata sebanyak 59 rakyat Malaysia di luar negara yang dikehendaki PDRM disenaraikan sebagai notis merah INTERPOL kerana terbabit dalam jenayah bunuh, Macau Scam, keganasan, kes berkaitan dadah dan senjata api.

 

-- BERNAMA