button awamEN button warga1EN button agensiEN

header plain mobileEN2

Menu
  • Home
  • Berita
  • Malaysia Capai banyak Kejayaan Sepanjang Jadi Pengerusi AMMTC Ke-10 - Zahid

Malaysia Capai banyak Kejayaan Sepanjang Jadi Pengerusi AMMTC Ke-10 - Zahid

MANILA, 19 Sept (Bernama) -- Malaysia mencapai banyak kejayaan sepanjang menjadi Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-10 bermula 2015, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

 

Beliau berkata dalam tempoh dua tahun itu kejayaan Malaysia bukan sahaja diiktiraf oleh negara-negara ASEAN tetapi juga di peringkat antarabangsa. "Dalam beberapa kejayaan itu terdapat tiga kejayaan yang membanggakan,"katanya kepada media Malaysia sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan bersama dengan pegawai kanan Malaysia di sini malam ini.

 

 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengetuai delegasi Malaysia, tiba di Filipina malam ini bagi menghadiri AMMTC ke-11 yang akan dirasmikan pembukaannya esok.

 

Menjelaskan tiga kejayaan Malaysia itu, beliau berkata yang pertama adalah penerimaan negara anggota ASEAN terhadap cadangan Malaysia supaya persidangan AMMTC yang sebelum ini dibuat secara dwitahunan dibuat setiap tahun bermula tahun ini.

 

"Acara ini dicadangkan setiap tahun kerana evolusi jenayah rentas sempadan kini berlaku begitu pantas dan sentiasa berubah,"katanya.

 

Menurutnya kejayaan kedua Malaysia adalah Pelan Tindakan ASEAN bagi mencegah Jenayah Rentas Sempadan bagi tempoh 2016-2025 diterima negara ASEAN, yang kini digunakan setelah mendapat persetujuan daripada negara anggota serantau itu pada Julai tahun ini.

 

Ahmad Zahid berkata kejayaan ketiga merujuk kepada kejayaan Malaysia merintis jalan bagi mengadakan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Kebangkitan Radikalisasi dan Keganasan Melampau pada 2 Oktober 2015, kini diteruskan di AMMTC ke-11 di Manila.

 

"Langkah ini sejajar dengan resolusi 2178 Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) mengenai pergerakan pejuang asing termasuk Daesh.

 

Mesyuarat ini diteruskan berikutan perkembangan yang berlaku di Marawi, Filipina sejak Mei tahun ini,"katanya. Timbalan Perdana Menteri berkata kesemua pencapaian Malaysia itu akan dimaklumkan kepada ahli mesyuarat esok sempena mesyuarat AMMTC.

 

Ahmad Zahid berkata Malaysia juga akan menyerahkan tugas Pengerusi kepada Filipina esok yang menjadi tuan rumah mesyuarat itu kali ini, selepas Malaysia memikul tanggung jawab itu sejak 2015.

 

Beliau berkata Malaysia akan mengambil bahagian secara aktif dalam setiap perbincangan semasa mesyuarat plenari AMMTC ke-11 melibatkan pelbagai topik. Esok, Ahmad Zahid dijadual menerima kunjungan hormat daripada beberapa ketua delegasi termasuk Filipina, Singapura dan Vietnam.

 

-- BERNAMA