Awam | Warga KDN   phone white 03 - 8000 8000  email icon  pro[at]moha[dot]gov[dot]my

header plain mobileEN2

UCAPAN TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI : MAJLIS PELANCARAN KEMPEN 1AMAN UNITED AGAINST CRIME NEGERI MELAKA

BISMILLAHHIRAHMANNIRAHIM

ASSALAMMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA

TERIMA KASIH SAUDARA/SAUDARI PENGACARA MAJLIS

YBHG. DATO ALWI BIN HAJI IBRAHIM

TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA KANAN (KESELAMATAN)

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

YDH DATO RUSLI BIN AHMAD

TIMBALAN PENGERUSI URUS SETIA NKRA BUKIT AMAN

YDH DATO CHUAH GHEE LYE

KETUA POLIS MELAKA

WAKIL YB SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI MELAKA

PEGAWAI-PEGAWAI KANAN KEMENTERIAN DALAM NEGERI

PARA PEGAWAI KANAN POLIS DIRAJA MALAYSIA

WAKIL DARIPADA PERSATUAN-PERSATUAN PENDUDUK

WAKIL DARIPADA NGO

WAKIL-WAKIL MEDIA MASSA

YBHG. DATUK-DATUK, DATIN-DATIN, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG SAYA HORMATI SEKALIAN

1. ALHAMDULILLAH, KITA PANJATKAN RASA SYUKUR KE HADRAT ALLAH S.W.T. KERANA PADA PAGI INI KITA SEMUA DAPAT BERKUMPUL DALAM MAJLIS PELANCARAN KEMPEN 1AMAN UNITED AGAINST CRIME ATAU 1AMAN-BERSATU MENENTANG JENAYAH PERINGKAT NEGERI MELAKA.

2. TERLEBIH DAHULU, SAYA INGIN MERAKAMKAN UCAPAN TERIMA KASIH KEPADA PIHAK PENGANJUR KERANA TELAH MEMBERIKAN PENGHORMATAN KEPADA SAYA UNTUK MERASMIKAN MAJLIS PELANCARAN KEMPEN INI PADA PAGI INI.

3. SEBELUM SAYA MENERUSKAN UCAPAN INI, IZINKAN SAYA UNTUK MENGUCAPKAN TAKZIAH KEPADA AHLI KELUARGA ANGGOTA KESELAMATAN PDRM DAN ATM YANG TELAH TERKORBAN SEMASA BERJUANG MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA DALAM INSIDEN DI SABAH. KITA MENYANJUNG TINGGI PERJUANGAN DAN PENGORBANAN WIRA-WIRA NEGARA INI. KEPADA YANG BERAGAMA ISLAM MARILAH KITA SAMA SAMA SEDEKAHKAN AL-FATIHAH DAN KEPADA YANG BUKAN ISLAM KITA BERTAFAKUR MENGIKUT AGAMA DAN KEPERCAYAAN MASING-MASING. AL-FATIHAH TERIMA KASIH, KITA DOAKAN ROH MEREKA YANG GUGUR SYAHID INI DI RAHMATI ALLAH S.W.T.

4. SELAIN ITU, SAYA JUGA INGIN MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PIHAK YANG TELAH TERLIBAT DALAM MEMBERIKAN BANTUAN SERTA KERJASAMA SEHINGGA MAJLIS INI DAPAT DILAKSANAKAN DENGAN LICIN DAN LANCAR. TIDAK LUPA JUGA SAYA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA PENCERAMAH-PENCERAMAH YANG TELAH MENYAMPAIKAN TAKLIMAT PADA PAGI INI DAN BERHARAP IANYA AKAN MEMBERIKAN INFORMASI YANG BERGUNA KEPADA HADIRIN SEKALIAN.

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI SEKALIAN.

5. MAJLIS KEMPEN 1AMAN-BERSATU MEMBANTERAS JENAYAH YANG DILANCARKAN INI ADALAH LANTARAN DARIPADA IDEA PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN [ATAU RINGKASNYA (GTP)] YANG TELAH DICETUSKAN OLEH YAB DATO SERI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK, PERDANA MENTERI MALAYSIA PADA TAHUN 2009 UNTUK MEWUJUDKAN ASAS BAGI TRANSFORMASI NEGARA KE ARAH MENJADI NEGARA MAJU BERPENDAPATAN TINGGI PADA TAHUN 2020. PROGRAM GTP INI HAKIKATNYA MERUPAKAN SEBUAH PELAN TINDAKAN INISIATIF YANG BERANI DAN NEKAD UNTUK MENCAPAI KEBERHASILAN YANG PANTAS.

6. SESUNGGUHNYA PROGRAM GTP INI DIPACU OLEH DUA TONGGAK UTAMA DI MANA IANYA MEMBERIKAN TUMPUAN TERHADAP KEUTAMAAN YANG PALING PENTING LAGI BERMAKNA KEPADA RAKYAT, IAITU RAKYAT DIDAHULUKAN DAN DI SAMPING ITU MEWUJUDKAN PERUBAHAN ASAS DI SELURUH NEGARA UNTUK MENGHASILKAN KEBERHASILAN YANG PANTAS, IAITU PENCAPAIAN DIUTAMAKAN. SELAIN ITUDI BAWAH GTP INI, FOKUS DIBERIKAN KEPADA TUJUH (7) BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA) DAN SALAH SATU DARIPADANYA ADALAH NKRA MENGURANGKAN JENAYAH.

7. BUAT MASA KINI DI BAWAH GTP 1, KEJAYAAN TELAH DIRASAI OLEH RAKYAT DI MANA KEBIMBANGAN RAKYAT DIDENGARI DAN TELAH DIAMBIL TINDAKAN YANG KONKRIT BAGI MENANGANINYA. MESKIPUN HASIL YANG MEMBERANGSANGKAN TELAH DICAPAI DALAM GTP FASA SATU (1) DI MANA PADA TAHUN 2012, JENAYAH INDEKS TELAH BERJAYA DIKURANGKAN SEBANYAK 7.6 % DAN JENAYAH JALANAN TELAH BERJAYA DIKURANGKAN SEBANYAK 41.3 %. NAMUN KITA SEMUA HARUS SEDAR BAHAWA BANYAK LAGI PERKARA YANG BOLEH DAN MESTI DILAKUKAN UNTUK TERUS MEMASTIKAN RAKYAT MERASA SELAMAT DI NEGARA INI.

8. OLEH SEBAB ITU, GTP 2 DILANCARKAN YANG MERUPAKAN KESINAMBUNGAN INISIATIF DI BAWAH GTP 1, SELAIN DARIPADA INISIATIF BAHARU UNTUK MEMPERKUKUHKAN LAGI PROGRAM TRANSFORMASI INI MULAI TAHUN INI SEHINGGA TAHUN 2015. DALAM TEMPOH INI, TUMPUAN AKAN DIBERIKAN TERHADAP MASYARAKAT YANG LEBIH LUAS DAN BERUSAHA MENDAPATKAN PENGLIBATAN YANG LEBIH GIAT DARIPADA MASYARAKAT, BADAN BUKAN KERAJAAN SERTA PIHAK SWASTA.

9. MESKIPUN KEJAYAAN TELAH DICAPAI DALAM MENGURANGKAN JENAYAH, PERSEPSI TERHADAP KESELAMATAN MASIH KEKAL MEMBIMBANGKAN DI KALANGAN MASYARAKAT. JUSTERU ITU, PADA HEMAH SAYA, UNTUK MENGEKALKAN KEDUDUKAN DAN MENURUNKAN KADAR JENAYAH AMATLAH MENCABAR PADA TAHUN INI. OLEH SEBAB ITU, DI BAWAH GTP 2 CABARAN UTAMA ADALAH UNTUK MEMASTIKAN RAKYAT MALAYSIA PERCAYA BAHAWA SEBENARNYA JENAYAH TELAH DAPAT DIKURANGKAN DAN DALAM MASA YANG SAMA KITA AKAN TERUS MENGEKALKAN USAHA-USAHA YANG TELAH DAN SEDANG DILAKUKAN DALAM MENGURANGKAN JENAYAH MEMANDANGKAN EKSPEKTASI DAN HARAPAN RAKYAT TELAH MENINGKAT. MALAH YANG LEBIH PENTING LAGI IALAH MEMASTIKAN MASYARAKAT TERUS MERASA SELAMAT DAN SEJAHTERA.

10. DALAM HAL INI, TIGA (3) MATLAMAT UTAMA TELAH DISASARKAN, IAITU:

a) MENGEKALKAN KADAR JENAYAH KESELURUHANNYA;

b) MENINGKATKAN INDEKS PERSEPSI KESELAMATAN DI KALANGAN MASYARAKAT; DAN

c) MEMACU PERUBAHAN DALAM BUDAYA PRESTASI MELALUI PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN KEPADA MASYARAKAT.

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI SEKALIAN.

11. UNTUK MAKLUMAN KITA BERSAMA, SEBENARNYA, NEGARA KITA TELAH MENDAPAT PENGIKTIRAFAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA. MENGIKUT LAPORAN WORLD JUSTICE PROJECT (WJP) RULE OF LAW INDEX 2012, MALAYSIA TELAH DILETAKKAN SEBAGAI NEGARA PERTAMA DALAM KALANGAN TIGA PULUH (30) NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI SEDERHANA DAN TEMPAT KE ENAM BELAS (16) DI DUNIA DALAM MELAKSANAKAN PROGRAM DAN AKTIVITI BAGI MEMASTIKAN KESELAMATAN RAKYATNYA.

12. LANTARAN INI KALAU DI LIHAT DARI SEKTOR PELANCONGAN, PADA TAHUN 2011 DAN 2012, JUMLAH PELANCONG YANG MELAWAT MALAYSIA IALAH HAMPIR 50 JUTA ORANG DENGAN JUMLAH PENDAPATAN NEGARA KASAR BERNILAI HAMPIR 100 BILION RINGGIT, BERDASARKAN LAPORAN TAHUNAN BIDANG KEBERHASILAN EKONOMI NEGARA TAHUN 2012. MANA MUNGKIN PELANCONG-PELANCONG ASING AKAN BERKUNJUNG KE NEGARA KITA SEKIRANYA NEGARA KITA TIDAK SELAMAT. BEGITU JUGA DALAM SEKTOR PELABURAN LANGSUNG ASING (FDI) YANG MANA TELAH MENINGKAT SEBANYAK 31.51% PADA TAHUN 2011 BERBANDING TAHUN SEBELUMNYA. INI JELAS MENUNJUKKAN NEGARA KITA INI DIANGGAP SELAMAT DAN STABIL DARI SEGI POLITIK OLEH MASYARAKAT ANTARABANGSA UNTUK MEMBUAT PELABURAN DI MALAYSIA.

13. SEHUBUNGAN DENGAN ITU, SEMUA PIHAK PERLU TERUS BERUSAHA LAGI UNTUK MELAKSANAKAN PENAMBAHBAIKAN DARI MASA KE SEMASA DENGAN MELAKSANAKAN PELBAGAI PROGRAM DAN INISIATIF BAGI MEMASTIKAN SASARAN YANG DITETAPKAN DALAM GTP 2 DAPAT DICAPAI SEPENUHNYA. ANTARA INISIATIF-INISIATIF BAHARU YANG AKAN DIFOKUSKAN DALAM GTP 2 IALAH :-

i) MENGURANGKAN KEJADIAN PECAH MASUK RUMAH;

ii) KAWALAN KETAT DI TEMPAT LETAK KERETA;

iii) KEMPEN KESEDARAN WANITA

iv) CIRI-CIRI KESELAMATAN RUMAH (CPTED); DAN

v) SISTEM SEMAKAN ONLINE.

14.  DALAM HAL INI JUGA, MULAI TAHUN INI, KITA TERUS MEMPERHEBATKAN USAHA BAGI MENINGKATKAN KEHADIRAN POLIS (OMNIPRESENCE) MELALUI RONDAAN BERSAMA ANGGOTA RELA DAN JABATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA (JPAM) SERTA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM) DI KAWASAN-KAWASAN PANAS (HOTSPOT) DAN TAMAN-TAMAN PERUMAHAN. USAHA INI TERMASUKLAH JUGA INISIATIF LAWATAN TURUN PADANG OLEH PEGAWAI-PEGAWAI KANAN PDRM ATAU HIGH PROFILE POLICING.

15. SATU PROGRAM YANG AKAN DI PERHEBATKAN JUGA IALAH MELIBATKAN PERKONGSIAN DATA DAN MAKLUMAT ANTARA PIHAK SWASTA SEPERTI PIHAK BERKUASA WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR (IRDA), PERSATUAN PENGURUSAN KOMPLEKS MALAYSIA DAN BEBERAPA BADAN LAIN DENGAN PIHAK POLIS DIRAJA MALAYSIA YANG DIKENALI SEBAGAI PROGRAM SAFE CAM YANG MANA TELAH DILANCARKAN OLEH YB MENTERI DALAM NEGERI PADA 14 OKTOBER 2012 DI JOHOR BAHRU SEBAGAI PROJEK PERINTIS. MELALUI PROGRAM INI, USAHA-USAHA KE ARAH MEMBANTERAS JENAYAH AKAN DAPAT DIPERTINGKATKAN LAGI, SEBAGAI CONTOHNYA MELALUI PERKONGSIAN MAKLUMAT DALAM CCTV, AKAN DAPAT MEMBANTU PIHAK PDRM UNTUK MENJEJAKI PENJENAYAH.

16. DI SAMPING ITU JUGA, TURUT DIMANTAPKAN PELAKSANAAN PROGRAM BERSAMA MASYARAKAT SEPERTI : SKIM RONDAAN SUKARELA ATAU SRS DI KAWASAN-KAWASAN KEJIRANAN BERSAMA DENGAN PERSATUAN-PERSATUAN PENDUDUK DAN PROGRAM KERJASAMA DENGAN PIHAK BERKEPENTINGAN BAGI MENERUSI KERJASAMA PELBAGAI AKTIVITI KESUKARELAAN YANG DILAKSANAKAN.

17. KERAJAAN MELALUI BAJET 2013 TELAH MELULUSKAN PERUNTUKAN KHAS BAGI MENUBUHKAN UNIT RONDAAN BERMOTOSIKAL (URB) YANG MELIBATKAN PEMBELIAAN 1,000 UNIT MOTOSIKAL UNTUK KEGUNAAN RONDAAN DI KAWASAN PERUMAHAN. UNIT INI TELAH DILANCARKAN PADA 19 DISEMBER 2012 OLEH YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA WALAUPUN PERUNTUKAN HANYA AKAN DISALURKAN PADA TAHUN 2013. INI JELAS MENUNJUKKAN KOMITMEN KERAJAAN YANG BERSUNGGUH-SUNGGUH UNTUK MEMASTIKAN RAKYATNYA SENTIASA DALAM KEADAAN SELAMAT DAN SEJAHTERA.

18. DI SAMPING ITU, KERAJAAN JUGA TELAH MENYEDIAKAN GERAN SEHINGGA RM 10,000 BAGI SETIAP PERSATUAN PENDUDUK SEBAGAI BANTUAN AWAL UNTUK MENINGKATKAN TAHAP KESELAMATAN DI KAWASAN PERUMAHAN MASING-MASING. PERSATUAN-PERSATUAN PENDUDUK PERLULAH BERDAFTAR DENGAN JABATAN PENDAFTARAN PERTUBUHAN MALAYSIA (JPPM) DAN PERLU MENGEMUKAKAN PERMOHONAN KEPADA JPPM UNTUK MENDAPATKAN GERAN TERSEBUT. SAYA DIFAHAMKAN DI KAWASAN SAYA, SEBANYAK 7 PERSATUAN PENDUDUK YANG TELAH BERDAFTAR DAN MEMOHON AKAN MENERIMA GERAN PADA HARI INI. HARAPAN SAYA, GUNAKANLAH GERAN TERSEBUT SEBAIK MUNGKIN BAGI FAEDAH TAMAN PERUMAHAN MASING-MASING.

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI SEKALIAN.

19. GELOMBANG KEDUA NKRA MENGURANGKAN JENAYAH DI BAWAH GTP 2, TELAH MENYAKSIKAN KERAJAAN MENGADAKAN KERJASAMA DENGAN PIHAK SWASTA SEPERTI PERSATUAN PENGURUSAN KOMPLEKS MALAYSIA (PPKM) DAN PERSATUAN PERUNCIT MALAYSIA (MALAYSIA RETAILERS ASSOCIATION) UNTUK MENINGKATKAN TAHAP KESELAMATAN TEMPAT LETAK KERETA BAGI MEMASTIKAN KESELAMATAN PELANGGAN YANG BERKUNJUNG KE PUSAT MEMBELI BELAH MEREKA.

20. PIHAK SEKOLAH TERMASUK SEKOLAH ANTARABANGSA TURUT DILIBATKAN DALAM INISIATIF KERAJAAN BAGI MENGURANGKAN JENAYAH DI BAWAH PROGRAM BLUE & GREEN, DI MANA PIHAK POLIS DAN RELA BERSAMA-SAMA MERONDA DI SEKOLAH-SEKOLAH YANG TELAH DIKENAL PASTI DENGAN PIHAK JABATAN PELAJARAN NEGERI. SELARAS DENGAN ITU JUGA, GOLONGAN BELIA DIGALAKKAN UNTUK BERSAMA-SAMA MEMBERI SUMBANGAN KE ARAH MEMBANTERAS JENAYAH DI BAWAH PROGRAM  BERSATU MEMBANTERAS JENAYAH DAN 1 MALAYSIA FOR YOUTH (1M4U).

21. MELALUI KERJASAMA DALAM NATIONAL BLUE OCEAN STRATEGY (NBOS), PELBAGAI USAHA DILAKUKAN DEMI MEMASTIKAN KESELAMATAN RAKYAT TERPELIHARA TERMASUKLAH KERJASAMA ANTARA JABATAN PENJARA MALAYSIA DENGAN PIHAK ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM), IAITU PROGRAM PEMULIHAN PEMASYARAKATAN (PPP). DI BAWAH PROGRAM INI, BANDUAN-BANDUAN YANG TERPILIH AKAN DITEMPATKAN DI PUSAT-PUSAT PEMULIHAN PEMASYARAKATAN YANG TERLETAK DALAM KAWASAN KEM TENTERA. SEBANYAK LIMA (5) KEM TENTERA TERLIBAT DALAM PROGRAM INI, IAITU KEM MAHKOTA JOHOR, KEM SULTAN ABDUL HALIM KEDAH, KEM SYED SIRAJUDDIN NEGERI SEMBILAN, KEM DESA PAHLAWAN KELANTAN DAN KEM BATU 10 PAHANG. SELAIN ITU, LATIHAN PDRM BERSAMA ATM TURUT DILAKSANAKAN DI KEM-KEM TENTERA.

22. SETERUSNYA, SAYA JUGA INGIN MENYENTUH BERKENAAN PROGRAM AMANITA DI MANA PEGAWAI-PEGAWAI WANITA PDRM TELAH DILANTIK DI PERINGKAT KONTINJEN DAN IBU PEJABAT POLIS DAERAH UNTUK MENGADAKAN ENGAGEMENT DENGAN SURIRUMAH BAGI MENJADI MATA DAN TELINGA KEPADA PIHAK PDRM UNTUK BERSAMA-SAMA MEMERANGI JENAYAH. SEHINGGA KINI TERDAPAT SERAMAI 170 ORANG PEGAWAI AMANITA DI SELURUH NEGARA. MANAKALA BAGI NEGERI MELAKA, TERDAPAT SERAMAI 4 PEGAWAI AMANITA TELAH DILANTIK. SAYA BERHARAP MELALUI PROGRAM AMANITA INI, HUBUNGAN ANTARA PIHAK PDRM DAN MASYARAKAT AKAN DAPAT DIPERKUKUHKAN LAGI.

23. PADA HARI INI, SAYA JUGA INGIN MENGUCAPKAN JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA PERSATUAN PENDUDUK, SRS / RUKUN TETANGGA DAN BADAN BUKAN KERAJAAN DI ATAS SUMBANGAN YANG TELAH DIBERIKAN KE ARAH MEMBANTERAS JENAYAH. SUDAH SEMESTINYA KERJASAMA SEPERTI INI PERLU DITERUSKAN KERANA IA AKAN DAPAT MEMBERIKAN FAEDAH KEPADA BANYAK PIHAK.

24. PADA KESEMPATAN INI, SAYA INGIN MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA PIHAK PDRM DAN JUGA JABATAN SERTA AGENSI YANG LAIN DI BAWAH KEMENTERIAN DALAM NEGERI SEPERTI RELA, JPAM, JABATAN PENJARA DAN AADK DALAM USAHA YANG TELAH DILAKUKAN UNTUK BERSAMA-SAMA MEMBANTERAS JENAYAH. TIDAK LUPA JUGA SAYA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA KEMENTERIAN DAN JABATAN LAIN ANTARANYA SEPERTI KEMENTERIAN PERTAHANAN, KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN DAN KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN DI ATAS SUMBANGAN DAN KERJASAMA YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA PIHAK KDN.

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI SEKALIAN,

25. SEBELUM SAYA MENGAKHIRI UCAPAN INI, SEKALI LAGI SAYA MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK MENGUCAPKAN TAHNIAH DAN SYABAS KEPADA SEMUA PIHAK YANG TERLIBAT DAN YANG TELAH MEMBERIKAN KERJASAMA DALAM MENJAYAKAN MAJLIS INI. SESUNGGUHNYA MEMBANTERAS JENAYAH ADALAH TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA. SEMOGA SEGALA USAHA MURNI INI AKAN BERTERUSAN DAN BEROLEH KERAHMATAN DARIPADA ALLAH S.W.T.

26. DENGAN LAFAZ BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, SAYA DENGAN SUKACITANYA MERASMIKAN MAJLIS PELANCARAN KEMPEN 1AMAN BERSATU MENENTANG JENAYAH PERINGKAT NEGERI MELAKA PADA PAGI INI.

SEKIAN, WABILLAHITAUFIK WAL HIDAYAH,

WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

30 Mac 2013/Masjid Tanah Melaka/JAS

Agencies |

CLICK LOGO FOR SERVICES INFO

 PDRM  PENJARA  JIM  JPN  AADK  JPPM RELA AKSEM   Lembaga Penapis Filem  new ipsom  APMM Logo 2  esscom

Agensi |

KLIK LOGO UNTUK KE MAKLUMAT PERKHIDMATAN AGENSI

 PDRM  PENJARA  JIM  jpn update  AADK  jppm update RELA AKSEM   Lembaga Penapis Filem  new ipsom  APMM Logo 2  esscom